Rabu, 14 Julai 2010

Diari Kg Rampaian Ulu, Kota Belud Sabah

Pada 13 hingga 19 Jun yang lepas, aku bersama pelajar sekelas yang lain telah mengikuti satu kajian lapangan yang diadakan di Miri, Sarawak. Aku dan yang lain sampai di UMS lebih kurang dalam pukul 10.30 malam. Dengan keadaan yang penat dan letih disebabkan perjalanan yang terlalu panjang, aku terus membaringkan badan yang kepenatan ini di katil. Keesokan harinya, seorang teman mengajak aku pulang ke rumahnya di Kampung Rampaian Ulu, Kota Belud. Sememangnya sebelum cuti semester lagi, temanku mengajak aku ke rumahnya setelah pulang dari Miri. Lagipun aku sudah berjanji dengannya untuk mengikutnya pulang. Maka bermulalah diariku di Kampung Rampaian Ulu, Kota Belud, Sabah...

(Ahad, 20 Jun 2010)

Hari ini perjalananku diteruskan lagi ke Kota Belud. Walhal penat semalam dari Miri masih belum reda lagi. Semasa hari terakhir di Miri, aku mengalami sedikit kecederaan di bahagian pinggang ke kaki. Walaupun keadaan aku yang belum pulih sepenuhnya, tetapi aku tetap gagahkan juga demi menunaikan janjiku pada seorang teman. Perjalanan ke Kota Belud yang mengambil masa hampir dua jam sedikit sebanyak mendatangkan kesakitan kepadaku...harapnya esok aku akan semakin baik...

(Isnin, 21 Jun 2010)

Sedang asyik bersembang dengan teman di beranda rumahnya, aku terima satu mesej dari kawan di Kota Kinabalu. Ada masalah katanya. Tentang cinta... seorang lelaki yang pernah menolaknya suatu ketika dahulu ingin bersamanya kembali. Tetapi kawanku tidak sudi. Katanya ia masih teringat dengan peristiwa yang terjadi kepadanya. Namun lelaki itu tetap memaksanya untuk bersama. Walaupun berbagai alasan yang diberi, dia tetap tidak peduli. Itulah cinta... kadang-kadang ia membuatkan seseorang itu jadi tertekan dan merana. Masalah akan timbul sekiranya ia tidak faham tentang erti sebenar cinta dan bagaimana untuk mengawal cinta itu mengikut landasan yang betul. Sering kali aku menasihati kepada teman-teman bahawa cinta itu suatu yang suci dan istimewa. Oleh itu cinta perlu dilayan secara suci dan istimewa agar cinta itu tidak membawa mudarat kepada diri... Aku berdoa semoga Cinta yang lahir pada diriku ini adalah cinta yang tulus dan suci yang dapat aku serahkan segalanya kepada yang Hakiki... Allah swt. Pada malam ini, aku mengikut teman bermain badminton bersama rakan sekampungnya. Apa yang menariknya dan kelakarnya, aku langsung tidak memahami apa yang dicakapkan oleh mereka. Mana tidaknya, mereka bercakap dalam bahasa Iranum. Memang unik. Macam bahasa Tagalog pun ada... tapi itulah salah satu kelebihan di Malaysia. Setiap bangsa mempunyai bahasa dan loghat yang tersendiri. Sekiranya aku tidak ke sini, mungkin aku tidak berpeluang menerokai keunikan ini. Semoga perpaduan yang dicapai ini terus mekar demi pengukuhkan perpaduan setiap bangsa...

(Selasa, 22 Jun 2010)

Pada sebelah pagi, tiada sebarang aktiviti yang dilakukan, cuma tidur sampai matahari tegak meninggi. Pada sebelah petangnya pula, aku dan teman memancing ikan di sungai yang berhampiran dengan rumahnya. Lama juga kami mengunggu ikan menggigit umpan, tapi satu pun tidak mengena. Kami pulang dengan tangan kosong. Begitulah adat dalam memancing. Kadang-kadang dapat, kadang-kadang hampa. Sama juga seperti manusia. Kadang kala manusia ini hanya mampu merancang dan membuat apa yang telah dirancang. Namun, tidak semuanya apa yang dirancang itu terhasil seperti yang diharapkan. Ada kalanya rezeki itu melimpah dan ada kalanya ia kosong. Sebagai manusia, rasa syukur atas nikmat yang diberikan oleh Allah perlu ada di dalam diri setiap insan walaupun ianya tidak seberapa. Mungkin Allah mahu menguji keimanan kita terhadap-Nya. Sesungguhnya, janji Allah itu pasti kepada makhluknya yang taat. Semoga Allah memberi aku kekuatan menghadapi sebarang dugaan dan ujian mendatang. Amiin...

(Rabu, 23 Jun 2010)

Pada waktu tengah hari, aku dan teman duduk di beranda rumah sambil bercerita teantang zaman persekolahan dahulu. Aku pun mula bercerita tantang pengalaman aku yang mengukir seribu kenangan sehingga ke saat ini. Terngiang di benakku tentang zaman remajaku. Masa di sekolah menengah, aku bukannya seorang pelajar yang baik dan cemerlang. Orang lain sibuk belajar, aku pula sibuk mencari duit dalam bidang sukan yang aku minati. Macam-macam perkara yang aku lakukan pada masa itu. Aku menyertai pertandingan, membuat persembahan dan mengikuti perbagai acara peringkat kebangsaan seperti Citrawarna Malaysia sehinggakan kelas tambahan pun aku ponteng. Guru kelas selalu marah dan sesetengah guru ada yang menggeleng kepala bial berjumpa dengan aku. Bila keluar keputusan PMR, aku mendapat keputusan yang teruk. Masa tu, cikgu hanya mengerling kepada aku. Malu aku dengan rakan-rakan yang lain. Bila pulang dari rumah, bertubi-tubi aku dimarahi oleh ibu dan abang. Itulah akibatnya apabila tidak menguruskan masa, minat dan pelajaran dengan betul. Masuk tingkatan empat, aku diletakkan dikelas paling hujung dalam aliran perdagangan iaitu 4P4. Bertambah malu aku dibuat... mana taknya semua rakan-rakan yang lain dapat memasuki aliran sains dan ekonomi. Bermula dari situlah aku mula belajar untuk berubah. Aku sudah tidak terlibat secara aktif lagi dalam bidang sukan, tetapi lebih banyak membuat kerja di belakang takbir. Aku bersyukur kerana semasa di tingkatan 4 dan 5, aku diberi banyak peluang oleh cikgu dengan menghantar aku menyertai kursus kepimpinan, kem jati diri dan kem akademik yang banyak memberikan impak positif padaku. Walaupun nakalku tidak berubah, tapi dalam pelajaran ada peningkatan. Semasa tingakatan 5, aku dinaikkan ke kelas 5P3. Ok lah tu... Walaupun keputusan SPM tidaklah sebaik mana, tetapi aku tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya tidak seteruk keputusan PMR dahulu. Selepas keputusan SPM diumumkan, ramai temanku mengisi borang UPU dan Politeknik serta Matrikulasi. Aku pula tidak. Aku merancang untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan 6. Alhamdulillah, semasa tingkatan 6 aku telah banyak berubah. Aku selalu bersaing dengan rakan sekelas untuk mendapat markah tertinggi terutama dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Pengajian Am serta Geografi. Aku turut aktif dalam kursus kepimpinan dan kecemerlangan STPM pada waktu itu. Semasa keputusan STPM keluar, sungguh aku tidak percaya bahawa aku tersenarai dalam sepuluh pelajar terbaik di sekolah. Rasa bangga dan gembira semasa aku menunjukkan keputusan kepada ibu dan abangku. Guru memanggil aku dan ibu untuk menghadiri majlis anugerah kecemerlangan pelajar. Masa itu, aku dan ibu naik ke pentas utnuk menerima sijil. Aku juga mendapat markah tertinggi dalam mata pelajaran BM semasa percubaan STPM berbanding dengan pelajar-pelajar lain dari dua kelas yang lain. Riak wajah ibu menggambarkan kegembiraan. Ditambah lagi apabila aku mendapat tawaran ke Universiti Malaysia Sabah dalam bidang Geografi. Ibu terus mengadakan kenduri kesyukuran dan majlis doa selamat menjamu orang kampung. Rasanya perubahan aku berbaloi... dari pelajar yang tiada harapan dalam pelajaran berubah menjadi seorang manusia yang dapat membanggakan keluarga walaupun masih banyak kesilapan yang masih belum ditebus. Semoga ibu dipanjangkan umur supaya dapat melihat kejayaan aku kelak...amiin. Sering kali apabila ada program motivasi yang dianjurkan oleh kelab, aku selalu menceritakan kisah aku ini kepada adik-adik agar menjadi iktibar kepada mereka. Sesungguhnya ibu dan bapa tidak mengharapkan balasan dari seorang anak, cuma cukuplah sekadar anak-anaknya menjadi manusia yang berguna kepada keluarga dan berjaya dalam hidup... Selesai bercerita, temanku mengatakan aku ini bertuah kerana sudah melalui pengalaman yang berguna semasa zaman remaja lagi. Semoga di masa lain aku turut begitu....

(Khamis, 24 Jun 2010)

Selepas makan tengah hari, teman mengajak aku ke rumah bapa saudaranya yang terletak di hadapan rumahnya sahaja. Rumah bapa saudaranya itu dibina di atas sungai dan terdapat jeti yang menyambung antara jalan dengan rumah. Kami merehatkan mata di jeti itu. Keadaan itu sama seperti di kampungku. Di kampung, terdapat dua buah jeti yang dibina oleh nelayan untuk melabuhkan kapal mereka dan untuk membuat kerja-kerja membuat bubu dan pukat. Semasa zaman kecil dan remajaku, aku sering ke sana untuk tidur kerana anginnya cukup menyegarkan. Kadang-kadang, selepas mandi sungai aku akan naik ke jeti untuk mengeringkan badan dan baju. Tetapi semenjak Taman Tamadun Islam dibina, keadaannya sudah berubah. Keadaan jeti sudah tidak menarik lagi. Sungai yang dulunya dalam dan apabila surut boleh menampakkan pasir kini telah menjadi cetek dan berlumpur akibat penambakan sungai dan pembinaan benteng di sepanjang taman. Jeti semakin terperosok ke dalam semak. Jeti yang dulunya meriah kini menjadi sepi, hanya tinggal para nelayan meneruskan kerja-kerja mereka. aku rindukan pada waktu dulu...Pada sebelah petang pula, teman membawa aku mengelilingi kampungnya. Kami pergi ke bukit yang terletak di hujung kampung. Sambil berjalan, kami bergurau, mengolok dan bergurau. Macam zaman kanak-kanak... kami menyanyi, berlari, melompat dan ketawa bersama-sama. Keadaan itu mengingatkan aku kepada teman-teman di kampung. Belum puas rasanya bersama mereka semasa cuti semester baru-baru ini. Malah ada juga rakan-rakan yang belum sempat aku temui kerana terlalu sibuk dengan urusan kerja dan tugasan pensyarah. Hanya panggilan dan mesej sahaja dapat diutus sebagai pengganti diri. Semasa makan malam, aku dihidangkan sejenis rumpai laut yang tidak pernah aku temui iaitu rumpai laut yang berwarna hijau dan berbentuk bulat-bulat kecil seperti anggur yang melekat di batuan di tepi pantai. Untuk memakannya, ianya perlu dicicah dengan cuka. Bagaimana rasanya, aku pun tidak tahu. Aku langsung tidak menjamahnya. Sedangkan sayur pun aku tidak makan, inikan pula makanan yang pelik yang tidak pernah aku jumpa. Tetapi melihat temanku ayng begitu berselera, sudah pasti itu salah satu makanan kegemarannya...

(Jumaat, 25 Jun 2010)

Hari ini tiada apa-apa yang dibuat. Selepas selesai solat jumaat, hujan turun dengan lebat tanpa henti. Aku dan teman hanya duduk di jeti sambil berborak kosong. Kemudian pak cik temanku membawa sepiring buah kuini yang siap dipotong. Sungguh manis rasanya. Di sini buah kuini dipanggil sebagai buah wani. Macam nama orang pula kan??? Temanku mempunyai seorang adik bongsu perempuan yang nakalnya bukan kepalang. Maklumlah anak bongsu dan masih kecil. Itu membuatkan aku teringat kepada Fatimah Nailah dan adiknya Aisyah, dua beradik yang diasuh oleh ibuku. Dulu abang mereka, Mawardi juga diasuh oleh ibu. Keluarga Ustaz Kamal sudah seperti keluarga kami juga. Anak-anaknya ibu jaga dan asuh dengan penuh teliti serta dicurahkan kasih sayang. Rindu betul aku dengan teletah mereka. Si kakak manja dan si adik pula kuat cemburu. Itulah resam kanak-kanak. Selagi tidak dapat apa yang mereka mahukan, selagi itu mereka merengek... Sememangnya mereka sangat comel... keluarga aku tidak pernah menganggap mereka sebagai orang lain. Malah ibu sangat bosan apabila mereka tidak dihantar ke rumah. Di sini aku belajar tentang erti kasih sayang seorang ibu yang mencurahkan kasih terhadap seorang anak. Ibu memandikan mereka, memakaikan mereka baju, mendodoikan mereka tidur, menampakkan curahkan kasih sayang sebenar seorang ibu terhadap anak walaupun itu hanyalah anak asuhannya. Aku sangat bersyukur kerana dikurniakan seorang ibu yang penyanyang, cekal, tabah dan kuat menjalani kehidupan demi anak-anak mereka....

(Sabtu, 26 Jun 2010)

Pagi ini aku bersiap untuk pulang ke UMS kerana aku dipanggil untuk menjadi fasilitator untuk kursus Pembimbing Suai Mesra. Aku diminta menggantikan seorang rakan yang tidak dapat hadir kerana terdapat kesulitan di kampungnya. Kalau ikutkan hati, aku mahu tinggal lebih lama di sini. Apakan daya, tugas perlu dilaksanakan. Sebelum berangkat, aku bersalaman dengan ibu dan bapa temanku. Rasa sedih turut hadir. Maklumlah aku sudah menganggap keluarga temanku seperti keluarga sendiri. Insyaallah jika ada kesempatan di lain waktu, aku akan ke sini lagi. Perkara yang paling menggembirakan bagiku adalah hubungan antara aku dengan temanku sudah semakin erat dari teman sekelas menjadi adik beradik serta sebahagian dari keluarga. Semoga ukhwah yang terbina ini menjadi semakin kukuh dan tersimpul rapi dalam sanubariku agar ianya menjadi kenangan abadi yang berpanjangan... amiin.

Salam takziah buat temanku dan keluarganya yang dikasihi di atas pemergian datuknya yang tercinta. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan insan-insan yang beriman dan bertaqwa kepada Allah swt...
Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates