Rabu, 16 September 2009

Kenangan Perantau


Bismillahirahmanirahiim...
Assalamualaikum wbt...

Alhamdulillah, tanpa disedari hari ini sudah masuk hari yang ke-26 kita berpuasa dan hanya tinggal 3 hari sahaja lagi, bulan Ramadhan akan melabuhkan tirai dan akan diganti dengan bulan Syawal yang merupakan hari kemenangan bagi ummat Islam setelah bertungkus-lumus mengerjakan ibadah puasa. Bagi pelajar yang menuntut di seberang Laut China Selatan seperti aku ini, agak sukar untuk pulang beraya di kampung. Maklumlah harga tiket kapal terbang yang mahal terutama apabila musim perayaan. Aku bersyukur dan merasa amat gembira kerana tahun ini aku dapat pulang menyambut raya bersama keluarga di kampung. Namun, kenangan beraya diperantauan pada tahun lepas telah menjadi pengalaman yang tidak sesekali aku lupakan dan terlintas untuk aku berkongsi pengalaman ini bersama anda...

Sebagai pelajar, aku sememangnya mengharapkan wang dari pinjaman PTPTN untuk membiayai perbelanjaan pengajian aku di sini. Tambahan pula, masa itu merupakan semester pertama aku belajar di universiti. Apabila duit pinjaman itu sudah masuk, aku terus membeli sebuah komputer riba(laptop) dan tiket untuk pulang pada cuti semester. Setelah tolak semua kos perbelanjaan itu, aku dapati dalam akaun aku hanya cukup-cukup untuk perbelanjaan hingga hujung semester sahaja dan tidak cukup untuk membeli tiket raya. Walaupun berat, tapi aku terpaksa juga beraya di sini(Sabah). Sebelum tu, Abang Puyi(abang ketiga) ada tanya sama ada aku mahu pulang atau tidak. Jika nak, dia sanggup belikan tiket untuk aku. Tetapi aku menolak... aku sebenarnya tidak sanggup menyusahkan dia kerana sebelum aku berangkat ke sini, dia telah banyak mengeluarkan duit untuk menguruskan keperluan pendaftaran aku.

Mujur pada waktu itu, ada juga rakan-rakanku yang tidak pulang beraya. Jadi kami berpakat untuk beraya bersama-sama di kolej kediaman. Namun kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan. Pada malam raya, kawanku(Azmah) menelefon dan keluarganya mengajak aku beraya bersama mereka. Rasa serba salah juga aku pada waktu itu. Terpaksa memilih antara dua sama ada beraya dengan rakan atau menerima pelawaan dari keluarga Azmah. Tetapi setelah berbincang dengan rakan-rakan, diaorang menyuruh aku ikut beraya bersama Azmah. Mereka cakap tak bagus menolak pelawaan orang. Keputusannya, pada malam raya, aku ikut Azmah pulang kerumah dan beraya bersama keluarganya.

Kebetulan, Haspisah(rakan sekelas dari Kelantan) turut beraya di rumah Azmah. Jadi tidaklah kekok sangat aku di sana. Pada malam raya itu, aku dan Haspisah menolong pakcik(ayah Azmah) membakar lemang. Tengah-tengah seronok membakar lemang, tiba-tiba ibuku menelefon. Ibu bertanyakan khabar dan aku mula terasa rindu padanya... semasa bercakap dengan ibu, air mata aku mulai mengalir. Aku cuba bertahan, tetapi apabila aku terdengar suara ibuku yang serak-serak basah, aku tidak dapat tahan dan aku tahu, ibu juga dalam keadaan sedih.

Selepas itu, Abang Puyi turut menelefon aku. Dia menyuruh aku banyakkan bersabar. Rakan-rakan dari kampung juga banyak yang menghantar mesej ucapan raya kepada aku. Ingat juga mereka dekat aku yang jauh ini... Pada keesokan harinya, aku bersiap awal untuk ke masjid bersama-sama dengan pakcik. Kemudian aku duduk di bahagian tengah masjid di barisan kelima. Masa itu takbir raya sedang bergema. Sedang aku bertakbir, satu mesej masuk... ia dari abang sepupuku yang juga guru agama di kampung. Dia menasihati aku supaya bertenang dan cuba mencari pengalaman beraya di tempat orang. Tambahan pula, ia merupakan satu pengaturan Allah swt kepada aku. Tanpa diduga, air mata aku mengalir lagi. terasa sangat syahdu... dengan takbir yang bergema ditambah dengan kerinduan kepada keluarga menyebabkan hatiku semakin sedih...

Selesai solat, aku berkumpul dengan keluarga Azmah dan sesi bersalaman memohon maaf pun bermula. Bila melihat Azmah dan adik-adiknya bersalam dengan ibu bapa mereka dan berpelukan sambil memohon maaaf, aku terbayang akan ibu di kampung. Tak dapat aku cium tangan ibu pada hari raya. Tidak dapat aku memohon maaf dan memeluk ibu... aku cuba tenangkan diri...

Kemudian aku bersiap untuk berangkat ke Beufort pulang ke rumah nenek Azmah. Sampai di sana, aku dan keluarga Azmah beraya di rumah sanak-saudara mereka sehari suntuk. Walaupun penat, sekurang-kurangnya ia dapat menghilangkan sedikit kesedihan aku pada waktu itu. Aku bermalam di sana sehari... keesokkannya, kami bersiap untuk pulang semula ke KK dan aku mengambil keputusan untuk terus pulang ke kampus untuk bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain.

Aku dan rakan-rakan(Azie,Wawa,Intan,dll) sempat ke rumah keluarga angkat Azie iaitu di rumah Pak Su dan Mak Su dan ke rumah Hana. Seronoklah juga, dari pagi sampai malam kami beraya. Tapi yang tidak dapat tahan ialah apabila aku berada di bilik. Hanya aku seorang sahaja yang tinggal. Aku tersangat bosan dan terasa sangat sunyi. Keadaan itu telah mengembalikan kerinduan aku terhadap orang-orang di kampung. Mana tidaknya, kalau di kampung selagi belum habis rumah rakan dan saudara aku lawati, selagi itu aku terus beraya...

Jadi rentetan dari kenangan itu, tahun ini, aku telah merancang perbelanjaan aku dengan cermat agar aku dapat pulang beraya. Alhamdulillah, esok aku akan pulang ke kampung. Aku nak menebus raya yang tertangguh pada tahun lepas dan sesungguhnya aku tidak sanggup lagi untuk beraya di perantauan. Hari raya merupakan hari di mana semua sanak-saudara akan berkumpul dan memohon maaf serta saling menziarahi. Jika ada salah seorang dari ahli keluarga yang tiada, itu telah menyebabkan semangat beraya itu berkurang. Malah aku akan cuba untuk pulang juga ke kampung untuk beraya pada tahun hadapan....

Walaupun beraya diperantau itu sesuatu yang menyedihkan, namun pengalaman yang ditimba itu tidak sesekali akan dilupakan. Malah akan selalu dikenang apabila tiba hari perayaan. Malah pengalaman itu juga boleh dikongsi bersama anak cucu kelak.... Sesungguhnya setiap aturan Allah swt itu adalah yang terbaik dan Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya.

Itulah sedikit sebanyak cerita berkenaan raya diperantauan yang dapat aku kongsikan...

Kepada ibu, abang-abang, saudara-mara, rakan-rakan dan sesiapa yang mengenali diri ini, seribu kemaafan dan keampunan dipohon jika ada tersilap kata dan terlanjur perbuatan. Halalkan segala makan dan minum dan semoga Aidilfitri yang bakal tiba ini membawa seribu kerahmatan dan kenikmatan kepada anda semua...

Kepada junior-junior dan rakan-rakan yang tidak pulang beraya, semoga pengalaman beraya diperantauan dapat mendidik anda untuk menjadi seorang yang lebih tabah dan cekal hati dan anggaplah pengalaman itu sesuatu yang sangat berharga kepada anda...

Selamat Hari Raya Aidilfitri...Maaf Zahir dan Batin.

Sekian, wassalam...

Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates