Sabtu, 29 Ogos 2009

Merdeka Yang Belum Merdeka

Bismillahirahmanirrahiim
Assalamualaikum wbt...

Ogos adalah bulan kemerdekaan bagi Malaysia kerena pada bulan ini, laungan kemerdekaan telah bergema menandakan bahawa rakyat Malaysia telah bebas daripada penindasan penjajah yang beratus tahun telah mencengkam kita. Insyaallah, esok (31 Ogos 2009) rakyat Malaysia akan menyambut hari kemerdekaan yang ke-52 di seluruh negara.

Merdeka bermaksud bebas daripada penjajah. Pejuang-pejuang kemerdekaan dahulu telah bermatian-matian untuk mempertahankan kedaulatan negara demi mencapai kemerdekaan dan mereka ini perlu dibangga dan dikenang oleh rakyat Malaysia hari ini. Tanpa perjuang mereka, mungkin negara ini masih lagi dijajah oleh negara asing.

Namun begitu, setelah 52 tahun negara merdeka, adakah kita dapat memastikan bahawa kita telah merdeka sepenuhnya? Secara jujur dan ikhlasnya, aku berpendapat rakyat Malaysia belum lagi merdeka sepenuhnya. Memang benar kita telah merdeka dari penjajahan negara asing, tapi itu secara lahiriah sahaja. Bagaimana pula dengan mental dan budaya atau spititual rakyat Malaysia? Ianya belum merdeka. Kita masih lagi dijajah, dibelenggu dan dipengaruh dengan corak fikiran dan budaya dari pihak luar.

Hal ini jelas dapat dilihat pada hari ini, semakin hari corak fikiran rakyat Malaysia telah berubah berbanding zaman dahulu. Ia adalah disebabkan oleh peredaran masa dan kemajuan dalam sistem teknologi. Rakyat Malaysia hari ini lebih berfikiran terbuka dan menerima sahaja apa yang dibawa masuk dari negara luar, kononnya untuk kemajuan diri dan negara. Tanpa disedari, perubahan corak pemikiran ini telah menghakis budaya ketimuran yang diamalkan di negara ini. Perubahan ini sangat ketara dilihat oleh remaja-remaja. Budaya hiburan yang melampau telah mengaburi dan menjajah hati anak-anak remaja tanpa dikawal sehingga menimbulkan pelbagai masalah sosial.

Lihat sahaja apabila tiba malam kemerdekaan. Pelbagai pesta diadakan oleh mereka.Seks bebas, lumba haram, parti arak dan konsert menjadi pilihan mereka. Adakah begitu caranya merdeka disambut??? Tambah membimbangkan lagi apabila wujud golongan ATHIES iaitu golongan yang tidak percaya kepada Tuhan. Mereka percaya apa yang dilihat di depan mata dan dibuktikan dengan sains. Inilah akibat apabila fikiran terlampau terbuka sehinggakan hal-hal agama boleh dipermainkan. Bukan itu sahaja, budaya punk, black metal dan gothic telah menjadi sebati dengan jiwa remaja hari ini. Budaya menyeleweng ini telah mendorong remaja untuk melakukan perkara yang tidak betul dan salah di sisi agama. Malangnya kita tidak perasan. Mungkin ada yang perasan, tapi pelaksanaan pencegahan tidak diambil. Tambah memilukan, remaja Melayu yang mendominasi kegiatan ini. Kemana hilangnya remaja Melayu yang bakal mentadbir negara suatu hari nanti? Semuanya telah tenggelam dengan keseronokan.


Salah satu punca tersebarnya penyakit ini ialah kemasukan hiburan dari luar yang tidak dikawal oleh pemerintah hari ini. Hal ini jelas dilihat, pada setiap tahun pelbagai pesta dan konsert dianjurkan oleh kerajaan malah membenarkan artis luar masuk untuk mengadakan persembahan mereka di sini. Ia telah memberikan remaja keseronokan yang melampau dengan terkinja-kinja bebas antara lelaki dan perempuan yang mendorong kemaksiatan berlaku. Bukan itu sahaja, kemudahan teknologi yang tidak dikawal juga telah membolehkan remaja mengakses laman sesawang yang tidak berfaedah seperti pornografi telah mempengaruhi corak pergaulan mereka. Akibatnya banyak kes pembuangan bayi dan pengguguran janin melibatkan remaja dilaporkan di akhbar.

Kerosakan pemikiran remaja ini juga berlaku disebabkan oleh ibu bapa yang tidak menjalankan tugas mereka dengan sempurna. Ibu bapa hari ini tidak memberatkan soal pendidikan keagamaan dan moral kepada anak-anak mereka. Tanpa ilmu agama, remaja mudah menjadi goyah dengan persekitaran yang melampau. Mereka menjadi terikut-ikut dan terpengaruh dengan benda-benda mengasyikkan yang akan menimbuskan mereka ke kancah penghinaan. Bukankah ibu bapa yang bertangungjawab untuk mencorakan anak-anak-anak mereka? Jika hitam maka hitamlah jadinya dan jika putih maka putihlah akan hasilnya.

Oleh itu, semua mayarakat dan pemerintah perlu mengambil tindakan yang drastik dalam membendung budaya kuning ini. Walaupun tugas untuk mengubah corak pemikiran rakyat itu sukar, tetapi ia tetap perlu dipikul dan perlu dibendung sejak peringkat awal lagi. Malah kita seharusnya balik kepada acuan asal kita sendiri dengan kembali semula kapada budaya ketimuran yang diwarisi dari nenek moyang sejak dari dahulu lagi. Malah, kita seharusnya balik semula kepada ajaran Islam yang sebenar dengan menjadikan Al-Quran dan hadist sebagai panduan dalam mentadbir, mendidik dan membangunkan negara ini sesuai dengan konteks Negara Islam.

Selamatkan anak bangsa kita yang bakal menjadi pemimpin untruk mentadbir negara yang berdaulat dan tercinta ini.... Renungkanlah dan carilah jalan penyelesaian agar kita bukan sahaja merdeka secara lahiriah tetapi juga merdeka dari segi pemikiran dan budaya... Wassalam...

“ Bismillahirahmanirrahiim... ya Allah ya Tuhan kami, kami menadah tangan memohon kepada-Mu agar melindungi negara kami yang tercinta ini dari sebarang bentuk penjajahan sama ada fizikal atau mental. Ya Allah yang Maha Pemurah, Engkau sucikanlah hati-hati kami, teguhkanlah iman kami, berilah hidayah dan petunjuk kepada kami agar kami tidak terpengaruh dengan bisikan syaitan, terpengaruh dengan hiburan yang melalaikan dan terpengaruh kepada kenikmatan duniawi. Ya Allah, Engkau jadikanlah kami dalam golongan hamba-hamba-Mu yang taat kepada perintah-Mu dan Engkau peliharalah kami dan negara kami dari sebarang anasir jahat dan jadikan negara kami makmur dan sejahtera aman sentosa. Engkau peliharalah hubungan perpaduan yang terbentuk di negara ini agar perpaduan itu terus kukuh sepanjang masa... Amiin Ya Rabbal ‘Alamiin..





Khamis, 27 Ogos 2009

Kedatangan Yang Dinanti

Bismilahirahmanirahiim...
Assalamualaikum wbt...

Ahlan wa sahlan ya Ramadhan. Setelah setahun meninggalkan kita, akhirnya bulan yang dinanti-nantikan oleh orang Islam kembali semula. Bulan yang penuh dengan kesyukuran, kerahmatan dan keampunan. Itulah bulan Ramadhan al-mubaraq. Bulan yang dikhususkan kepada ummat Islam untuk mengerjakan ibadah puasa yang terkandung dalam salah satu daripada rukun Islam.

Secara umumnya, puasa bererti menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenamnya mentari.

Bulan ramadhan adalah bulan yang sangat mulia sehinggakan diceritakan secara khusus di dalam al-Quran dan hadits tentang kemuliaan bulan ini. Pada bulan ini, ummat Islam berbondong-bondong melakukan ibadah kepada Allah swt dengan ikhlas dan tawadduk agar mendapat ganjaran yang besar. Setiap amal yang dikerjakan pada bulan ini akan dilipatgandakan sebanyak sepuluh kebaikan. Antara amalan sunat yang sangat dituntut dalam bulan ini ialah Sholat Terawih yang dilakukan sebanyak 20 rakaat atau 8 rakaaat. Malah di bulan yang mulia ini, ummat Islam sangat digalakkan untuk perbanyakan berzikir, membaca al-Quran, berI’tiqaf, qiamulail, bersedekah dan berzakat. Namun begitu, amalan-amalan wajib tetap perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

Keistimewaan bulan Ramadhan banyak dinyatakan dalam hadist-hadist Nabi. Antaranya:
Nabi saw bersabda:
1- Apabila tiba bulan Ramadhan, maka dibukalah seluas-luasnya pintu-pintu syurga, ditutup serapat-rapatnya pintu neraka dan syaitan-syaitan dibelenggu.
(hadits riwayat Abu Hurairah r.a).

2- Abu Hurairah r.a, berkata, "Rasulullah bersabda, 'Allah berfirman, (dalam satu riwayat: dari Nabi, beliau meriwayatkan dari Tuhanmu, Dia berfirman, "Setiap amal anak Adam itu untuknya sendiri selain puasa, Sesungguhnya puasa itu untuk Ku dan Aku yang akan membalasnya.

3- Sungguh bau mulut orang yang berpuasa di sisi Allah adalah lebih harum daripada bau kasturi dan bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan yang dirasakannya iaitu apabila berbuka, ia bergembira; dan apabila ia bertemu dengan Tuhannya, ia bergembira karena puasanya itu."

4- Hadist riwayat Sahal bin Saad ra., ia berkata: Rasulullah saw. bersabda: Sesungguhnya di dalam surga itu terdapat pintu yang bernama Rayyan. Orang-orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu itu pada hari kiamat. Tidak ada orang selain mereka yang masuk bersama mereka. Ditanyakan: Di mana orang-orang yang puasa? Kemudian mereka masuk melalui pintu tersebut dan ketika orang yang terakhir dari mereka sudah masuk, maka pintu itu ditutup kembali dan tidak ada orang yang akan masuk melalui pintu itu.

5- Hadist riwayat Abu Said Al-Khudri ra., ia berkata: Rasulullah saw. bersabda: Tidaklah seorang hamba yang berpuasa satu hari di jalan Allah, kecuali Allah akan menjauhkan wajahnya dari api neraka sejauh jarak perjalanan 70 tahun.

Pada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Malam itu dikenali sebagai malam Lailatulqadar. Seperti yang dijelaskan dalam al-Quran iaitu dalam surah Al-Qadr, ayat 1-5 :

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turunlah para Malaikat dan Jibrail dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sehingga terbit fajar.

Tambahan pula, melalui hadist yang diriwayatkan oleh Aisyah ra, Rasulullah saw. bersabda: Cari dan nantikanlah Lailatulqadar pada sepuluh terakhir bulan Ramadhan.

Oleh itu, pada bulan yang penuh keberkatan ini, marilah sama-sama kita menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim dengan penuh keazaman dan bersungguh-sungguh agar mendapat kesempurnaan ibadah. Malahan, pada bulan ini kita dituntut untuk bersahur kerana Nabi saw bersabda –“Beza antara puasa orang Muslim dengan orang kafir adalah bersahur”. Akhir sekali, saling bermaaf-maafanlah kita dengan orang disekeliling agar mereka memafkan kesalahan selama kita mengenali mereka kerana dalam keadaan sedar atau tidak, mungkin melalui percakapan dan perbuatan ada yang mereka terasa.

Pesanan Jibrail a.s kepada Nabi saw semasa menjelang Ramadhan-
“Jangan lupa bermohon maaf dengan tiga golongan ketika hadir Ramdhan iaitu:
1- memohon kemaafan daripada kedua ibu bapa
2- memohon maaf sesama suami isteri
3- memohon maaf sesama keluarga, sahabat dan mereka di sekeliling

Semoga kita diberikan kesihatan dan kekuatan untuk menjalani ibadah puasa ini dari awal hingga penghujungnya dan selalulah berdoa agar kita akan berjumpa lagi dengan Ramadhan pada tahun akan datang..... Wassalam.
Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates