Selasa, 12 Mei 2009

Kebahagiaanku

Bismilahirahmanirahiim...
Assalamualaikum wbt...

Hanya seminggu sahaja lagi aku tinggal di Sabah sebelum aku berangkat pulang untuk bercuti selama dua bulan (cuti semester dua). Tidak sabar rasanya hati ini untuk berjumpa keluarga dan teman-teman di kampung yang telah lama aku tinggalkan. Namun begitu, pada masa yang sama, perasaan sedih turut bergelumang dalam hati ini. Maklumlah terpaksa meninggalkan teman-teman karib di sini. Mungkin ramai yang mengatakan bahawa dua bulan itu bukannya lama, tetapi kita patut sedar dalam masa itu pelbagai perkara boleh berlaku tanpa penegtahuan kita kerana ilmu Allah swt itu sangat hebat dan Dia Maha Mengetahui akan segala-galanya. Disebabkan hal ini, terlintas di fikiranku untuk menulis tentang perkara yang membahagiakan aku selama ini agar ianya menjadi suatu kenangan terindah untuk dikongsi bersama keluarga dan teman-teman.

Sering aku bertanya kepada teman-temanku akan pengertian bahagia dalam kehidupan mereka. Pelbagai jawapan yang aku perolehi...ada duit yang banyak(kaya), dapat kerja yang elok, dapat isteri yang cantik atau orang yang dikasihi. Inilah antara jawapan yang wajib bagi mereka dan aku yakin semua orang menginginkan perkara yang sama... Namun bagi aku, itu semua tidak menjadi faktor kebagiaan dalam kehidupanku kerana hanya ada dua perkara yang betul-betul dapat membahagiakan aku iaitu keluarga dan teman-teman. Kedua-dua ini sangat penting dalam hidup aku dan aku yakin tanpa keluarga dan teman, hidup aku akan menjadi kosong dan mungkin kehidupan aku akan tidak sempurna...

Aku dilahirkan dalam keluarga sederhana yang menjalankan kehidupan serba ringkas seperti kebanyakan orang kampung yang lain. Aku mempunyai 6 orang adik-beradik (5 lelaki 1 perempuan) dan aku merupakan anak bongsu dalam keluarga. Abah bekerja di Ipoh dan ibuku menjadi suri rumah tangga sepenuh masa dan bertanggungjawab mendidik dan mengasuh kami. Keluarga aku cukup bahagia pada masa itu, namun... semasa aku di tingkatan dua(2002), satu peristiwa yang sedih berlaku dalam keluargaku. Abah dan kakak kesayanganku telah kembali ke rahmatullah... hati kami sekeluarga bagai direntap dengan kehilangan orang tersayang yang jarak pemergiannya tidak sampai sebulan. Namun aku sekeluarga redha dengan ketentuan Ilahi dan aku yakin setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya.
Selepas pemergian abah, kehidupan aku sekeluarga mengalami kesusahan... maklumlah kehilangan tempat bergantung. Segala tanggungjawab untuk menyara keluarga dipikul oleh ibuku yang telah mengambil keputusan untuk menjadi pengasuh sebagai sumber rezeki utama keluarga. Aku sekeluarga sangat terharu dengan tindakan ibu yang sanggup bersusah payah menjaga aku dan abang-abangku. Tambah memeritkan, pada masa itu, abangku yang ketiga dan keempat juga termasuk aku sedang belajar dan memerlukan perbelanjaan yang banyak. Namun begitu, semangat kekeluargaan yang erat telah membolehkan aku sekeluarga menghadapi setiap kesusahan yang datang dengan mudah kerana kami saling menyokong dan membantu antara satu sama lain. Alhamdulillah... berkat kesabaran dan sentiasa bersyukur dengan ketentuan-Nya, kehidupan keluarga telah mula berubah. Walaupun tidak memiliki harta dan wang yang banyak, namun aku sekeluarga bahagia kerana kehidupan kami tidak sesusah dahulu dan kami lebih senang untuk hidup secara sederhana... Setiap keperluan dan kehendak yang diingini akan diusahakan bersama dan itu telah mengeratkan lagi semangat kekeluargaan kami. Aku sangat bersyukur kepada Allah swt kerana telah menghadiahkanku sebuah keluarga yang cukup sempurna dan kesempurnaan itu telah menjadikan keluarga ini sesuatu harta yang sangat penting dan dapat membahagiakan aku dalam kehidupan ini. Aku berdoa kepada Allah agar ikatan kekeluargaan yang terbina ini tidak akan putus sehingga akhir hayat nanti dan semoga kami dapat berkumpul dalam keadaan gembira di akhirat kelak... Amiin

Dalam kehidupan ini, sudah menjadi lumrah semulajadi manusia untuk berteman atau mempunyai kawan. Bagiku, dalam kehidupan ini, teman merupakan orang yang penting selepas keluarga kerana aku akan menjadikan temanku sebagai tempat untuk meluahkan perasaan, berkongsi pengalaman, kegembiraan dan kesedihan juga sebagai penyokong kuat dalam perjuangan kehidupan ini. Aku sememangnya seorang yang suka berkawan, tidak kira bangsa dan agama kerana ia dapat melupakan sedikit sebanyak kesedihan yang pernah berlaku dalam hidup aku dahulu... Dalam ajaran Islam sendiri, Allah swt telah berfirman :

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu). Surah Al- Hujurat ayat 13.

Sepanjang aku berkawan, rasanya amat jarang aku bergaduh atau putus persahabatan kerana ia akan membuatkan aku tersangat sedih seumpama aku kehilangan orang yang tersayang. Satu perangai dan kelemahan aku dalam berkawan ialah aku akan meletakkan kepercayaanku ini 100% kepada teman-teman kerana bagiku teman yang sejati tidak akan berbohong kepada teman-temannya dan aku tidak mahu persahabatan yang terjalin ini diasaskan oleh perbohongan. Namun begitu, ada juga di antara teman-teman kau yang mengambil kesempatan terhadap kelemahan aku ini dan aku pernah ditikam dari belakang oleh teman yang paling rapat denganku suatu ketika dahulu. Tetapi, sebagai manusia biasa, kita tidak pernah terhindar dari melakukan kesilapan dan dari kesedaran ini telah membuka hatiku untuk memaafkan mereka dan memberi mereka peluang kedua... Malah aku yakin, mungkin dalam keadaan sedar atau tidak sedar, aku juga pernah menyakiti hati teman-temanku sama ada melalui percakapan atau perbuatan. Jika ada di antara teman-teman yang terasa atau sakit hati sepanjang perkenalan ini, aku memohon seribu kemaafan dan jika kehadiran aku ini telah mengganggu kehidupan mereka, dengan berat hati aku rela mengundurkan diri ini kerana kebahagiaan mereka akan menjadi kebahagiaanku juga...

Semasa keputusan kemasukan ke universiti dikeluarkan, aku sangat terkejut kerana permohonan aku diterima dan mendapat tempat di UMS. Namun begitu, sedikit kesedihan muncul apabila terpaksa berpisah dengan teman-teman dan keluarga di kampung... Namun untuk memenuhi permintaan ibu, aku melangkah juga ke sini. Disebabkan oleh kos pengangkutan yang tinggi, aku datang seorang diri ke sini tanpa ditemani oleh keluarga. Segala-galanya perlu diuruskan sendiri. Di sini, aku mula mengenali teman-teman baru yang berbagai bangsa dan agama. Malahan, ikatan ukhwah yang terjalin ini bagaikan sebuah keluarga yang saling melengkapi dan ianya kekal sehingga hari ini dan aku selalu berdoa agar Allah swt meredhai jalinan persahabatan yang terbina ini...

Dalam berkawan, aku sering mengamalkan beberapa prinsip iaitu teman seharusnya melindungi teman, jangan berkira dengan teman dan yang lebih penting teman harus bersikap bagai aur dengan tebing kerana tebing akan jatuh tanpa aur yang mencengkam erat dan aku berjanji kepada teman-teman bahawa aku akan cuba membahagiakan mereka setiap masa kerana aku tidak mahu kesedihan wujud di tengah-tengah kebahagiaan persabatan yang dibina.

Sering kali orang bertanya kepadaku, mengapa aku suka berkawan dan sanggup melakukan apa sahaja untuk kawan? Aku berpegang pada satu jawapan berbentuk analogi bagi menjawab persoalan ini. Bagiku, seseorang yang tidak mempunyai teman itu diibarat seperti sebidang tanah gersang yang tidak subur dan tiada langsung tumbuhan yang sudi menumpang. Berbeza pula dengan seseorang yang mempunyai teman, malah teman yang ramai diibaratkan seperti sebidang tanah yang sangat subur dengan ditumbuhi rumput-rumput yang kehijauan dan pokok-pokok yang besar serta menjadi habitat bagi haiwan. Malah, ia membentuk satu ekosistem yang saling bergantung dan melengkapi antara satu sama lain.

Oleh itu, aku akan cuba menghargai setiap orang yang ada di sekelilingiku kerana aku percaya ia adalah suatu anugerah daripada Allah swt untuk mencukupkan diri yang lemah ini dan aku percaya tanpa teman dan keluarga, orang yang bernama Shahrul Hisham Bin Ngah @ Ramli ini langsung tidak berguna dan mungkin tidak menjadi insan sempurna...
“Ya Allah yang Maha Berkuasa, Engkau berilah kebahagiaan kepada keluargaku, teman-temanku dan orang yang berada di sekelilingku dengan kebahagiaan yang sebenar di dunia dan akhirat. Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, Engkau kekalkanlah ukhwah wasillah yang terjalin antara aku dan teman-temanku, redhailah pertemuan dan ikatan ini. Jika perpisahan akan terjadi, maka janganlah biarlah perpisahan itu terjadi disebabkan perkara remeh. Sesungguhnya Engkau Maha Pengubah sesuatu perkara yang tidak diketahui....”Amiin.

Keluargaku...
Ibu (Zainun Binti Ali)- ketabahanmu menghadapi setiap kesengsaraan dalam mendidik aku dan abang-abang agar menjadi insan berguna merupakan suatu pengorbanan yang terbesar dan kami tidak dapat membalasnya dengan wang ringgit. Apa yang mampu, aku hanya dapat berikan yang terbaik kepada ibu agar ibu sentiasa bergembira bagi merawat kedukaan yang lalu dan aku sentiasa doakan ibu dipanjangkan umur supaya dapat melihat kejayaan anakmu ini suatu hari kelak...
Abang Nizam dan Abang Peja- ketegasanmu dalam mendidik aku menjadikan aku seorang yang tabah dan berjiwa cekal. Aku tidak pernah ambil hati terhadap kekasaran yang pernah kamu buat dalam mengajar aku, kerana aku tahu, apa yang kamu buat selama ini adalah untuk demi kebaikan aku...
Abang Puyi- sifat kamu yang tenang dan bertanggungjawab menjadikan kamu seorang abang yang penyayang dan memahami akan perasaan keluarga. Begitu banyak yang telah kamu korbankan demi menjadikan keluarga ini sempurna. Malah aku cukup terharu kerana kamu sanggup menanggung segala perbelanjaan pembelajaran aku...
Abang Juwang- kesanggupan kamu mengorbankan masa depanmu demi menjaga ibu di kampung menjadikan kamu seorang abang yang setia dan anak yang taat. Terima kasih aku ucapkan kerana sanggup membantu abang-abang yang lain menjaga ibu...
Khas buat Abang Li (Fadli)- aku bersyukur mendapat sepupu sepertimu kerana kamu telah mendidik dan mencurahkan segala ilmu keagamaan kepadaku dan keluarga supaya menjadi insan yang seimbang di dunia dan akhirat...

Teman-temanku...
Kepada teman-teman di kampung- Makdi, Borgio, Amir Dem, terima kasih aku ucapkan kerana sudi menjadi teman rapatku dan sudi mendidik aku dalam mengenali ilmu pertahankan diri. (Persatuan Kalimah Malaysia).

Buat teman-teman sekolah (tingkatan 6)- Miza, G-ra, Janne, Sya, Z-lan, Syahir, Fifi, Fazlee n Fazlan, Irwan, dan yang lain (terlalu ramai untuk dinyatakan) Segala kenangan semasa di sekolah dahulu tetap bersemadi dalam ingatanku. Diharap persahabatan ini berkekalan selamanya dan aku doakan semoga kamu semua berjaya.

Kepada teman-teman di Universiti-
Brop, Azmah, Wawa, Zai, Ann, Azie n the Gang dan lain-lain (terlalu ramai untuk dinyatakan). Begitu banyak kenangan terindah yang diperolehi sepanjang pertemuan ini dan yang pasti, ia tidak akan dilupakan buat selama-lamanya. Semoga ikatan ukhwan ini berpanjangan.

Teman sebilik- Kevin, Amsa, Along, Aszlan dan Ajis(Rhazes). Kehadiran kamu dalam diri ini cukup bermakna. Keutuhan yang terbina ini didibaratkan sebuah kelurga yang saling memahami. Dengan teletah dan gelak-ketawa kamu, telah mengubat kerinduanku di kampung.

Kepada semua ahli Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi UMS: Iwan, Rafuan, Aki, Ikwan,Ayen, Asraf, Ridhwan dan yang lain- semoga perjuangan kita beroleh kejayaan.

Khas buat Richard- pertemuan kita pada awal semester lepas telah membawa kepada satu persahabatan yang utuh yang boleh dikatakan seperti hubungan abang dan adik. Seribu kemaafan aku pohon sekiranya aku pernah termarah, terkasar dan menyakiti hati kau sepanjang aku mendidik dan menjaga kau selama ini. Sesungguhnya aku hanya memberikan yang terbaik untuk kau. Cuma satu yang aku harapkan, antara kita tiada sebarang rahsia. Jika ada sesuatu yang kau rasa tidak puas hati dengan ku, aku sedia mendengar dan menerimanya dengan hati terbuka kerana aku tidak mahu pertalian ini musnah setelah setahun kita membinanya...

Khas buat temanku Nafi- persahabatan yang baru sahaja terjalin ini membawa banyak erti dalam kehidupan. Sikapmu yang memahami, kelakar, dan baik hati membuatkan aku terhibur dan dapat berkongsi apa sahaja denganmu. Malah, apabila bersamamu, aku rasakan diri ini dekat bersama dengan keluarga (barangkali sikapmu yang sama seperti arwah kakakku). Aku cukup terasa ketika pertama kali kau mengusap kepalaku kerana ia telah mengingatkan aku kepada arwah kakak. Semoga persabatan yang terjalin ini akan berpanjangan dan membawa seribu kebahagiaan kepadaku kita berdua. Satu pesananku, jangan lupa janji kita pada malam tu...

Kepada keluarga dan teman-teman, hanya satu yang ingin aku nyatakan... aku sangat SAYANGKAN anda semua... Itulah kebahagiaanku.... Wassalam.


TEMAN

Kau bagai inspirasi datang pada tiap mimpi
Dalam diam kukagumi hadirmu membawa erti
Teman ingin aku tahu apa resam dihatimu
Teman andai aku mampu bersama dalam dukamu

Aku sanjung harapanmu ingin membela bangsamu
Walaupun sekadar lagu itu adalah caramu
Teman andai aku pergi relakan setulus hati
Kenangku dalam doamu aku adalah temanmu

Jalinan ikatan rasa ada di hati kita
Saling mengerti saling memerlukan
Semoga engkau bahagia...semoga engkau bahagia...



Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates