Dalam kehidupan ini kita tidak terlepas dari melakukan dosa.
Betapa banayak dosa yang telah kita lakukan sepanjang hidup kita ketika ini
antara sedar atau tidak, sama ada besar atau kecil. Walau sealim mana pun dia,
mendapat gelaran guru, ustaz atau ulama’ tetap tidak terlepas dari melakukan
dosa. Kerana kita bukan seperti Nabi dan Rasul yang diberikan sifat maksum iaitu
terhindar dari melakukan dosa dan kesilapan. Malah para ulama’ terbilang seperti Imam asy-Syafi’i
sendiri dalam syair agungnya al-I’tiroof mengungkap:
“Dosa-dosaku bagaikankan pepasir di pantai”
Tidak Terhalang Untuk Kembali
Namun begitu, Islam itu sangat istimewa kerana ianya membuka
jalan yang tersangat luat bagi setiap insan itu kembai kepangkuan Yang Esa.
Malah keampunan Allah tidak pernah dihalang oleh sebarang jarak, waktu, umur, keturunan
atau bangsa. Sesiapa yang ingin kembali hendaklah dia bersungguh-sungguh dengan
berusaha tidak mengulangi kesilapan itu lagi. Jika kesalahan itu melibatkan sesama
manusia, maka pohonlah kemaafan dari insan yang dizaliminya itu. Jika khuatir
membawa mudarat, maka serahkannya kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui kadar kemampuan hamba-Nya sesuai dengan firman:
"Dan orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiayai diri sendiri, mereka ingat akan Allah lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain Allah. Dan mereka tidak meneruskan perbuatan keji itu sedang mereka mengetahui. Mereka itu balasannya ialah ampunan dari Tuhan dan syurga yang didalamnya mengalir sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya dan itulah sebaik-baik pahala orang-orang yang beramal" (surah Ali-Imran: 135-136)
Islam juga melarang ummatnya dari membuka aib atau mendedahkan
perkara-perkara mungkar yang diperlakukannya kepada orang ramai dan tidak juga
dibenar membuat pengakuan dihadapan orang beragama atas sebab untuk menebus
dosa seperti yang diamalkan oleh sesetengah agama. Malah tiada istilah
penghapusan dosa dengan mengenakan bayaran yang tinggi malah tiada juga upacara
penyiksaan diri sebagai medium penghapusan dosa. Bagi Islam, setiap dosa yang
dilakukan akan dihitung dan diberikan hukuman setimpal dengan dosa yang dibuat.
Jalan Kembali Terbentang Luas
Taubat nasuha dan kembali kepada jalan yang sebenar iaitu
kembali kepada ajaran Islam yang hakiki itulah yang utama dalam mencari keredhaan
dan keampunan Allah swt. Malah Allah Maha Mendengar setiap rintihan taubat
hamba-Nya. Allah tidak pernah berpaling dari memberi rahmat keampunan kepada
insan-insan yang mencari jalan pulang. Malah Allah sentiasa menanti hamba-Nya
kembali ke pangkuan. Nabi saw bersabda:
“Sesungguhnya Allah membentangkan tangan-Nya pada malam hari
agar bertaubat orang yang bebuat jahat di siang hari dan Dia membentangkan
tangan-Nya pada siang hari agar bertaubat orang yang berbuat jahat pada
malamnya sehingga matahari terbit dari barat” (hadis shahih Riwayat Muslim)
Keampunan itu amat meluas, malah sekiranya Allah menitipkan
nur keampunan pada diri seseorang sudah pasti insan itu lebih mulia disisi
Allah. Jangan pernah sesekali kita mengherdik atau menghina kepada orang yang
berbuat kesalahan kerana mungkin jika dia bertaubat dengan bersungguh-sungguh
dan Allah menerima taubatnya itu nescaya kemuliaan dan darjatnya amatlah tinggi
di sisi Allah swt. Dalam hadis qudsi, Allah berfirman:
“Wahai anak-anak Adam, selagi engkau memohon dan
mengharapkan daripada-Ku, Aku ampunkan engkau walau apa pun dosamu, Aku tidak
peduli. Wahai anak-anak Adam, jika dosamu sampai ke puncak langit, lalu engkau
memohon keampunan dari-Ku, Aku ampunkan engkau, Aku tidak peduli. Wahai anak-anak
Adam, jika engkau datang kepada-Ku dengan dosa yang hamper memenuhi bumi, namun
engkau menemui-Ku tanpa mensyirikkan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku datang
kepadamu dengan penuh keampunan”. (Riwayat at-Tirmizi, dinilai hasan oleh
al-Albani).
Dosa Yang Terulang
Manusia ini sifatnya adalah pelupa dan sangat lemah dengan
pujukan dunia. Kadang kali kita sering terlupa terhadap janji kita kepada
Allah. Kadang kali kita alpa dengan taubat yang diungkapkan. Namun jangan
sesekali kita berputus asa atau kecewa dengan dosa-dosa yang lalu. Sebaliknya setiap
kesalahan yang dibuat lalu kita tersedar dan segera memohon keampunan dari
Allah swt sudah pasti Dia akan mendengar. Sedangkan iblis yang memohon agar
Allah panjangkan umurnya sehingga kiamat untuk menyesatkan manusia pun turut
Allah perkenankan, apatah lagi kita hamba-Nya yang sentiasa beramal ibadah dan
mengharap kepada-Nya. Tiada istilah tidak berguna walau bertaubat jika tetap
melakukan dosa dan tiada keampunan bagi orang-orang yang sering ingkar
taubatnya. Walau dosa yang dilakukan sering berulang, namun Allah tidak pernah
jemu memberi keampunan-Nya. Nabi saw bersabda:
“Seseorang telah melakukan satu dosa lalu dia berkata: “Wahai
Tuahanku, ampuni dosaku”. Lalu Allah berfirman; “Hamba-Ku melakukan dosa dan
dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, Aku
ampunkan dosanya”. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain lalu berkata: “Wahai
Tuhanku, aku telah melakukan dosa,ampunilah dosaku”. Lalu Allah berfirman: “Hamba-Ku
melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan
menghukumnya, Aku ampunkan dosanya”. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, lalu
berkata: “Wahai Tuhanku, aku telah melakukan dosa,ampunilah dosaku”. Lalu Allah
berfirman: “Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan
yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka Aku ampunkan hamba-Ku ini, buatlah
apa yang kamu mahu, Aku ampunkan engkau”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Lihatlah betapa kasih dan sayangnya Allah terhadap setiap
hamba-hamba-Nya. Tidak pernah tertutup pintu taubat bagi setiap insan. Walaupun
kita sering terlupa kepada-Nya, namun sesekali tidak Dia terlupa kepada kita.
Rahmat dan Rahman-Nya sentiasa dilimpahkan. Cuma mungkin kerana iman yang lemah
kita sering khilaf. Namun Islam cukup indah. Jalan kembali sentiasa terbuka
bagi insan yang benar-benar bertaubat……….
Wallahua’lam
Tazkirah: Ayah Ustaz: 21 Mac 2015, Wangsa Maju, KL.