Jumaat, 9 November 2012

Pilihlah Pasanganmu....





Apabila datang akan sekalian kamu orang yang disukai agamanya, maka nikahkan olehmu sekalian akan dia

Ketahuilah kiranya, ya saudaraku ! Telah mengajar Nabi s.a.w akan Shahabat-Shahabatnya yang ada anak perempuan, jika sekiranya datang orang meminangnya, jangan pandang lain daripada agamanya dan perangainya orang yang mahu dikahwinkan dengan anak perempuan itu .
Hadits daripada Abi Hatim Al Muzani katanya ; Telah bersabda Rasulullah s.a.w : 

Apabila datang akan seorang daripada sekalian kamu oleh orang yang meminang kerana seorang yang kamu sukakan ia berkahwin dengan anak perempuan kamu, sukamu itu akan agamanya dan perangainya, maka nikahkanlah olehmu sekalian akan orang yang kamu perkenan agamanya dan perangainya itu dengan anak perempuan bagimu itu ’ .

Sebab pun disuruh Nabi s.a.w terima pinangan dan nikahkan anak perempuan dengan orang seumpama di atas itu kerana ada besar kelebihannya seperti akan datang kenyataannya dan pula menolakkan fitnah sebagaimana sabda Nabi s.a.w :

Jika sekiranya tiada sekalian kamu junjung seperti yang aku suruh itu, nescaya jadi satu fitnah di bumi dan jadi kebinasaan ’ .

Bermula fitnah yang boleh jadi itu ialah dengan sebab memilih orang yang bershifat lain daripada beragama dan berperangai tidak baik, maka jadilah anak perempuan yang berkahwin dengan orang jahat atau orang kaya, tiada beragama atau orang yang bernama, tiada beragama, tiada memandang dan tiada cenderung kepada kebaikan bahkan kepada jalan zhalim jua . Maka apabila datang perselisihan yang sedikit antaranya dan antara anak kamu yang dikahwininya, nescaya dizhalimnya, ataupun jadi fitnah itu, iaitu kerana menanti dan memilih orang kaya-kaya, orang bernama-nama datang meminang anak yang perempuan bagi kamu, sudahlah jadi sampai tua anak perempuan tiada sesiapa meminangnya .

Banyaklah di Mesir sekarang jadi yang demikian itu dengan kerana menanti orang-orang yang berduit banyak atau orang bergaji dengan tiada pandang beragama dan berperangai baik, sudahlah banyak anak dara tua dan orang muda-muda yang tiada berkahwin pun bercerai-berai setengahnya dengan setengah dengan sebab tiada berlaga ( tidak sesuai ) perangai mereka itu dan lelaki tiada beragama dan tiada baik perangai .

Dan terkadang jadi fitnah besar, iaitu setengah daripada ibu-bapa anak dara tua dan orang muda-muda itu miskin dan faqir sangat-sangat, maka terpaksa anak-anak dara tua dan orang muda-muda semuanya mencari hal kehidupan makan-minum dan nafqah yang lazim bagi dirinya . Di dalam ia mencari nafqah di luar rumah tangganya, bergaullah ia dengan lelaki-lelaki besar dan orang muda -muda bergaul di jalan, bergaul di tempat bekerja, bergaul serata -ratanya . Sudahlah mereka itu berkenal-kenalan, sampai mesra dan ramah mulut masing-masing, tegur-menegur dan berbual-bual . 

Apakala sudah menjadi begini, tiadalah payah kita berpanjang-panjang khabar dan riwayat, tidakkah senang sahaja anak-anak dara itu bunting ? . Demikianlah banyak jua berlaku anak-anak dara Mesir beranak ke rumah doktor dengan bersembunyi dan mendakwa dirinya sakit perut . Dan kemudian daripada beranak itu, maka anaknya diberikan oleh doktor-doktor itu dengan percuma kepada tempat memelihara anak jumpa atau anak yatim di rumah peliharaan yang dipunyai orang Kristian . Terkadang berlaku jua beranak di rumah sendirinya, tetapi dua ibu-bapanya sembunyikan daripada diketahui orang dan diketahui oleh kerajaan, kemudian apakala malam, budak kecil yang baru zhahir ke dunia itupun dibuang seperti diletakkan oleh mereka itu di selekoh atau di mana-mana simpang jalan yang gelap, maka apakala didengar orang tangisan budak itu, orang-orang pun gempar . Dan orang-orang kutip-kutip budak-budak daripada kerajaan pun datang mengambilnya bawa pelihara di rumah yang tersedia baginya .

Tidakkah sebenar-benarnya sabda Nabi s.a.w :

Jika tiada kamu sekalian junjung sebagaimana suruhku, nescaya menjadi fitnah di bumi dan jadi kebinasaan ’ .

Apa lagi mahu lebih daripada binasa anak dara menjadi tua, apa lagi mahu lebih daripada binasa anak dara beranak dengan tiada tentu jantannya, apa lagi mahu fitnah yang jadi ke atas beberapa orang muda masuk jel ( penjara ) dengan sebab terkadang dapat tahu kepada kerajaan yang dia membunting akan anak dara .

Jaga-jaga hai kaum Muslimin, junjung pesan Nabi s.a.w seperti yang di atas itu dan segera kahwinkan anak dara atau anak perempuan muda yang bujang itu dengan orang yang beragama dan yang berperangai baik sebagaimana perangai yang terpuji pada Syara’ .

Disambung lagi hadits yang di atas tadi, iaitu apakala didengar oleh Shahabat-Shahabat Nabi s.a.w akan suruhnya mengahwinkan anak perempuan itu dengan orang yang beragama dan berperangai baik, maka mereka itu pun bertanya lagi kepada Rasulullah s.a.w :

Kata Shahabat-Shahabat itu ; 

Ya Rasulullah, dan jika adalah orang yang meminang, ya’ni lelaki yang hendak berkahwin dengan anak yang perempuan kami itu ada padanya barang yang tiada kami sukai lain daripada dua perkara itu sekalipun seperti orang itu beragama dan berperangai baik tetapinya faqir atau miskin atau ia orang yang tiada bernama gah dan masyhur pada orang-orang atau sebagainya daripada perkara sedikit yang tiada disukai, maka kahwinkan jugakah ?

Apakala didengar oleh Nabi s.a.w akan pertanyaan Shahabat -Shahabat demikian itu, iapun lalu menjawab dengan sabdanya :

Apabila datang kepada seorang daripada kamu oleh orang yang mahu berkahwin yang kamu sekalian sukakan agamanya dan perangainya, maka nikahkan olehmu anak perempuan kamu yang dipinangnya itu dengan dia ’ . 

Sampai tiga kali ulang oleh Nabi akan sabdanya yang ini kerana menunjukkan jangan siapa bantah lagi apa suruhnya itu . Maka siapa-siapa bantah akan sabdanya itu, nescaya berjumpalah ia dengan balas bantah itu . 

Kata Abu ‘Isa At Tirmidzi ; Bermula ini hadits hasan lagi gharib .
Kitab Bahrul Madzi : Jilid 8

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates