Khamis, 14 Oktober 2010

Aku Dan Dunia Seni Mempertahankan Diri Melayu

Salah satu teknik untuk mematahkan serangan musuh



Gambar semasa memberi ceramah berkenaan keselamatan diri



Bergambar dengan anak didik sebelum persembahan


Bismillahirahmanirahiim

Assalamualaikum wbt...

Sejak dua minggu yang lalu, aku ditugaskan untuk melatih anak didikku serta beberapa pelajar dari Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu untuk persembahan Puisidra sempena Majlis Penutupan Program 1 Malaysia peringkat IPTA/S Sabah yang menggabungkan puisi, drama, tarian, muzik asli dan silat. Sejak dua minggu yang lalu juga, jadual pada waktu malamku cukup padat. Setiap hari aku mesti mengajar mereka di Sekolah Pengajian Seni. Kadang-kadang bila bas tiada, aku berjalan kaki bersama mereka balik ke kolej seperti hari ini, aku dan anak didikku kebasahan meredah hujan untuk pulang ke kolej.......


Ramai teman sekelas yang bertanya kepadaku kenapa aku sanggup buat kerja-kerja begini... malah kadang-kadang mereka komplen mengatakan aku sekarang terlalu sibuk sehingga tiada masa untuk bersama dengan mereka... Tapi apa yang aku mampu jawab hanyalah itu adalah tanggungjawab aku dan itu adalah tugas aku yang perlu ditunaikan........


Namun begitulah hakikatnya, aku dengan dunia persilatan. Sejarah aku dengan dunia persilatan cukup panjang. Banyak kenangan manis dan pahit telah aku tempuh untuk mengembangkan minat dan impianku dalam bidang ini. Jarang aku ceritakan kisah hidupku dalam bidang ini kecuali dengan orang yang rapat denganku serta anak didikku...

Terdetik pada waktu dan ketika ini untuk aku menulis tentang kisah dunia persilatanku... mungkin ia boleh dijadikan coretan kenangan yang boleh aku kongsikan kepada sesiapa yang sudi membacanya....


Aku bermula berminat dalam seni mempertahankan diri semenjak aku kecil lagi. Sewaktu kecil aku sangat meminati filem-filem dan drama-drama aksi yang memaparkan seni mempertahankan diri seperti kungfu dan kickboxer serta silat. Drama yang paling aku minat pada waktu itu adalah Keris Hitam Bersepuh Emas lakonan mantap Eman Manan. Ceritanya cukup menarik dan memaparkan 100% silat Melayu. Setiap kali selepas tengok cerita itu, aku akan menggayakan pergerakan silat di dalam bilik... Walaupun sumbang, tapi aku tetap menggayakannya...


Pada tahun 1998 iaitu semasa aku dalam darjah 3, aku tertarik untuk memasuki kelas Taek-kwan-do. Namun tak sampai setahun aku belajar, aku mulai bosan. Aku rasakan diri aku tidak sesuai dengan corak pertahanan diri seperti itu. Aku berhenti mempelajari semasa peringkat tali pinggang kuning-2.


Semasa tahun 2001 pula iaitu semasa aku di tingkatan 1, aku diajak oleh kawan untuk mempelajari Silat Gayong ****** (terlalu sensitif untuk menyatakan nama pertubuhan itu). Tanpa berfikir panjang, aku terus mendaftar untuk memasuki kelas silat itu. Memang sudah menjadi niat aku untuk belajar seni mempertahankan diri Melayu ini. Aku mula berlatih silat ini dengan bersungguh-sungguh. Aku tidak pernah ponteng kelas latihan dan aku selalu datang awal untuk berlatih. Dengan menaiki basikal, aku mengayuh hampir 20 minit untuk ke sekolah pada setiap hari Jumaat untuk berlatih. Setiap kali pergi latihan aku akan memakai pakaian lengkap silat berwarna hitam beserta tali pinggang. Setiap buah, serangan, tangkisan dan tendangan yang diajar, aku cuba mengingat dan melakukannya dengan lancar. Semasa tahun 2003, aku mula diperkenalkan dengan dunia pertandingan. Walaupun sekadar mewakili peringkat sekolah, namun aku tetap puas. Sehingga tahun 2004, setiap pertandingan yang aku sertai, pasti aku akan membawa hadiah dan pingat. Namun begitu, pada masa yang sama, perasaan aku terhadap silat gayong ini mula berubah. Minat untuk mempelajarinya semakin luntur. Ada beberapa faktor yang menyebabkan minat aku mulai luntur. Pertamanya kerana sikap jurulatih aku pada masa itu suka memaksa dan memaki pelajar-pelajarnya. Aku dipaksa untuk turun latihan walaupun pada masa itu aku sedang sakit. Malah aku turut dimaki dan dihamun kerana memberi alasan sakit sedangkan pada masa itu aku benar-benar sakit dan tidak larat untuk berlatih. Sebab keduanya kerana apa yang aku cari dalam seni mempertahankan diri Melayu Asli tidak aku perolehi. Aku ingin mempelajari silat hingga tamat, namun apa yang aku pelajari sepanjang 4 tahun dalam pertubuhan ini hanyalah beberapa buah dan hanya mementingkan pertandingan. Disebabkan oleh dua faktor ini, aku mula tawar hati untuk meneruskan pengajian dalam Silat Gayong ini....


Awal tahun 2005, aku mula menghantar surat kepada jurulatih untuk berhenti atas alasan aku ingin fokus dalam akademik. Hujan tidak selalunya cerah, aku dituduh mengajar silat itu kepada perguruan lain. Malah aku dikatakan anak murid derhaka kerana mencuri ilmu. Semenjak itu, hubungan aku dengan rakan-rakan dari pertubuhan itu mulai renggang. Mereka mula tidak bertegur sapa denganku. Akhirnya aku diharamkan dari menyertai pertubuhan itu lagi. Aku redha dan terima atas segala dugaan yang diberikan. Hampir setahun, aku tidak terlibat secara aktif dalam silat. Setiap kali ada pertandingan, aku hanya pergi sekadar menjadi penonton. Ramai juga teman-teman dari perguruan lain menanyakan kepadaku, namun aku hanya berdiam diri. Aku rasakan bahawa dunia silat tidak sesuai denganku. Aku betul-betul rasa tersiksa dan kerdil pada ketika itu.


Namun sinar baru kembali... Pada akhir 2005, aku diperkenalkan oleh teman karibku dengan Persatuan Kalimah Malaysia. Dia mengajak aku ke gelanggang untuk melihat corak latihan mereka. Pertama kali aku melihat, aku jadi tertarik. Pergerakannya cukup ringkas. Malah hanya menggunakan kaedah berdiri tegak tanpa kekuda untuk melawan musuh. Malah apa yang menarik perhatian aku adalah, silat ini menggunakan kaedah dalam solat seperti doa, takbir, qiam dan rukuk.


Setelah melihat corak permainan mereka, temanku menguji aku. Dia meminta aku menyerangnya dengan semua ilmu seni mempertahankan diri yang aku ada. Aku dengan yakin menyerangkan, namun tidak sampai 20 saat, aku tumbang ke tanah. Aku jadi terkesima dan bingung. Lalu kawanku menjelaskan kepadaku bahawa silat yang diamalkannya iaitu Kalimah adalah sangat ringkas dan mudah. Ia hanya bertindak sekiranya ada musuh yang menyerang dan serangannya dituju tepat di kawasan kelemahan manusia. Aku mula rasa menyesal. Apa yang aku pelajari selama 4 tahun sebelum ini aku rasakan tidak berguna. Tiada apa-apa yang aku dapat. Aku hanya menjadi jagoan di gelanggang, tetapi menjadi ayam katik di medan pertempuran sebenar...


Mulai detik itu, aku mendaftar untuk mengikuti kelas Kalimah. Aku belajar melalui kawanku. Aku belajar dengan sangat cepat. Malah pelbagai ilmu tambahan seperti senjata moden dan tradisional yang aku pelajari. Pada setiap malam, aku dilatih di atas kawasan bukit loji air dan kadang-kadang dirumahnya. Aku rasakan sangat mudah mempelajari silat ini dan ianya sangat menepati dengan jiwaku. Semasa mendalami ilmu persilatan ini, aku diberi banyak peluang. Aku mula terlibat dalam bahagian teknikal dan pembantu gelanggang sekiranya ada pertandingan silat diadakan di Negeri Terengganu. Aku dibayar dengan bayaran yang cukup tinggi semasa melakukan tugas-tugas itu. Wang yang diperolehi itulah yang aku gunakan untuk perbelanjaan dan persekolahanku....


Dari setahun ke setahun, aku mula diberi kepercayaan untuk mengajar ahli-ahli baru dalam Persatuan Kalimah Malaysia dan semasa mengajar aku mendapat pelbagai ilmu-ilmu baru seperti ilmu untuk menghormati pelajar. Aku tidak mahu menjadi seorang guru yang garang dan tidak pandai hormat orang. Biarlah kenangan aku dengan guru yang lalu begitu. Bagiku, pelajar akan menghormati seorang guru itu sekiranya guru itu pandai menghormati pelajarnya. Itu membuatkan pelajar akan menghormati guru bukannya takut kepada guru. Takut dan hormat adalah dua perkara yang berbeza. Takut akan menimbulkan perasaan rendah diri dan dendam pelajar itu kepada guru, tetapi hormat akan menjadikan ikatan antara guru dengan pelajarnya seperti satu keluarga. Segalanya boleh dikongsi seperti seorang teman....


Dari setahun ke setahun aku mula tamat setiap peringkat dalam silat Kalimah ini dan pengijazahan aku dibuat sendiri oleh Guru Utama Kalimah. Alhamdulillah, pada tahun 2009, aku dengan rasminya dilantik dan dianugerahkan sijil untuk mengajar silat Kalimah ini di Negeri Sabah dan aku cukup berbangga kerana aku adalah orang termuda yang dianugerahkan sijil ini. Setelah berusaha dan atas sokongan semua pihak, akhirnya pada tahun 2010, aku telah berjaya membuka sebuah gelanggang silat Kalimah di Negeri Sabah iaitu di Universiti Malaysia Sabah. Dengan ahli yang berdaftar seramai 86 orang, aku rasa cukup berbaloi dan bangga dengan pencapaian aku setakat ini.


Walaupun dalam masa yang singkat penubuhan Persatuan Kalimah di UMS, namun kejayaan mula mendapat perhatian. Banyak pelawaan mengadakan persembahan yang diterima. Malah Persatuan Kalimah ini juga dijemput untuk menjayakan persembahan Puisidra yang menggabungkan puisi, tarian, muzik tradisional, teater dan Silat sempena program 1 Malaysia peringkat IPTA/S Sabah. Tambahan pula, setiap kali mengadakan persembahan, tarikan penonton dan ucapan tahniah diterima dari pelbagai pihak termasuk pihak pentadbiran universiti....


Aku cukup berbangga dengan semua anak didikku. Walaupun dalam masa yang singkat, mereka mampu mempelajari silat ini dengan cepat. Malah mereka sering meminta untuk diadakan kelas tambahan untuk memperkemaskan buah...


Sering kali aku memberi pesan kepada anak didikku bahawa kita perlu mempelajari sesuatu ilmu dengan bersungguh-sungguh serta ikhlas. Setiap yang kita belajar mesti tamat dan apabila tamat kita perlu menyebarkannya kepada orang ramai kerana kita akan menjadi lebih pandai sekiranya kita tidak kedekut ilmu. Malah penerapan sikap bertolak-ansur, hormat-menghormati, semangat setiakawan dan semangat kekeluargaan dipupuk kepada mereka agar ikatan antara ahli menjadi lebih utuh dan berkekalan...


Sehingga kini, aku masih lagi mengajar silat Kalimah dan pada masa yang sama aku juga telah tamat peringkat tiga dari Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi serta mempelajari beberapa kaedah seni mempertahankan diri yang lain seperti Karate, Capoeira, Kickboxing, Muay Thai serta Wing Chun KungFu....


Bagiku dunia seni mempertahankan diri dengan diriku tidak dapat dipisahkan dan masih banyak yang belum aku terokai dan aku capai dalam bidang ini. Walaupun sudah 10 tahun berkecimpung dalam dunia silat, namun aku masih belum puas. Masih banyak yang perlu dikaji dan dipelajari. Apa yang aku harapkan semoga impian aku dalam mengembangkan Silat Kalimah akan tercapai dan boleh membina akademi Silat Kalimah sendiri kelak... Insyaallah....


“Silat Aku Silat Kalimah, Aku Silat Dalam Kalimah”


Kerenah anak didikku selepas persembahan




0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates