Segala kesenangan ada di dalamnya. Semua tersedia apa saja yang
diinginkan, tanpa bersusah payah memperolehinya. Sungguh suatu tempat yang amat
indah dan permai, menjadi idaman setiap insan. Demikianlah menurut riwayat,
tatkala Allah SWT. selesai mencipta alam semesta dan makhluk-makhluk lainnya,
maka dicipta-Nya pula Adam ‘alaihissalam sebagai manusia pertama. Hamba yang
dimuliakan itu ditempatkan Allah SWT di dalam Syurga (Jannah).
Adam a.s hidup sendirian dan sebatang kara,
tanpa mempunyai seorang kawan pun. Ia berjalan ke kiri dan ke kanan, menghadap
ke langit-langit yang tinggi, ke bumi terhampar jauh di seberang, maka tiadalah
sesuatu yang dilihatnya dari mahkluk sejenisnya kecuali burung-burung yang
berterbangan ke sana
ke mari, sambil berkejar-kejaran di angkasa bebas, bernyanyi-nyanyi,
bersiul-siul, seolah-olah mempamerkan kemesraan.
Adam a.s terpikat melihatnya, rindu
berkeadaan demikian. Tetapi sungguh malang,
siapalah gerangan kawan yang hendak diajak. Ia merasa kesepian, lama sudah. Ia
tinggal di syurga bagai orang kebingungan, tiada pasangan yang akan dibujuk
bermesra sebagaimana burung-burung yang dilihatnya.
Tiada pekerjaan sehari-hari kecuali
bermalas-malas begitu saja, bersantai berangin-angin di dalam taman syurga yang
indah permai, yang ditumbuhi oleh bermacam bunga-bunga kuntum semerbak yang
wangi, yang di bawahnya mengalir anak-anak sungai bercabang-cabang, yang
desiran airnya bagai mengandung pembangkit rindu.
Apa saja di dalam syurga semuanya nikmat!
Tetapi apalah erti segalanya kalau hati selalu gelisah resah di dalam kesepian
seorang diri?
Itulah satu-satunya kekurangan yang dirasakan
Adam a.s di dalam syurga. Ia perlu kepada sesuatu, iaitu kepada kawan sejenis
yang akan mendampinginya di dalam kesenangan yang tak terhingga itu. Kadangkala
kalau rindu dendamnya datang, turunlah ia ke bawah pohon-pohon rendang mencari
hiburan, mendengarkan burung-burung bernyanyi bersahut-sahutan, tetapi aduh hai
kasihan...bukannya hati menjadi tenteram, malah menjadi lebih tertikam. Kalau
angin bertiup sepoi-sepoi basah di mana daun-daunan bergerak lemah gemalai dan
mendesirkan suara sayup-sayup, maka terkesanlah di hatinya keharuan yang begitu
mendalam; dirasakannya sebagai derita batin yang tegak di sebalik nikmat yang
dianugerahkan Tuhan kepadanya.
Tetapi walaupun demikian, agaknya Adam a.s
malu mengadukan halnya kepada Allah SWT. Namun, walaupun Adam a.s malu untuk
mengadu, Allah Ta'ala sendiri Maha Tahu serta Maha Melihat apa yang tersembunyi
di kalbu hamba-Nya. Oleh itu Allah Ta'ala ingin mengusir rasa kesepian Adam.
Tatkala Adam a.s sudah berada di puncak
kerinduan dan keinginan untuk mendapatkan kawan, sedang ia lagi duduk terpekur
di atas tempat duduk yang berlapiskan tilam permaidani serba mewah, maka
tiba-tiba ngantukpun datanglah menawannya serta langsung membawanya hanyut ke alam
tidur.
Adam a.s tertidur nyenyak, tak sedar kepada
sesuatu yang ada di sekitarnya. Dalam saat-saat yang demikian itulah Allah SWT
menyampaikan wahyu kepada malaikat Jibril a.s untuk mencabut tulang rusuk Adam
a.s dari lambung sebelah kiri. Bagai orang yang sedang terbius, Adam a.s
tidak merasakan apa-apa ketika tulang rusuknya dicabut oleh malaikat Jibril
a.s.
Dan oleh kudrat kuasa Ilahi yang manakala
menghendaki terjadinya sesuatu cukup berkata “Kun!” maka terciptalah Hawa dari
tulang rusuk Adam a.s, sebagai insan kedua penghuni syurga dan sebagai
pelengkap kurnia yang dianugerahkan kepada Adam a.s yang mendambakan seorang
kawan tempat ia boleh bermesra dan bersenda gurau.
Hawa duduk bersandar pada bantal lembut di
atas tempat duduk megah yang bertatahkan emas dan permata-permata bermutu
manikam, sambil terpesona memperhatikan kecerahan wajah dari seorang lelaki
kacak yang sedang terbaring, tak jauh di depannya.
Butir-butir fikiran yang menggelombang di
dalam sanubari Hawa seolah-olah merupakan arus-arus tenaga elektrik yang datang
mengetuk kalbu Adam a.s, yang langsung menerimanya sebagai mimpi yang berkesan
di dalam gambaran jiwanya seketika itu.
Adam terjaga....! Alangkah terkejutnya ia
ketika dilihatnya ada makhluk manusia seperti dirinya hanya beberapa langkah di
hadapannya. Ia seolah tak percaya pada penglihatannya. Ia masih terbaring
mengusap matanya beberapa kali untuk memastikan apa yang sedang dilihatnya.
Hawa yang diciptakan lengkap dengan perasaan
malu, segera memutar badannya sekadar untuk menyembunyikan bukit-bukit di
dadanya, seraya mengirimkan senyum manis bercampur manja, diiringi pandangan
melirik dari sudut mata yang memberikan sinar harapan bagi hati yang
melihatnya.
Memang dijadikan Hawa dengan bentuk dan paras
rupa yang sempurna. Ia dihiasi dengan kecantikan, kemanisan, keindahan,
kejelitaan, kehalusan, kelemah-lembutan, kasih-sayang, kesucian, keibuan dan
segala sifat-sifat keperibadian yang terpuji di samping bentuk tubuhnya yang
mempesona serta memikat hati setiap yang memandangnya.
Ia adalah wanita tercantik yang menghiasai
syurga, yang kecantikannya itu akan diwariskan turun temurun di hari kemudian,
dan daripadanyalah maka ada kecantikan yang diwariskan kepada wanita-wanita
yang datang dibelakangnya.
Adam a.s pun tak kurang gagah dan kacaknya.
Tidak dijumpai cacat pada dirinya kerana ia adalah satu-satunya makhluk insan
yang dicipta oleh Allah SWT secara langsung tanpa perantaraan.
Semua kecantikan yang diperuntukkan bagi
lelaki terhimpun padanya. Kecantikan itu pulalah yang diwariskan turun temurun
kepada orang-orang di belakangnya sebagai anugerah Allah SWT kepada
makhluk-Nya yang bergelar manusia. Bahkan diriwayatkan bahawa kelak semua
penduduk syurga akan dibangkitkan dengan pantulan dari cahaya rupa Adam a.s.
Adam a.s bangkit dari pembaringannya,
memperbaiki duduknya. Ia membuka matanya, memperhatikan dengan pandangan tajam.
Ia sedar bahawa orang asing di depannya itu bukanlah bayangan selintas pandang,
namun benar-benar suatu kenyataan dari wujud insani yang mempunyai bentuk
fizikal seperti dirinya. Ia yakin ia tidak salah pandang. Ia tahu itu manusia
seperti dirinya, yang hanya berbeza kelaminnya saja. Ia serta merta dapat
membuat kesimpulan bahawa makhluk di depannya adalah perempuan. Ia sedar bahawa
itulah dia jenis yang dirindukannya. Hatinya gembira, bersyukur, bertahmid
memuji Zat Maha Pencipta.
Ia tertawa kepada gadis jelita itu, yang
menyambutnya tersipu-sipu seraya menundukkan kepalanya dengan pandangan tak
langsung, pandangan yang menyingkap apa yang terselit di kalbunya.
Adam terpikat pada rupa Hawa yang jelita,
yang bagaikan kejelitaan segala puteri-puteri yang bermastautin di atas langit
atau bidadari-bidadari di dalam syurga.
Tuhan menanam asmara murni dan hasrat berahi di hati Adam
a.s serta menjadikannya orang yang paling asyik dilamun cinta, yang tiada
taranya dalam sejarah, iaitu kisah cinta dua insan di dalam syurga. Adam a.s
ditakdirkan jatuh cinta kepada puteri yang paling cantik dari segala yang
cantik, yang paling jelita dari segala yang jelita, dan yang paling harum dari
segala yang harum.
Adam a.s dibisikkan oleh hatinya agar merayu
Hawa. Ia berseru: “Aduh, hai si jelita, siapakah gerangan kekasih ini? Dari
manakah datangmu, dan untuk siapakah engkau disini?” Suaranya sopan, lembut,
dan penuh kasih sayang.
“Aku Hawa,” sambutnya ramah.
“Aku dari Pencipta!” suaranya tertegun seketika. “Aku....aku....aku, dijadikan
untukmu!” tekanan suaranya menyakinkan.
Tiada suara yang seindah dan semerdu itu
walaupun berbagai suara merdu dan indah terdengar setiap saat di dalam syurga.
Tetapi suara Hawa....tidak pernah di dengarnya suara sebegitu indah yang keluar
dari bibir mungil si wanita jelita itu. Suaranya membangkit rindu, gerakan
tubuhnya menimbulkan semangat.
Kata-kata yang paling segar didengar Adam
a.s ialah tatkala Hawa mengucapkan terputus-putus: “Aku....aku....aku,
dijadikan untukmu!” Kata-kata itu nikmat, menambah kemesraan Adam kepada Hawa.
Adam a.s sedar bahawa nikmat itu datang dari
Tuhan dan cintapun datang dari Tuhan. Ia tahu bahawa Allah SWT itu cantik, suka
kepada kecantikan. Jadi, kalau cinta kepada kecantikan berertilah pula cinta
kepada Tuhan. Jadi cinta itu bukan dosa tetapi malah suatu pengabdian. Dengan
mengenali cinta, makrifah kepada Tuhan semakin mendalam. Cinta kepada Hawa
bererti cinta kepada Pencipta. Dengan keyakinan demikian Adam a.s menjemput
Hawa dengan berkata: “Kekasihku, ke marilah engkau!” Suaranya halus, penuh
kemesraan.
“Aku malu!” balas Hawa seolah-olah menolak. Tangannya,
kepalanya, memberi isyarat menolak seraya memandang Adam dengan penuh
ketakjuban.
“Kalau engkau yang inginkan aku, engkaulah yang ke sini!”
Suaranya yang bagaikan irama seolah-olah memberi harapan.
Adam tidak ragu-ragu. Ia mengayuh langkah
gagah mendatangi Hawa. Maka sejak itulah teradat sudah bahawa wanita itu
didatangi, bukan mendatangi.
Hawa bangkit dari tempat duduknya, menggeser
surut beberapa langkah. Ia sedar bahawa walaupun dirinya diperuntukkan bagi
Adam a.s, namunlah haruslah mempunyai syarat-syarat tertentu. Di dalam
sanubarinya, ia tak dapat menyangkal bahawa iapun terpesona dan tertarik kepada
rupa Adam a.s yang sungguh indah.
Adam a.s tidak putus asa. Ia tahu itu bukan
dosa. Ia tahu membaca isi hati. Ia tahu bukannya Hawa menolak, tetapi
menghindarnya itu memanglah suatu perbuatan wajar dari sikap malu seorang gadis
yang berbudi. Ia tahu bahawa di balik “malu” terselit “rasa mahu”. Kerananya ia
yakin pada dirinya bahawa Hawa diperuntukkan baginya. Naluri insaninya
bergelora.
Tatkala sudah dekat ia pada Hawa serta hendak mengulurkan tangan
sucinya kepadanya, maka tiba-tiba terdengarlah panggilan ghaib berseru:
“Hai Adam....tahanlah dirimu.
Pergaulanmu dengan Hawa tidak halal kecuali dengan mahar dan menikah!”.
Adam a.s tertegun, balik ke tempatnya dengan
taat. Hawa pun mendengar teguran itu dan hatinya tenteram.
Kedua-dua manusia syurga itu
sama terdiam seolah-olah menunggu perintah.
Perkahwinan Adam dan
Hawa
Allah SWT. Yang Maha Pengasih untuk
menyempurnakan nikmatnya lahir dan batin kepada kedua hamba-Nya yang saling
memerlukan itu, segera memerintahkan gadis-gadis bidadari penghuni syurga untuk
menghiasi dan menghibur mempelai perempuan itu serta membawakan kepadanya
hantaran-hantaran berupa perhiasan-perhiasan syurga. Sementara itu
diperintahkan pula kepada malaikat langit untuk berkumpul bersama-sama di bawah
pohon “Syajarah Thuba”, menjadi saksi atas pernikahan Adam dan Hawa.
Diriwayatkan bahawa pada akad pernikahan itu Allah SWT.
berfirman: “Segala puji adalah kepunyaan-Ku, segala kebesaran adalah
pakaian-Ku, segala kemegahan adalah hiasan-Ku dan segala makhluk adalah
hamba-Ku dan di bawah kekuasaan-Ku. Menjadi saksilah kamu hai para malaikat dan
para penghuni langit dan syurga bahawa Aku menikahkan Hawa dengan Adam, kedua
ciptaan-Ku dengan mahar, dan hendaklah keduanya bertahlil dan bertahmid
kepada-Ku!”.
Malaikat dan para
bidadari berdatangan
Setelah akad nikah selesai berdatanganlah para
malaikat dan para bidadari menyebarkan mutiara-mutiara yaqut dan intan-intan
permata kemilau kepada kedua pengantin agung tersebut. Selesai upacara akad,
dihantarlah Adam a.s mendapatkan isterinya di istana megah yang akan mereka
diami.
Hawa menuntut haknya. Hak yang disyariatkan Tuhan sejak semula.
“Mana mahar?” tanyanya. Ia
menolak persentuhan sebelum mahar pemberian ditunaikan dahulu.
Adam a.s bingung seketika. Lalu sedar bahawa
untuk menerima haruslah sedia memberi. Ia insaf bahawa yang demikian itu
haruslah menjadi kaedah pertama dalam pergaulan hidup.
Sekarang ia sudah mempunyai kawan. Antara
sesama kawan harus ada saling memberi dan saling menerima. Pemberian pertama
pada pernikahan untuk menerima kehalalan ialah mahar. Oleh kerananya Adam a.s
menyedari bahawa tuntutan Hawa untuk menerima mahar adalah benar.
Pergaulan hidup adalah persahabatan! Dan
pergaulan antara lelaki dengan wanita akan berubah menjadi perkahwinan apabila
disertai dengan mahar. Dan kini apakah bentuk mahar yang harus diberikan?
Itulah yang sedang difikirkan
Adam. Untuk keluar dari keraguan, Adam a.s berseru: “Ilahi, Rabbi!
Apakah gerangan yang akan kuberikan kepadanya? Emaskah, intankah, perak atau
permata?”.
“Bukan!” kata Tuhan.
“Apakah hamba akan berpuasa atau solat atau bertasbih untuk-Mu
sebagai maharnya?” tanya Adam a.s dengan penuh pengharapan.
“Bukan!” tegas suara Ghaib.
Adam diam, mententeramkan jiwanya. Kemudian bermohon dengan
tekun: “Kalau begitu tunjukilah hamba-Mu jalan keluar!”.
Allah SWT. berfirman: “Mahar Hawa ialah selawat sepuluh kali
atas Nabi-Ku, Nabi yang bakal Kubangkit yang membawa pernyataan dari
sifat-sifat-Ku: Muhammad, cincin permata dari para anbiya’ dan penutup serta
penghulu segala Rasul. Ucapkanlah sepuluh kali!”.
Adam a.s
merasa lega. Ia mengucapkan sepuluh kali salawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
sebagai mahar kepada isterinya. Suatu mahar yang bernilai spiritual, kerana
Nabi Muhammad SAW adalah rahmatan lil ‘alamin (rahmat bagi seluruh alam).
Hawa mendengarkannya dan menerimanya sebagai mahar.
“Hai Adam, kini Aku halalkan
Hawa bagimu”, perintah Allah, “dan dapatlah ia sebagai isterimu!”.
Adam a.s bersyukur lalu
memasuki isterinya dengan ucapan salam. Hawa menyambutnya dengan segala
keterbukaan dan cinta kasih yang seimbang.
Allah SWT. berfirman kepada mereka: “Hai Adam, diamlah engkau
bersama isterimu di dalam syurga dan makanlah (serta nikmatilah) apa saja yang
kamu berdua ingini, dan janganlah kamu berdua mendekati pohon ini kerana
(apabila mendekatinya) kamu berdua akan menjadi zalim”.
(Al-A’raaf: 19).
Dengan pernikahan ini Adam a.s tidak lagi merasa kesepian di dalam syurga.
Inilah percintaan dan pernikahan yang pertama dalam sejarah ummat manusia, dan
berlangsung di dalam syurga yang penuh kenikmatan. Iaitu sebuah pernikahan
agung yang dihadiri oleh para bidadari, jin dan disaksikan oleh para malaikat.
Peristiwa pernikahan Adam dan Hawa terjadi
pada hari Jumaat. Entah berapa lama keduanya berdiam di syurga, hanya Allah SWT
yang tahu. Lalu keduanya diperintahkan turun ke bumi. Turun ke bumi untuk
menyebar luaskan keturunan yang akan mengabdi kepada Allah SWT dengan
janji bahawa syurga itu tetap tersedia di hari kemudian bagi hamba-hamba yang
beriman dan beramal soleh.
Firman Allah SWT.: “Kami berfirman: Turunlah kamu dari syurga
itu. Kemudian jika datang petunjuk-Ku kepadamu, maka barangsiapa yang mengikuti
petunjuk-Ku, nescaya tidak ada kekhuatiran atas mereka, dan tidak (pula) mereka
bersedih hati.”
(Al-Baqarah: 38)