Khamis, 5 April 2012

HEBATNYA DOA SEORANG IBU

Semasa kerajaan Bani Umaiyah berkuasa di bawah pemerintahan Khalifah Mu'awiyah bin Abu Sufyan, terdapat seorang janda daripada keturunan Nabi Muhammad Sallallahu `alaihi wasallam. Dia mempunyai tiga orang anak perempuan yang masih kecil dalam kedaaan hidupnya sangat dhaif dan menyedihkan.


Pada suatu hari anak-anaknya menangis tidak berhenti-henti, kerana tidak tahan lagi menanggung kelaparan. Sudah puas ibunya memujuk menyuruh bersabar namun anak-anak itu terus menangis dengan kuatnya.


"Tunggulah sampai besok nak, nanti ibu akan pergi ke pejabat kadi bertemu tuan hakim meminta sesuatu daripada harta Baitulmal' mudah-mudahan dia menghulurkan sedikit bantuan untuk kita. " Ujar ibu itu berjanji mengharapkan anak-anaknya akan diam.

Maka pada keesokan harinya, pagi-pagi lagi ibu tadi beserta anak-anak itu datang ke pejabat tuan hakim. Setelah agak lama menunggu, barulah tuan hakim datang. Melihat ibu dan anak-anak kecil berada di hadapan pejabatnya, tuan hakim bertanya :


"Ada apa kamu sekalian menunggu di sini ?"

"Tuan Hakim ! Kami sudah lama tidak menjamah makanan. Saya sendiri bolehlah tahan, tapi anak-anak kecil ini tidak sanggup menahan lapar, jadi kami datanglah ke mari moga-moga Tuan dapat memberikan sedikit sedekah kepada kami." Kata ibu tadi mengharap belas kasihan daripada tuan hakim itu.

"Baiklah, hari ini kembalilah dulu ! Besok aku akan berikan kamu sesuatu," tegasnya.
Wajah ibu itu ceria sedikit bila mengetahui bantuan yang diharap-harapkan itu akan diterimanya esok. Tapi bila memikirkan keadaan anak-anaknya yang sedang kelaparan itu maka timbul di hatinya untuk merayu kepada tuan hakim itu supaya bantuan itu diberikan pada hari itu juga.

"Tuan Hakim ! Terima kasih banyak di atas pertimbangan Tuan yang baik itu, tapi alangkah baiknya kalau bantuan itu diberikan sekarang ini juga kerana anak-anakku sedang kelaparan." Ibu itu merayu.

"Sudahlah, bukankah aku sudah katakan besok saja, aku baru saja datang, takkan hendak menyelesaikan urusan kamu dahulu. "Sergah tuan hakim sambil minta si ibu itu keluar dari biliknya.

Ibu itu menarik tangan anaknya untuk pulang, namun anak yang tidak mengerti itu lebih kuat lagi tangisannya kerana dillihatnya tidak ada sesuatu yang diberikan oleh tuan hakim itu.

Tuan hakim tak bagi kita apa-apa ibu? "Tanya anaknya yang agak besar itu."

"Tuan hakim sibuk hari ini nak, besok dia akan berikan sesuatu kepada kita." Pujuk si ibu.

Pada malam itu dia terpaksa mencari jalan untuk mententeramkan anak-anaknya agar tidak terus menangis dan meyakinkan bahawa mereka pasti dapat bantuan daripada harta Baitulmal pada keesokan harinya. Namun anak-anak yang belum faham itu terus bertanya kenapa mesti kena tunggu besok kalau tuan hakim betul-betul mahu bantu. Bagaimanapun akhirnya mereka semua tertidur di dalam keadaan perut yang kosong.

Pada keesokan paginya , ibu itu pergi seorang diri ke pejabat tuan hakim sementara anak-anaknya ditinggalkannya di rumah.

"Assalamualaikum Tuan Hakim, " ibu itu memulakan bicaranya.

"Ah, pagi-pagi buta begini engkau sudah sampai ke mari, ada apa ? "Bentak tuan hakim pura-pura bertanya.

Bukankah Tuan Hakim suruh saya datang hari ini kerana bantuan yang Tuan janjikan iru ? Kata ibu itu.

"Bantuan yang aku janjikan ? Eh... aku tak pernah berjanji kepada sesiapa pun." Kata tuan hakim dengan nada sombong.

"Bukankah saya yang datang kelmarin dengan anak-anak dan Tuan hakim menyuruh...."

Belum sempat ibu itu menghabiskan bicaranya untuk mengingatkan tuan hakim tentang janjinya, tiba-tiba tuan hakim dengan nada keras dan suaranya yang tinggi memerintah pengawalnya.

"Hei pengawal ! Halau perempuan ini dari sini."

"Wahai Tuan hakim! kenapakah tuan bersikap zalim begini ?" Kata ibu dengan marah.

"Ah.... pergi saja dari sini, jangan bising-bising, buang masa saja." Perintah Tuan hakim.

Dengan penuh perasaan malu, ibu itu keluar dari pejabat tuan hakim sambil menahan tangisannya. Dia tidak mahu menunjukkan dirinya rendah dan hina seperti seorang pengemis yang sudah tidak punya pendirian lagi. Dia tahu dirinya dari keturunan mulia, dari anak cucu Rasulullah Sallallahu `alaihi wasallam yang mesti menjaga harga diri.

Ibu itu cepat-cepat meninggalkan tempat itu dengan fikirannya yang berkecemuk memikirkan nasib malang yang menimpa dirinya.

"Apa yang akan aku katakan kepada anak-anakku yang sedang menunggu di rumah ? Aku katakan tuan hakim itu telah memungkiri janjinya ? Manalah anak-anak kecil itu tahu alasan-alasan seperti itu. " Bisik ibu itu di dalam hatinya.

Dia kemudian memesongkan kakinya ke haluan jalan di mana terdapat sederetan rumah-rumah buruk yang sudah tidak berpenghuni lagi dan duduk di salah satu anak tangga di situ. Dia terus menangis sekuat-kuat hatinya sambil mengeluh : "Wahai Tuhanku! Apa yang akan aku katakan kepada anak-anakku yang sedang menunggu? Aku tidak sanggup lagi melihat mereka menangis kerana kelaparan. Aku tidak dapat menipu mereka lagi dengan alasan-alasan yang tidak benar ! Tuhanku ! Berilah aku jalan keluar daripada kesempitan ini! Aku sendiri pun sudah tidak larat lagi menanggungnya, apatah lagi anak-anakku yang kecil yang belum tahu apa-apa pun!" Ibu itu mengadu kepada Allah.

Ibu itu terus menangis dan merintih mengenangkan kesempitan hidupnya yang selalu sangat di dalam kelaparan dan dipandang hina oleh masyarakat setempat.

Sedang dia menangis tiba-tiba lalu dihadapannya dua orang pemuda yang kebetulan tadi
sempat mendengar keluhan dan tangisannya, lalu menegur.

"Wahai ibu, jangan takut.... kenapa ibu menangis di sini ? "Tanya pemuda itu.

"Wahai orang muda, kamu siapa ? Dan kenapa kamu datang ke sini ? "Ujar ibu itu pula sambil mengesatkan airmata dengan tangannya.

"Nama saya Saiduq, berbangsa Nasrani dan beragama Masihi. Semua orang kenal saya di sini, dan ini pengawal saya. "Kata pemuda itu sambil menunjukkan pengawalnya.

"Saiduq, saudagar Nasrani yang kaya raya itu ke ? "Tanya ibu itu yang pernah mendengar cerita tentang kekayaan Saiduq sebelum ini.

Kenapa ibu menangis di sini ? "Tanya Saiduq tanpa menghiraukan pertanyaan ibu itu.
Tak ada apa-apa. "Jawab ibu itu cuba menyembunyikan.

"Tak ada apa-apa takkan menangis ? Cuba ceritakan ! "Desak Saiduq lagi.

Setelah didesak berkali-kali akhirnya ibu itu pun menceritakan nasibnya yang malang itu dan bagaimana dia hidup menderita kesusahan menanggung tiga orang anaknya yang masih kecil.

Diceritakan juga apa yang berlaku di antaranya dengan tuan hakim yang sombong itu.
"Saya faham, ibu jangan menangis lagi ! "kata Saiduq.

Kemudian Saiduq menyuruh perempuan itu kembali dulu ke rumah dan menunggu bantuan yang akan dikirimkan kepadanya lalu memanggil pengawalnya dan berkata :

"Pengawal ! Berikan perempuan itu seribu dinar (nilai yang sangat tinggi waktu itu). Kemudian belikan dia dan anak-anaknya pakaian dan segala keperluan rumahnya sekarang juga! "Perintah Saiduq.

Ibu itu terkejut melihat seorang Nasrani yang begitu murah hati terhadap orang yang susah dan menderita sepertinya. Dia tidak dapat mengatakan betapa terima kasihnya terhadap orang yang bertimbang rasa itu. Meskipun dia bukan seorang muslim, namun dia tetap seorang manusia yang mempunyai perasaan terhadap insan yang lain.

Orang suruhan Saiduq itu segera pergi ke pasar untuk membeli makanan, buah-buahan dan segala keperluan dapur yang diperlukan oleh sebuah rumah, di samping pakaian untuk ibu dan anak-anaknya. Kesemuanya disampaikannya pada hari itu juga.

Anak-anaknya bergembira melihat barang-barang yang belum pernah dilihatnya seumur hidup. Ibu itu juga turut gembira, dan mulai hari itu dia tidak menangis lagi. Dalam tangannya sudah ada serbu dinar yang cukup untuk menjamin hidupnya dua atau tiga tahun lagi.

"Sampaikan salam ku kepada Saiduq serta ucapan terima kasih banyak kepadanya", kata ibu itu kepada pengawal tersebut.

Kemudian ibu itu pun berdoa kepada Allah: "Ya Allah ! Ya Tuhanku ! Berikanlah si Saiduq itu taufiq dan hidayat untuk memeluk Islam, dan berikanlah dia daripada kenikmatanMu di syurga!"

Sementara itu pada suatu malam tuan hakim yang sombong itu telah bermimpi melihat seolah-olah dia sedang berada di Hari Kiamat. Manusia terlalu sibuk waktu itu, masing-masing mencari perlindungan mengikut amalan di dunia. Tuan hakim dibawa malaikat menuju ke syurga. Kemudian di dalam syurga itu dia dibawa masuk ke dalam sebuah gedung besar yang tinggi, indah permai penuh dengan ukiran mas merah, tingkapnya daripada mutiara putih yang berkilau-kilauan. Di suatu tingkap di situ berdiri sekumpulan bidadari yang bercahaya lebih terang daripada cahaya matahari, dan lebih menarik dan cantik daripada cahaya bulan.

Apabila tuan hakim tiba disitu, semua bidadari itu bertempik di mukanya: "Orang yang tidak tahu diuntung ! Orang yang dalam kerugian ! Dulu kami semua adalah kepunyaanmu, dan gedung ini pula adalah milikmu. Tetapi sekarang sudah bertukar, alangkah malangnya nasibmu. Semuanya ini, termasuk kami bidadari akan menjadi hak milik Saiduq, seorang berbangsa Nasrani itu. Sekarang pergi dari sini, kami bukan hak milik kamu lagi. Tempat yang layak bagi kamu adalah neraka." Kata suara tempikan yang sangat dahsyat.

Kemudian tuan hakim itu dibawa pula ke dalam neraka, dan ditunjukkan tempatnya di situ. Pada saat itulah tuan hakim itu tersedar daripada mimpinya. Dia terperanjat dan merasa takut sekali. Dia tidak dapat tidur pada malam itu sampai ke pagi memikirkan mimpinya yang menakutkan itu.

Pada keesokan paginya, tuan hakim bergegas ke rumah Saiduq. Saiduq berbangga kerana tuan hakim datang ke rumahnya.

Tuan Hakim masuk ke dalam rumahnya lalu bertanya: "Ada apa-apa tak kebaikan yang kau lakukan semalam? "Tanya tuan hakim.

"Saya memang suka membuat kebaikan," jawabnya. Kebaikan yang macam mana?
Tanya Saiduq kembali.

"Kebaikan apa saja, cuba terangkan!"

"Malam tadi saya menjamu kawan-kawan minum arak, dan saya minum lebih sedikit, maka saya mabuk, saya tidak ingat apa-apa." Saiduq memberitahu tuan hakim.

"Aku tidak mahu tahu dosa yang kau buat itu, yang aku maksudkan kebaikan apa yang kau buat untuk orang lain, cuba ingat," tuan hakim naik darah.

Setelah diingati betul-betul maka teringatlah Saiduq bahawa beberapa hari yang lalu dia telah menolong seorang perempuan dan anak-anaknya yang di dalam kesusahan dan kelaparan.

"Barangkali kebaikan yang aku lakukan terhadap seorang perempuan yang mempunyai tiga anak kecil jika tidak salah aku! "terang Saiduq.

"Ya...ya, itulah dia "pintas tuan hakim tidak sabar. "Apa yang kau berikan kepadanya ?"

"Apakah salah, jika aku berikan sesuatu kepadanya ? "Tanya Saiduq lagi.

"Bukan begitu, tetapi aku hendak tahu, apa yang kau berikan kepadanya, dan bagaimana kau boleh bertemu dengannya", kata tuan hakim lagi.

"Oh.... begitu ! Baiklah, mula-mula saya jumpa perempuan itu di deretan rumah-rumah yang roboh sambil menangis. Saya kasihan kepadanya, tanpa diminta saya berikan makanan, pakaian dan segala keperluannya serta anak-anaknya,"kata Saiduq sungguh-sungguh.

"Itu sajakah yang kau beri? "Tanya tuan hakim lagi.

"Ada lagi, "Jawab Saiduq.

"Apa dia? "Tanya tuan hakim memaksa.

"Saya beri dia seribu dinar untuk keperluan hidupnya. Saya berikan itu kerana Allah, saya kasihan kepadanya dan anak-anaknya,"Saiduq cerita kesemuanya.

Tuan hakim termenung sebentar kerana mengenangkan peristiwa yang berlaku antaranya dengan perempuan itu sebelum ini. Dihatinya sungguh menyesal perbuatannya yang angkuh itu yang menyebabkan beliau diperlihatkan bakal kehilangan segala-galanya di akhirat kelak.

"Tapi, saya ingin tahu juga apa sebabnya tuan hakim datang ke rumah saya pagi-pagi begini semata-mata hanya hendak bertanya perkara ini ? "Tanya Saiduq menduga.

Tuan hakim masih termenung, kemudian tunduk. Pada wajahnya ternyata seperti seorang yang sedang memikirkan sesuatu dan tampak sedih sekali.

"Begini Saiduq, malam tadi aku bermimpi yang sungguh menyedihkan. "Kata tuan hakim perlahan.

"Mimpi yang menyedihkan tuan ? "Saiduq terperanjat "Tapi apa kena mengenanya dengan diri saya? Tanyanya lagi.

Tuan hakim tidak punya pilihan lain, terpaksa menceritakan segala yang berlaku di dalam mimpinya. Dia menceritakan segala gedung dan bidadari-bidadari di syurga nanti yang asalnya menjadi miliknya telah bertukar menjadi milik Saiduq kerana semata-mata kebaikan yang dilakukan itu kepada seseorang yang memerlukannya.

Mendengar cerita itu, gementerlah badan Saiduq dan dengan tiba-tiba dia menghulurkan tangannya kepada tuan hakim, katanya :

"Tuan hakim ! Sekarang saksikanlah ...... bahwa saya menyaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, Yang Esa, tiada sekutu bagiNya dan bahwasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah, yang diutuskanNya membawa petunjuk dan agama yang benar."

Tuan hakim terpaksa menyaksikan keislaman Saiduq itu dengan hatinya sedih dan menyesal atas kelakuannya yang tidak berperikemanusiaan.

Begitulah manisnya iman. Seorang Nasrani yang berbudi mulia, dengan doa seorang perempuan miskin saja, dia telah diberi Allah petunjuk menemui jalan kebenaran, lalu menjadi golongan ahli syurga.

BAHAGIA DAN REDHA

BAHAGIA belum tentu tersimpan di istana yang megah. Bahagia pada sepasang kekasih tentu ada pasang surutnya. Di manakah bahagia? Pada keluasan ilmu, rezeki dan pangkat, atau duduk bercengkerama dengan isteri dan anak-anak? Ternyata itu semua boleh juga menggoncang perasaan, memerah otak jadi lemah, badan kering dan layu, sakit di hati yang susah mengubatinya.


Pakar motivasi menyatakan: "Anda adalah apa yang anda fikirkan mengenai diri anda". Manakala hadis Rasulullah SAW memberi petua lagi bernas, sabdanya: "Sungguh hebat keadaan orang mukmin, mereka sentiasa berkeadaan baik. Tidak terjadi yang demikian itu kecuali pada diri orang mukmin. Jika ia mendapat kesenangan ia bersyukur, hal ini adalah kebaikan. Dan jika ia ditimpa kesusahan ia bersabar, itu juga adalah kebaikan." (Hadis riwayat Imam Muslim).


Semua baik, baik dan baik. Apa yang Allah pilih untuk kita adalah baik. Bila sakit ubatnya adalah senyum dan reda. Diuji dengan kekurangan harta tidak menjadi masalah bagi orang yang percaya bahawa bukankah selama ini Allah memberi lebih banyak daripada mengambil? Ibnu Mas'ud apabila ditanya: "Apakah engkau bersedih kerana kehilangan sebelah kakimu?" Beliau menjawab: "Bukankah Allah telah meninggalkan untukku yang sebelah lagi?"


Orang banyak mengatakan: "Bahagia itu adalah kepuasan hati." Tapi pernahkah kita berfikir bahawa manusia tidak akan pernah puas? Selagi mana ia berada di dunia ia pasti berhadapan dengan kekurangan. Kurang popular, kurang kaya, kurang cantik, kurang sihat dan pelbagai tuntutan nafsunya yang tidak akan pernah rasa dengan sempurna. Selami dasar hati anda, percayalah bahawa sesungguhnya bahagia itu ada pada sifat reda.


Ia bagaikan ubat yang menyejukkan orang yang demam. Seperti rimbunan pohon di tengah panas yang terik, umpama hembusan angin yang sepoi-sepoi bahasa memujuk hati yang luka. Sesungguhnya apa-apa yang datang kepada kita adalah baik belaka kerana Allah SWT lebih mengetahui apa yang 'sesuai' untuk kita. Dia yang memilih, yang Maha sempurna aturan-Nya, yang suci dari cacat cela atas segala pentadbiran-Nya.


Sebagai manusia biasa ada kalanya kita ‘tidak terima’ dengan apa yang terjadi pada diri. Tapi biarlah perasaan itu dikawal pada paras hanya ‘terkejut’ di puncaknya, kemudian surut dengan perasaan reda atas ketentuan-Nya. Firman Allah bermaksud: "Allah pun reda ke atas diri mereka dan mereka pun reda dengan pemberian-Nya." (Surah al-Bayyinah, ayat 8)


Ada dua rahsia yang terkandung dalam kalimah Allah itu, iaitu pertama adalah ayat ini cuba memujuk kita bahawa apa-apa yang datang kepada kita semuanya adalah hadiah pemberian Allah. Ujian itu sebenarnya hadiah yang paling mahal tetapi kadang-kadang manusia menganggap cuma nikmat yang paling berharga.


Kedua, wujudnya hubungan kasih sayang antara Allah dan hamba-Nya. Sayang akan melahirkan reda ke atas apa saja yang dilakukan oleh orang yang kita sayang. Kerana sayang, masakan isteri yang kurang garam terasa sedap juga. Kekasih yang menduga dan menyakiti hati kita terpaksa kita reda sebab sayang.

Tetapi mengapa pula kita merajuk jika Allah menguji kesetiaan cinta kita. Jika sakit mengeluh panjang, lupa dengan hari ketika ia sihat. Kalau rugi semua orang di amuk, di pejabat, di pasar, di rumah, di jalan raya semua terkena tempias kemarahannya. Rugi yang sedikit itu telah menutup kurniaan Allah yang banyak pada rezekinya selama ini. Betapa sengsaranya orang yang tiada sifat reda.


Hidup tidak tenang, dikejar rasa takut, hati rasa kosong padahal peti besinya penuh dengan duit. Segala hiburan dan perhiasan dunia memang boleh mendatangkan bahagia tapi bukan bahagia yang 'diam' dalam hati, ia cuma menempel sebentar di dinding hati kemudian lenyap begitu cepat. Carilah bahagia yang hakiki di atas jalan yang telah dibentangkan oleh kekasih Allah, Muhammad SAW. Bahagia itu adalah reda. Cukup senang formulanya tetapi susah dilakukan kecuali oleh orang yang bijak mengawal perasaan lagi beriman.


Tanda reda ada tiga. Pertama adalah kata yang baik ketika menerima ujian Allah. Innalillahi wainna ilaihi rajiun (Kami adalah milik Allah dan kepada Allah kami akan dikembalikan). Bukan sumpah seranah dan maki hamun rasa tak puas hati.


Kedua, ketika susah ingatlah dengan nikmat Allah yang banyak. Di situ anda akan berasa beruntung dengan apa yang ada pada diri.


Ketiga, ikhtiar jangan berhenti. Reda bukan bermakna menerima tanpa usaha. Itu adalah putus asa dan pesimis namanya. Tapi reda adalah semangat yang membangkitkan hati yang sedih, yang menajamkan akal fikiran, menguatkan hentakan kaki dan membuahkan idea yang bernas untuk berjaya. Jadilah orang yang bahagia dengan kekuatan yang tersimpan dalam mustika yang bernama reda kepada Allah.

Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates