Assalamualaikum wbt...
Baru-baru ini (Jumaat-Selasa,), aku dan rakan-rakan dari kelas pengurusan ekosistem persekitaran telah pergi menjalankan kerja lapangan di Sandakan. Teruja aku ke sana kerana baru pertama kali menjejakkan kaki ke daerah itu. Sandakan adalah sebuah kawasan yang mempunyai banyak bandar dan bandar-bandar tersebut adalah berpisah antara satu sama lain. Tahun lalu, Sandakan mendapat anugerah sebagai bandar paling bersih...namun, berdasarkan kajian dan pemerhatian yang aku buat adalah sperti indah khabar dari rupa. Bukanlah niat aku untuk mengatakan perkara buruk, mungkin sesetengah kawasan di Sandakan dalam keadaan bersih dan sesetengah lagi tidak diurus dengan baik. Penulisan aku kali ini bukanlah untuk menceritakan tentang keburukan bandar Sandakan atau mengenai keindahan Sandakan tetapi adalah berkenaan pengalaman aku bersama-sama teman di sana. Ada kisah tersirat dan tersurat ingin aku sebarkan yang mungkin akan membuatkan teman-teman berfikir tentangnya.
(Hari pertama, Jumaat, 5/3/2010)
Sesampainya kami di Sandakan, satu masalah telah timbul iaitu berkenaan dengan tempat tinggal. Pada mulanya kami merancang untuk menginap di Kompleks Sukan Sandakan setelah melakukan rundingan harga sebelum kami berangkat ke sana. Namun, sampai di sana, lain pula yang jadinya. Harganya telah berubah...tekejut juga kami pada masa tu. Tetapi akhirnya masalah itu selesai juga dengan bantuan bapa Azmah dan kawan baiknya yang bertugas di penjara Sandakan. Kami mendapat tempat tinggal percuma untuk 5 hari 4 malam di rumah rehat pegawai penjara dengan bantuan mereka. Alhamdulillah...dapat juga kami berjimat.kami diberi tiga bilik, dua untuk pelajar perempuan dan satu untuk pelajar lelaki. Sebelum kami beristirahat, kami membersihkan rumah itu terlebih dahulu. Maklumlah, rumah itu sudah lama tak berpenghuni. Aku dan beberapa orang teman melaungkan azan di setiap penjuru rumah sebagai pendinding bagi mengelakkan perkara-perkara buruk berlaku. Selepas semuanya sudah dibersihkan, kami semua keluar untuk makan malam di kawasan ikan bakar. Memang cukup berselera kami makan malam tu. Maklumlah penat berkemas pada petang tadi. Kemudian kami pulang untuk merehatkan badan yang keletihan seharian di dalam bas yang perjalanannya cukup mencabar terutama di kawasan laluan Ranau dan Kundasang.
(Hari kedua, Sabtu, 6/3/2010)
Keesokkan harinya, mulalah cabaran kami menjalankan kajian lapangan di sekitar Bandar Sandakan. Beberapa kumpulan telah dibahagikan dan diberukan tugasan yang berbeza. Ada kumpulan yang membuat kajian ke atas kualiti air, pencemaran bunyi dan udara serta membuat soal selidik. Cuaca di Sndakan cukup panas. Terasa bahang matahari membakar kulit. Mata menjadi silau menyukarkan pandangan. Namun kerja tetap diteruskan. Kebetulan hari itu, kumpulan aku mendapat tugasan menguji kualiti air di Sungai Sepilok. Alhamdulillah, tugasan pada hari pertama dapat diselesaikan. Tengah hari itu, kami menikmati ikan bakar lagi. Cukup menyelerakan. Malahan harganya sangat murah. Pada malamnya, pelajar-pelajar perempuan telah memasak untuk santapan kami. Walaupun ringkas, tetapi rasa kenikmatannya apabila kami berkumpul beramai-ramai untuk makan bersama-sama. Sambil makan, senda gurau menjadi selingan membuatkan bilik menjadi riuh rendah dengan sorakan dan ketawa. Gembira sungguh pada malam itu. Hilang segala stress dan penat lelah sudah terbalas. Selesai makan...apa lagi katil menjadi tempat singgahan merehatkan fizikal yang penat.
(Hari ketiga, Ahad, 7/3/2010)
Pada keesokkannya pula, cabaran diteruskan. Hari itu kumpulan aku diberikan tugasan untuk menguji tahap pencemaran bunyi dan kualiti udara. Perhentian pertama untuk melakukan tugasan itu adalah di bulatan Taman Buaya. Dengan keadaan panas terik dan di tengah kesibukan lalu lintas mencabar kami menyelesaikan tugasan. Peluh keringat tidak terhenti mengalir. Baju yang kering lembap diresapi peluh dan bauan wangian badan hilang diganti bau masam peluh. Nasib...nasib... kami perlu menunggu selama satu jam untuk mendapatkan keputusannya. Setelah selesai di bulatn itu, kami beralih ke kawasan kedua yang jaraknya lebih kurang 400 meter dari kawasan pertama. Sampai di kawasan kedua, pensyarah kami datang bersama dengan 2 orang pelajar Master. Setelah dipujuk dan dibodek, pensyarah belikan kami buah tembikai yang cukup manis dan menyegarkan badan di kala dibahang kepanasan walaupun pada mulanya kami meminta dibelikan aiskrim. Tapi kami tetap bersyukur...dapat percuma, siapa yang tidak mahu kan? Kemudiannya kami beralih ke temapt ke tiga iaitu di hadapan pasaraya Survey Sandakan. Kepala aku mula pening...kawasan itu benar-benar terik. Maklumlah menjadi tempat kilang-kilang dan laluan utama kenderaan berat. Akhirnya selesai juga tugasan kami. Kami berkumpul dan dibawa makan tengah hari. Selepas itu, tugasan diteruskan iaitu untuk menghabiskan borang soal selidik. Kali ini, semua pelajar terlibat melakukannnya bersama-sama. Lokasinya di Taman Mawar. Kami menyiapkan tugasan lebih kurang jam 5 petang. Kami berangkat ke temnpat penginapan. Walaupun penat tapi kami tetap gembira dapat menyiapkan tugasan yang diberikan. Seperti biasa tugas pelajar perempuan untuk memasak makan malam. Pada malam itu, pelajar perempuan makan di bilik lelaki kerana kata mereka bilik mereka tidak kemas. Apa lagi, menjadi kelam kabut kami mengemas bilik. Kami dipuji oleh pelajar perempuan pada malam itu. Kata mereka bilik kami kemas, tidak seperti bilik mereka yang bersepah dengan barang-barang. Maklumlah, kami kan calon lelaki yang boleh dibuat suami. Hahahaha...
(Hari keempat, Isnin, 8/3/2010)
Tugasan kami diteruskan lagi keesokknya. Pada hari itu, kami melawat agensi Jabatan Alam Sekitar Sandakan dan Majlis Perbandaran Sandakan. Di sini kami diberikan maklumat berkenaan dengan peranan agensi-agensi tersebut dan sesi soal jawab turut diadakan bagi mendapat input yang lebih. Semasa sesi soal jawab dengan Majlis Bandaraya Sandakan, kami meloncarkan soalan-soalan yang panas berkenaan keluhan penduduk yang menyatakan pihak MPS tidak menjalankan tugas dengan sempurna. Hasilnya, pihak MPS menerima kritikan dan saranan kami dan berjanji akan melakukan pemantauan terhadap aduan-aduan yang dikemukakan. Pada sebelah malamnya, kami mengadakan berbeku iaitu membakar ayam dan sosej. Tugasan membakar diberikan kepada pelajar lelaki manakala pelajar perempuan memasak nasi dan lauk. Pensyarah, pelajar Master dan pemandu bas turut datang pada malam itu. Suasana malam di penjara itu menjadi bingit dengan hilaian ketawa kami. Walaupun ringkas, tapi suasananya sangat meriah. Kami makan bersila beramai-ramai di tempat parkir kereta sambil berbalas-balas pantun. Cukup menggembirakan semua yang ada pada malam itu. Seperti satu keluarga yang erat menyambut pesta keraian kejayaan. Aku terbayang di kampung halaman, berkumpul bersama keluarga dan saudara-mara. Ahh...aku rindukan mereka. Selesai makan, kami bersama-sama mengemas dan membasuh peralatan memasak. (pelajar lelaki yang buat. Pelajar perempuan santai di bilik...rehat awal. Hahahaha).
(Hari kelima, Selasa, 9/3/2010)
Hari ini merupakan hari terakhir kami di Sandakan. Kalau ikutkan hati ini, tidak mahu pulang hendaknya. Maklumlah, sampai sahaja di UMS, beban tugas kembali banyak dengan laporannya, kuliah, makmal dan tugasan berkumpulan. Sebelum berangkat pulang ke UMS, kami mengadakan lawatan di Taman Perlindungan Orang Utan Sepilok. Selama ini aku hanya dapat tengok Orang Utan di kaca televisyen sahaja. dikesempatan ini, dapatlah aku melihatnya dengan kaca mata sendiri. Walaupun masa kami pergi ke sana hanya dua ekor sahaja yang kelihatan, namun perasaan puas tetap terasa. Kami bergambar sakan di sana. Mana taknya, setiap kamera yang dibawa masuk perlu dibayar RM10. Tak nak rugi punya pasal, kami bergambar sepuasnya. Sampai habis bateri. Setelah itu, kami memulakan perjalankan pulang ke UMS. Kami singgah di batu 13 untuk membeli buah salak. Namun kebetulan masa itu bukan musimnya. Jadi harganya mahal sedikit dari biasa dan buahnya tidak banyak serta kecil. Kemudian perjalanan diteruskan lagi. hentian kami seterusnya di Stesen Minyak Petronas Ranau. Ada sebuah gerai burger di situ. Kami menyerang kedai burger itu membuatkan penjualnya pening kepala mengambil pesanan kami. Di tambah lagi dengan bising suara dan desakan rebutan kami untuk mendapatkan burger terlebih dahulu membuatkan penjual menjadi bertambah keliru dan ada riak bingung dimukanya. Untuk mempercepatkan masa, aku menolong penjual yang berumur 16 tahun itu menyiapkan pesanan. Maklumlah, sebelum ini aku sudah biasa menjaja makanan di pasar malam dan bazar Ramadhan. Jadi semuanya menjadi lebih mudah. Akhirnya pesanan dapat disiapkan. Rakan-rakan berselera memakan burger itu setelah lama menanti. Kami sampai di UMS lebih kurang jam 7.30 malam. Alhamdulillah, perjalanan pulang kami selamat sampa ke destinasi...
Begitulah kisah aku dan teman-teman sekelas di Sandakan. Apa yang tersirat melalui projek kajian lapangan ini amat bermakna kepada aku dan mungkin kepada teman-teman yang lain. Ia akan menjadi salah satu kenangan, coretan dan makalah yang tidak akan dilupakan. Keakraban kami adalah seperti adik-beradik yang saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Tiada istilah Geografi Manusia atau Fizikal, yang ada cuma satu Geografi yang menjadi pemangkin persahabatan kami. Segala masalah, percanggahan, kekangan dan cabaran, kami cuba menyelesaikan bersama. Tidak dinafikan, masalah dan konflik antara kami tetap wujud. Tetapi bagiku itu hanyalah ujian untuk merapatkan dan mengukuhkan lagi institusi keluarga ini. Setiap kali program dianjurkan, kami sama-sama terlibat bagi memastikan program itu berjalan dengan lancar. Jika ada dalam kalangan kami yang sakit atau ditimpa musibah, kami turut berasa risau dan bimbang serta bersimpati kepadanya dan cuba menolong untuk meringankan beban. Bak kata pepatah, cubit peha kiri, peha kanan juga terasa sakitnya. Sentiasa di bibir kami bertanyakan khabar teman yang sakit menandakan kami cukup ambil berat antara satu sama lain. Kami cuba menjadi pemecah tradisi. Jika dahulu, kumpulan Geografi Fizikal dengan Geografi Manusia hanya membuat kerja masing-masing dan kurang rapat. Kami tingggalkan tradisi itu. Bagiku, keluarga Geografi ini akan lemah dan banyak program tidak menjadi atau kurang sambutan jika sikap dan sifat itu diteruskan. Sesungguhnya kesatuan dalam keluarga akan membawa kepada keteguhan dan pencapaian yang terbilang. Disebabkan oleh perkara ini, aku merasakan kelab-kelab lain ada yang cemburu dengan kejayaan kami. Aku juga percaya, tiada kelab lain di sekolah kami (Sains Sosial) yang mempunyai ikatan dan persefahaman antara semua pelajarnya. Aku cukup kagum dan bangga menjadi salah seorang dari ahli keluarga Geografi. Kepelbagaian budaya, bangsa, agama dan bahasa tidak menghalang kami untuk bekerja bersama-sama dan saling kenal-mengenali hati budi masing-masing.
Mengakhiri penulisan aku kali ini, aku sangat berharap agar ukhwah yang terjalin ini berkekalan bukan hanya semasa kami menuntut di sini, tetapi ianya akan kekal sampai ke hujung nyawa. Aku juga berharap, adik-adik tahun 1 yang bakal menjejaki ke tahun 2 dan pelajar yang akan memasuki kursus ini pada semester depan dapat meneruskan kesinambungan tradisi yang kami amalkan. Tiada istilah GM atau GF, tetapi yang ada hanyalah 1 Geografi.
Sekian nukilan aku buat masa ini. Wassalam.