Isnin, 9 Mac 2009

Bodohnya Orang Bercinta...

Bismilahirahmanirahiim..
Assalamualaikum wbt…

Sudah lama rasanya aku tidak menulis dalam blog ini. Maklumlah kesibukkan menyiapkan tugasan membuatkan aku tiada masa untuk menulis. Alhamdulillah, hari ini dapat juga aku meluahkan pendapat dalam blog Khalifah Sufi ini.

Kehidupan di kampus ini memberikan aku banyak pengalaman dalam kehidupan. Terutama pengalaman dikelilingi oleh orang yang sedang mabuk bercinta, tambah-tambah lagi kawan karib sendiri. Perkara ini telah memberikan aku idea untuk menulis akan perkara ini. Tulisan ini bukanlah untuk menyakiti hati mana-mana pihak, tetapi sekadar nasihat utnuk direnungkan bersama. Jika kamu tidak bersetuju, terpulanglah. Tetapi jika kamu rasa apa yang aku sampaikan ini benar, maka kamu ambilah iktibar dan pengajaran. Tepuk dada tanyalah selera.
(Tulisan di bawah menggunakan bahasa pasar yang agak keras sedikit. Seribu keampunan aku mohon jika tulisan ini menyebabkan ada golongan yang terasa).

Kehidupan di kampus memang banyak kebebasan, kebebasan bergaul terutamanya. Almaklumlah jauh dari family. Tiada siapa nak mengongkonglah katakan. Lepas tu, ada juga orang yang mengatakan kalau belajar kat university tapi tak ada makwe atau pakwe macam ada yang kuranglah, tak rocklah, tak macholah dan banyak lagi… buang karan je…
Mengapa aku kata orang bercinta itu bodoh? Inilah yang aku nak ungkaikan. Aku mohon dengan akal yang waras cuba kamu fikirkan apa yang aku tulis ini:

Bodohnya orang bercinta jika cinta itu membawanya kepada pembaziran. Tak kiralah pembaziran duit atau masa.. aku menjadi pelik bin hairan, yalah dah sehari suntuk berjumpa, makan sama-sama, pergi kelas sama-sama tapi bila malamnya pulak asyik bermesej dan bertelefon. Apalah yang diborakkan tu? Tambah bodohnya lagi, hampir setiap malam pulak tu. Tak bosan ke dik hari-hari tanya benda yang sama je? Dah makan ke? Sihat ke tak? Padahal siang tadi baru je jumpa… tak ke membazir duit buat beli kredit telefon tu. Baik duit tu pakai buat beli buku ke makanan ke, tak pun sedekah kat masjid ada juga faedahnya… Lagi satu, bila ada salah faham antara pasangan bercinta ini, mulalah taktik lapuk untuk memujuk kekasih diguna seperti membawanya keluar makan, tengok wayang, beli hadiah dan banyak lagilah. Bukankah ini yang dipanggil membazir? Padahal kekasihnya hanya nak bermanja je. Kononya nak perhatian lebih. Nak termuntah aku mendengarnya… Bukankah manusia itu sifatnya cepat bosan terhadap perkara yang sama dilakukan hari-hari? Lebih-lebih lagi golongan lelaki. Kalau dah hari-hari jumpa, bermesej, bertelefon, itu akan menimbulkan rasa bosan. Asyik-asyik jumpa orang yang sama, cakap benda yang sama, mesej benda yang sama, membuatkan hati jemulah dik. Sudah naik menyampah nak layan hari-hari. Baik si dia pergi cari yang lain dari menatap muka kau je. (Yang lebih fresh orang cakap) last-last kau yang padan muka…

Bodohnya orang bercinta sekiranya cinta itu membawanya kepada pengabaian tanggungjawab yang perlu digalas sebagai seorang manusia. Hal ini banyak aku perhatikan. Ialah dah kemaruk sangat bercinta, sampaikan tanggungjawab yang penting tidak terlaksana terutama tanggungjawab terhadap perintah agama dan tanggungjawab sebagai seorang pelajar. Kalau layan pakwe atau makwe tu, sehari suntuk pun tak apa, janji dapat lepas rindu. Tapi kalau tiba waktu solat, liatnya bukan main lagi. Apa boleh buat, kepala asyik fikir pasal cinta saja, sampaikan hal akhirat langsung tak letak dalam kepala. Kalau hari minggu pulak, berdating dekat bandar. Punyalah syok berjalan dengan kekasih sampai langsung tak solat. Bukannya jauh pun surau tu. Padahal dalam tempat yang sama jugak… Takkanlah tak boleh tingal langsung kekasih tu walau 5 minit? Malah lebih elok kalau ajak kekasih pergi solat bersama. Dapat pahala lebih…Ni tidak, solat dalam panggung wayang je lah…(jangan marah, ni kenyataan yang benar). Lepas tu pulak, pasal hal pelajaran, Duk bercinta aje, sampaikan assignment langsung tak buat. Bila ada perjumpaan kumpulan, selalu bagi alasan banyak kejelah, keluarlah, itulah, inilah, Padahal ada plan dating dengan kekasih. Malah sanggup ponteng kelas lagi. Pastu suruh kawan tanda tangan kehadiran. Dengan kawan-kawan sekali bodoh pasal bersubahat. Bodohnyelah diaorang ni. Malam-malam pulak angau sampaikan mandi tak kenyang, tidur tak basah. Apa kehalnyalah diaorang ni. Dalam kelas pulak duk termenung memikirkan pasal cinta je. Last-last bila exam tiba, mulalah kelam kabut. Pinjam nota kawanlah, buku rujukan takdelah, buku nota hilanglah dll. Pastu dapat result teruk tahap Gaban…Baru kau nyesal… Jawablah sendiri dik oii.

Bodohnya orang bercinta sekiranya cinta itu membawanya kepada kejatuhan maruah diri dan keluarga. Hal ini memang banyak terjadi, terutamanya golongan wanita. Orang perempuan ni kalau dah bercinta, segala-galanya sanggup diserahkan kepada lelaki. Pantang lelaki jek sikit, terus cair. Pastu kalau lelaki tabur janji, kononnya sehidup sematilah, I sayang you lebihlah, terus je bagi apa yang lelaki tu nak. Padahal lelaki tu hanya nak tubuh awak je. Pastu bile dah termengandung, mulalah suruh lelaki tu bertanggungjawab, kalau lelaki tu sanggup terima, oklah, tapi berapa lamalah kekal. Tapikan biasanya apa lelaki cakap- “Kan ramai lagi yang pernah main dengan awak. Kenapa nak aku tanggung pulak?” Baru padan muka kau dik oii…Bila perut dah buncit, famili pulak dapat tahu terus kantoi. Pastu kalau orang kampung, jiran-jiran, kawan-kawan dapat tahu lagi malu…Mana nak letak muka mak bapak, sedare-mare tu? Last-last nak menyelamatkan keadaan, gugurkan kandungan. Apalah bengap punya orang. Sanggup gugurkan anak yang tak berdosa tu. Padahal bukan anak tu yang salah, tapi kau yang salah pasal berzina. Nilah orang cakap, kalau nafsu dah kuasai diri, halal haram pakai redah je…Lagipun takkan diaorang ni tak tahu perangai lelaki, walau sejahat mana pun perangainya, dia tetap inginkan isteri yang baik (ni kes perasan lebih dan tak sedar diri). Apa boleh buat dah jadi kes “Tipah Tertipu”. Betul lah apa yang Ustazah Siti Nor Bahyah cakap- orang bercinta kan mula-mula dia pandang-pandang, pastu pegang-pegang, pastu peluk-peluk dan last sekali perzinaan. Korang fikirlah sendiri…

Oleh itu, teman-temanku, saudara-saudaraku, sedarlah kamu akan perkara ini. Cinta itu adalah suatu anugerah yang suci. Jangan sesekali biarkan itu disalah ertikan. Seharusnya cinta itu mendorong seseorang menjadi insan yang matang, mulia dan membawa kepada kebahagiaan di dunia dan akhirat, tetapi bukan sebaliknya. Kepada sesiapa yang bercinta, tetapi cinta itu tidak membawanya ke lembah perhinaan, teruskanlah… aku sentiasa mendoakan kalian. Kepada sesiapa yang pernah terlanjur dalam percintaan pula, insaflah kalian. Pulanglah ke pangkal jalan kerana tiada yang lebih besar yang kita harapkan selain keampunan dari-Nya.

Sebelum mengundurkan diri, aku tinggalkan sepotong ayat Al-Quran untuk direnungi:

“wanita-wanita yang buruk itu adalah untuk lelaki-lelaki yang buruk dan lelaki-lelaki yang buruk adalah untuk wanita-wanita yang buruk, sedangkan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik. (Surah An-Nur: ayat 26)

Semoga kalian mendapat cinta yang sejati dan suci… Wassalam.

Khamis, 26 Februari 2009

PERHATIAN! Anda stress? Baca ni...

Stress boleh didefinisikan sebagai tekanan, bebanan, konflik dan ketegangan yang menganggu diri. Sebagai pelajar, saya sememangnya tidak boleh lari dari stress yang berpunca dari banyak faktor. Antara sebab utamanya ialah kepayahan untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah dan saya percaya, pasti ramai pelajar yang setuju dengan pernyataan ini.


Dalam surah Al-Ankabut ayat 1-3, Allah swt telah berfirman :

Alif lam mim (hanya Allah sahaja yang tahu). Adakah manusia mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan, ‘Kami beriman’, sedang mereka tidak diuji lagi? Sesungguhnya Kami (Allah) menguji orang yang sebelum mereka. Maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar. Sesungguhnya Dia mengetahui orang yang dusta.


Jelas di dalam ayat suci ini menjelaskan bahawa setiap masalah, bala, kesusahan dan kesempitan yang dihadapi oleh manusia itu sebenarnya adalah sebahagian daripada ujian Allah swt terhadap hamba-Nya bagi melihat sejauh mana ketaqwaan dan keimanan kita kepada-Nya. Malah Allah swt telah menguji setiap makhluk ciptaan-Nya sejak dari dahulu lagi iaitu ketika manusia pertama diciptakan (Adam dan Hawa).


Stress berpunca dari banyak sebab. Antaranya berpunca dari diri sendiri, persekitaran, faktor tanggungjawab dan kerjaya serta faktor desakan kehidupan. Malah bagi pelajar, stress berpunca dari proses pendidikan. Jika tidak dibendung, stress akan membawa kepada kesan yang negatif yang akhirnya memudaratkan diri sendiri. Kesan strees boleh dilihat dari perubahan emosi seseorang seperti mudah marah, mudah sedih, berasa sangat kecewa dan mudah hampa. Seterusnya stress juga akan menyebabkan prestasi diri seseorang mulai merosot. Ia boleh dilihat dari kemerosotan dalam pelajaran, pekerjaan dan perwatakan yang selekeh. Namun begitu, kesan stress yang paling bahaya ialah akan menyebabkan ketidak seimbangan emosi yang mendorong seseorang untuk melakukan perkara di luar jangkaan manusiawi seperti membunuh diri. Inilah yang menakutkan kita.


Jika kita menghadapi stress, kita hendaklah mengatasinya dengan cepat dan dengan cara yang betul. Terdapat pelbagai cara untuk mengatasi stress. Antaranya:
1-Perbanyakkanlah berzikir-
Nabi saw bersabda: basahilah lidahmu dengan zikrullah agar hati dan jiwamu menjadi tenang.


2-Berpuasa sunat- hari Isnin dan Khamis.


3- Perbanyakkan qiamulail- Qiamulail dilakukan pada tengah malam mampu menenangkan

jiwa kerana keadaan pada masa itu adalah sunyi. Terasa dekat antara kita dengan maha

pencipta.


4-Banyakkan berdoa- “ wahai tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada

kesusahan bala, hinanya kesengsaraan, keburukan qadak, dan kegembiraan musuh (terhadap

masalahku). Riwayat Al-Bukhari dan Muslim.


5-Melakukan aktiviti riadah- melakukan senaman, bersukan, melihat keindahan alam dan

berkelah bersama keluarga.
6-Sentiasa muhasabah diri- sentiasa mendidik diri untuk bermuhasabah agar sentiasa tunduk

dan patuh dengan suruhan Allah. Ianya mampu mendamaikan jiwa merasakan diri kita kerdil

di pandangan-NYa.

Tuntasnya, setiap permasalahan yang dihadapi itu sebenaranya adalah ujian daripada Allah swt untuk menguji keimanan kita. Allah swt tidak pernah memberi sesuatu ujian itu di luar batasan kemampuan kita. Ingatlah teman-temanku, setiap yang berlaku itu ada hikmah di sebaliknya dan di sebalik itu terkandung hal-hal yang tersirat dan tersurat yang mungkin menguntungkan kita kelak…Renungkanlah… Wassalam.

















sekali sekala tunjuk bakat beb...

Saat Cinta Bertasbih


Bismillahirahmanirahiim…
Assalamualaikum wbt…

Sebagai manusia, kita tidak pernah lari dari perasaan untuk menyanyangi dan disayangi kerana itu adalah fitrah semulajadi yang dikurniakan oleh Allah swt kepada setiap makhluk ciptaan-Nya dan perasaan itu dinamakan sebagai ‘Cinta’. Apakah yang dimaksudkan dengan cinta? Umum mengetahui bahawa cinta itu adalah satu perasaan sayang, kasih dan suka pada seseorang atau sesuatu benda. Namun apa yang menjadi persoalan, adakah cinta itu membawa kita ke jalan kebenaran? Adakah cinta itu sesuatu yang kekal? Adakah cinta itu akan membahagiakan kita selamanya? Ini persoalan yang perlu diambil kira dalam menguruskan perihal cinta.

Pada masa ini, ramai remaja telah rosak disebabkan cinta. Kerana cinta juga manusia telah menjadi lupa daratan. Kerana cinta juga telah menyebabkan manusia lupa akan tanggungjawab terhadap Tuhan yang telah menciptakan.

Allah swt telah berfirman :
Ada juga antara manusia yang mengambil selain Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah, sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. (Qs Al-Baqarah : ayat 165)

Dalam ayat ini jelas, Allah swt menyatakan bahawa manusia pada masa ini lebih mencintai apa yang berada di dunia ini dan sanggup melakukan apa sahaja untuk memperolehinya walau dengan cara yang salah sekalipun. Kebanyakkan manusia kini lebih mencintai sesama manusia dan cinta pada harta sehingga melupakan cinta pada yang satu sedangkan mereka sendiri sedar bahawa cinta sesama manusia dan harta itu tidak kekal. Namun disebabkan diri dikuasai oleh nafsu yang telah menggelapkan mata, memekakkan telinga, menenggelamkan akal sehingga alpa pada yang Esa.

Sedarlah saudaraku sekalian, cinta di dunia ini adalah sementara, perjalanan kita masih jauh lagi di akhirat sana. Kejarlah cinta yang hakiki. Cinta yang membawa kita ke arah kebaikan, cinta yang mendorong kita untuk taat kepada-Nya, dan gapailah cinta yang teragung iaitu dengan mencintai Tuhan yang satu… Insyaallah dengan menetapkan hati kita kepada Allah swt, nescaya cinta yang teragung itu akan membahagiakan kita di dunia dan akhirat…

Antara kelebihan orang yang mengejar cinta Ilahi :
a) Tiada kecewaSeseorang itu tidak akan kecewa dalam percintaannya merebut cinta agung. Seandainya semua makhluk di bumi dan langit berlumba-lumba merebut cinta Tuhan, tidak ada siapa yang akan kecewa, bahkan Maha Kuasanya Tuhan dapat membalas cinta semua makhluk-makhluk-Nya serentak dari yang sekecil-kecilnya hinggalah yang sebesar-besarnya. Tiada siapa yang akan kecundang dan kecewa dalam perebutan mencari cinta agung.


b) Mendapat ketenangan dan kebahagiaanMendapat cinta Tuhan akan membuahkan ketenangan, kedamaian, keamanan dan kebahagiaan yang hakiki. Jiwa lapang, hati senang dan tenang. Bahkan kesengsaraan, kesakitan atau penderitaaan dalam usaha meraih cinta agung itu merupakan sebahagian daripada kebahagiaan. Kadangkala hati resah, cemas dan bimbang apakah cintanya terhadap Tuhan itu berbalas. Dalam keresahan cemas dan bimbang itu terubat dengan keyakinan bahawa Tuhan itu Maha Luas Rahmat-Nya. Sesekali terasa diri lemah, dhaif dan lalai, tertebus pula dengan pengaduan serta bermanja-manja dengan Allah SWT yang Maha Pengasih. Bertambah pula mendalamnya rasa kehambaan. Sebaliknya merebut cinta dunia akan menimbulkan keresahan dan tiada ketenangan di jiwa. Walaupun dunia yang dicintai itu sudah ada di tangan, namun fikiran manusia masih lagi kusut.

c) Menghilangkan sifat mazmumahMencari cinta Tuhan dapat membantu menghilangkan sifat mazmumah. Mazmumah adalah sifat-sifat keji yang terdapat dalam diri manusia seperti hasad, dengki, sombong, ego, tamak, gila dunia dan lain-lain. Mazmumah dapat merosakkan segala kebahagiaan dan ketenangan di dalam jiwa seseorang insan. Perlumbaan mencari cinta Tuhan adalah salah satu proses paling berkesan dalam usaha seseorang manusia meruntuhkan sifat mazmumah di dalam jiwanya. Sebaliknya, merebut cinta dunia akan menebalkan mazmumah. Hasad dengki pasti akan berlaku dan ia bagaikan siraman baja yang menyuburkan lagi pohon mazmumah dalam diri manusia.

d) Tidak akan kesepian atau keseoranganMemburu cinta Tuhan tidak akan keseorangan dan kesepian. Biarpun tiada kawan bersama, kita tidak akan rasa kesunyian dan ketakutan kerana Tuhan yang menjadi cinta agung sentiasa ada bersama. Malah Tuhan bukan sekadar boleh memerhati, bahkan boleh menjaga dan melindungi kita. Meletakkan cinta dan harap pada Tuhan akan membuatkan hati sentiasa rasa tenang dan selamat kerana kita tahu bahawa kita berada di dalam kawalan dan penjagaan satu Dzat yang Maha Agung lagi Berkuasa. Sebaliknya, manusia yang menyandarkan diri kepada cinta selain Tuhan, belum tentu makhluk yang dicintainya itu dapat mendampinginya sepanjang masa lebih-lebih lagi menjadi pelindungnya setiap masa.


e) Jalannya luas dan selamat.Mengejar cinta Tuhan jalannya luas, lapang, selamat dan menyelamatkan, manakala mengejar cinta dunia jalannya sempit, himpit-menghimpit serta memudharatkan. Begitulah beruntungnya sesiapa yang menjadikan Tuhan cinta agungnya dan malang sekali bagi sesiapa yang memburu cinta selain Tuhan.

Sebagai penutup bicara, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah swt dengan menyandarkan cinta sepenuhnya kepada Dia. Sesungguhnya tiada yang kekal selain Allah. Mencintai Allah merupakan satu ibadat yang suci, suatu ketenangan abadi dan suatu hadiah yang murni… Renungkanlah… Wassalam.

Jumaat, 20 Februari 2009

Membina Persahabatan Yang Sejati

Bismillahirahmanirahiim...
Assalamualaikum wbt...

Nasihat al-Qamah: Lima cara pilih sahabat
NASIHAT yang boleh diikuti dalam membina persahabatan ialah sebagaimana pesanan al-Qamah (seorang sahabat Rasulullah saw) kepada anaknya:

Pertama: pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan diri kita dan jika
kita dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi keperluan.

Kedua: pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan
jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat
kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menghitung-hitungkan (menyebutnya).

Ketiga: pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan
jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu dan dianggap sangat
berguna, dan jika ia mengetahui mengenai keburukan dirimu ia suka menutupinya.

Keempat: pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi,
jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan
kesedihan yang menimpa dirimu,dia suka membantu dan meringankanmu serta
menghiburkanmu.

Kelima: sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu
mempercayainya saja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat dia
suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk
kepentinganmu.

Dalam memilih sahabat kita hendaklah memilih sahabat yang baik agar segala matlamat dan hasrat untuk memperjuangkan Islam dapat dilaksanakan bersama-sama sahabat yang mulia. Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara :"Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan, Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu, Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu, ..dan dosa-dosa yang silam di sulami dengan taubat kepada Dzat yang Memiliki mu."

Renung-renungkanlah. Semoga anda mendapat sahabat yang sejati.... Wassalam.

Menyingkap Asal Kejadian Manusia

Bismillahirahmanirrahiim....
Assalamualaikum wbt...

Alhamdulillah... pada petang Jumaat yang hening ini, terdetik dihati ku untuk menulis berkenaan asal penciptaan manusia. Subhanallah... Sesungguhnya di dalam Al-Quran telah menceritakan proses penciptaan manusia dengan cukup terperici dan unik sekali. Ia bertentangan sekali dengan konsep yang dikemukakan oleh pengkaji barat iaitu Darwin yang menyatakan bahawa manusia itu wujud disebabkan revolusi iaitu berasal dari monyet. Alangkah rendahnya martabat manusia apabila dia menyamakan manusia itu dengan binatang... Ternyata apa yang dinyatakan olehnya itu tidak benar kerana dia sendiri belum sempat untuk menjawab persoalan- jika benar manusia itu wujud dari monyet, maka monyet pula berevolusi daripada apa?

Al-Quran telah menjelaskan bahawa manusia yang pertama diciptakan oleh Allah swt ialah Nabi Adam as daripada tanah. Tanah-tanah ini pula berlainan jenis yang digabungkan untuk melengkapkan kesemua elemen bagi penciptaan manusia. Jenis-jenis tanah ini diterangkan dalam surah yang berbeza seperti yang dinyatakan di bawah :

1- dalam surah Ar-Rahman (ayat 14): Dia(Allah) menjadikan manusia dari tanah kering seperti
tembikar (tanah yang dibakar).
-Penerangannya: perkataan 'sal sal' yang dinyatakan di dalam ayat ini ialah tanah kering atau setengah kering yakni zat pembakar atau dalam konteks sains dikenali sebagai oksigen. Di ayat ini juga disebut kata 'fakhkhar' yang bermaksud zat arang atau carbonium.

2- dalam surah Al- Hijir (ayat 28) : dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat:
Sesungguhnya aku (Allah) hendak membuat seorang manusia (Adam) daripada tanah kering
dan lumpur hitam yang berbentuk.
-Penerangannya: dalam ayat ini juga menyebut perkataan 'sal sal' sama seperti di atas dan terkandung perkataan 'hamaain' yang bermaksud zat lemas atau netrogenium.

3- dalam surah As-Sajadah (ayat 7) : Dia (Allah) menciptakan sebaik-baiknya dan memulai
penciptaan manusia daripada tanah.
-Penerangannya: dari perkataan 'thien' (tanah) dalam ayat ini merujuk kepada atom zat air atau hidrogenium.

4- dalam surah As-Safaat (ayat 11): sesungguhnya aku menjadikan manusia daripada tanah liat.
-Penerangannya: kata 'lazib' di dalam ayat ini bermaksud tanah liat iaitu zat besi atau ferrum.

5- dalam surah Ali-Imran (ayat 59) : Allah menciptakan Adam dari tanah...kemudian Allah
berfirman kepadanya ; jadilah seorang manusia, maka jadilah ia.
-Penerangannya: kata 'turab' (tanah) dalam ayat ini ialah unsur-unsur zat ali' yang terdapat dalam tanah yang dinamai zat-zat anorganis.

6- dalam surah Al-Hijir (ayat 29) : maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya, dan
telah meniupkan ke dalam roh ciptaan Ku.
-Penerangannya: selepas lengkap proses penciptaan manusia maka Allah meniupkan roh untuk menghidupkan manusia (Adam) tadi.

Seperti yang dijelaskan di dalam ayat-ayat Al-Quran di atas, Allah swt telah menunjukkan tentang proses kejadian Nabi Adam dari awal hingga terbentuknya manusia. Proses kejadian manusia ini melalui adunan zat arang (carbonium), zat lemas (nitrogenium), zat air (hidrogenium), zat besi (ferrum), yodium, kalium, silicium dan mangaan yang disebut 'laazib' (zat-zat anorganis). Dalam proses persenyawaan terbentuklah zat yang dinamai protein.

Subhanallah... Ternyata cukup jelas dan terperinci apa yang diterangkan dalam Al-Quran berkenaan proses penciptaan manusia. Sesungguhnya Allah swt itu Maha Berkuasa. Dia mampu untuk menjadikan sesuatu di alam ini. Semoga apa yang ditulis ini dapat membuka mata kita sebagai makhluk ciptaan-Nya yang lemah... Wassalam.

Rabu, 18 Februari 2009

Assalamualaikum... Ahlan Wa Sahlan

Selamat datang ke laman blog saya ini. Laman ini akan membicarakan tentang soal kehidupan, permasalahan semasa, soal agama dan lain-lain secara santai. Ia sekadar untuk mengingatkan saya, anda, kamu, mereka yang sentiasa tersilap dan terlanjur dalam menongkah arus kehidupan ini. Sebagai manusia, kita dilahirkan untuk menjadi Khalifah yang mentadbir bumi ini mengikut panduan yang diberikan oleh-Nya. Namun disebabkan oleh kebobrokan diri, kelemahan akal, dan kekuasaan nafsu telah menenggelamkan keimanan kepada Allah swt. Disebabkan kesedaran ini, saya mengambil peluang yang ada untuk menyebarkan dakwah melalui laman blog ini . Semoga kita menjadi ummat yang saling berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. Wassalam....
Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates