Sabtu, 29 Ogos 2009

Merdeka Yang Belum Merdeka

Bismillahirahmanirrahiim
Assalamualaikum wbt...

Ogos adalah bulan kemerdekaan bagi Malaysia kerena pada bulan ini, laungan kemerdekaan telah bergema menandakan bahawa rakyat Malaysia telah bebas daripada penindasan penjajah yang beratus tahun telah mencengkam kita. Insyaallah, esok (31 Ogos 2009) rakyat Malaysia akan menyambut hari kemerdekaan yang ke-52 di seluruh negara.

Merdeka bermaksud bebas daripada penjajah. Pejuang-pejuang kemerdekaan dahulu telah bermatian-matian untuk mempertahankan kedaulatan negara demi mencapai kemerdekaan dan mereka ini perlu dibangga dan dikenang oleh rakyat Malaysia hari ini. Tanpa perjuang mereka, mungkin negara ini masih lagi dijajah oleh negara asing.

Namun begitu, setelah 52 tahun negara merdeka, adakah kita dapat memastikan bahawa kita telah merdeka sepenuhnya? Secara jujur dan ikhlasnya, aku berpendapat rakyat Malaysia belum lagi merdeka sepenuhnya. Memang benar kita telah merdeka dari penjajahan negara asing, tapi itu secara lahiriah sahaja. Bagaimana pula dengan mental dan budaya atau spititual rakyat Malaysia? Ianya belum merdeka. Kita masih lagi dijajah, dibelenggu dan dipengaruh dengan corak fikiran dan budaya dari pihak luar.

Hal ini jelas dapat dilihat pada hari ini, semakin hari corak fikiran rakyat Malaysia telah berubah berbanding zaman dahulu. Ia adalah disebabkan oleh peredaran masa dan kemajuan dalam sistem teknologi. Rakyat Malaysia hari ini lebih berfikiran terbuka dan menerima sahaja apa yang dibawa masuk dari negara luar, kononnya untuk kemajuan diri dan negara. Tanpa disedari, perubahan corak pemikiran ini telah menghakis budaya ketimuran yang diamalkan di negara ini. Perubahan ini sangat ketara dilihat oleh remaja-remaja. Budaya hiburan yang melampau telah mengaburi dan menjajah hati anak-anak remaja tanpa dikawal sehingga menimbulkan pelbagai masalah sosial.

Lihat sahaja apabila tiba malam kemerdekaan. Pelbagai pesta diadakan oleh mereka.Seks bebas, lumba haram, parti arak dan konsert menjadi pilihan mereka. Adakah begitu caranya merdeka disambut??? Tambah membimbangkan lagi apabila wujud golongan ATHIES iaitu golongan yang tidak percaya kepada Tuhan. Mereka percaya apa yang dilihat di depan mata dan dibuktikan dengan sains. Inilah akibat apabila fikiran terlampau terbuka sehinggakan hal-hal agama boleh dipermainkan. Bukan itu sahaja, budaya punk, black metal dan gothic telah menjadi sebati dengan jiwa remaja hari ini. Budaya menyeleweng ini telah mendorong remaja untuk melakukan perkara yang tidak betul dan salah di sisi agama. Malangnya kita tidak perasan. Mungkin ada yang perasan, tapi pelaksanaan pencegahan tidak diambil. Tambah memilukan, remaja Melayu yang mendominasi kegiatan ini. Kemana hilangnya remaja Melayu yang bakal mentadbir negara suatu hari nanti? Semuanya telah tenggelam dengan keseronokan.


Salah satu punca tersebarnya penyakit ini ialah kemasukan hiburan dari luar yang tidak dikawal oleh pemerintah hari ini. Hal ini jelas dilihat, pada setiap tahun pelbagai pesta dan konsert dianjurkan oleh kerajaan malah membenarkan artis luar masuk untuk mengadakan persembahan mereka di sini. Ia telah memberikan remaja keseronokan yang melampau dengan terkinja-kinja bebas antara lelaki dan perempuan yang mendorong kemaksiatan berlaku. Bukan itu sahaja, kemudahan teknologi yang tidak dikawal juga telah membolehkan remaja mengakses laman sesawang yang tidak berfaedah seperti pornografi telah mempengaruhi corak pergaulan mereka. Akibatnya banyak kes pembuangan bayi dan pengguguran janin melibatkan remaja dilaporkan di akhbar.

Kerosakan pemikiran remaja ini juga berlaku disebabkan oleh ibu bapa yang tidak menjalankan tugas mereka dengan sempurna. Ibu bapa hari ini tidak memberatkan soal pendidikan keagamaan dan moral kepada anak-anak mereka. Tanpa ilmu agama, remaja mudah menjadi goyah dengan persekitaran yang melampau. Mereka menjadi terikut-ikut dan terpengaruh dengan benda-benda mengasyikkan yang akan menimbuskan mereka ke kancah penghinaan. Bukankah ibu bapa yang bertangungjawab untuk mencorakan anak-anak-anak mereka? Jika hitam maka hitamlah jadinya dan jika putih maka putihlah akan hasilnya.

Oleh itu, semua mayarakat dan pemerintah perlu mengambil tindakan yang drastik dalam membendung budaya kuning ini. Walaupun tugas untuk mengubah corak pemikiran rakyat itu sukar, tetapi ia tetap perlu dipikul dan perlu dibendung sejak peringkat awal lagi. Malah kita seharusnya balik kepada acuan asal kita sendiri dengan kembali semula kapada budaya ketimuran yang diwarisi dari nenek moyang sejak dari dahulu lagi. Malah, kita seharusnya balik semula kepada ajaran Islam yang sebenar dengan menjadikan Al-Quran dan hadist sebagai panduan dalam mentadbir, mendidik dan membangunkan negara ini sesuai dengan konteks Negara Islam.

Selamatkan anak bangsa kita yang bakal menjadi pemimpin untruk mentadbir negara yang berdaulat dan tercinta ini.... Renungkanlah dan carilah jalan penyelesaian agar kita bukan sahaja merdeka secara lahiriah tetapi juga merdeka dari segi pemikiran dan budaya... Wassalam...

“ Bismillahirahmanirrahiim... ya Allah ya Tuhan kami, kami menadah tangan memohon kepada-Mu agar melindungi negara kami yang tercinta ini dari sebarang bentuk penjajahan sama ada fizikal atau mental. Ya Allah yang Maha Pemurah, Engkau sucikanlah hati-hati kami, teguhkanlah iman kami, berilah hidayah dan petunjuk kepada kami agar kami tidak terpengaruh dengan bisikan syaitan, terpengaruh dengan hiburan yang melalaikan dan terpengaruh kepada kenikmatan duniawi. Ya Allah, Engkau jadikanlah kami dalam golongan hamba-hamba-Mu yang taat kepada perintah-Mu dan Engkau peliharalah kami dan negara kami dari sebarang anasir jahat dan jadikan negara kami makmur dan sejahtera aman sentosa. Engkau peliharalah hubungan perpaduan yang terbentuk di negara ini agar perpaduan itu terus kukuh sepanjang masa... Amiin Ya Rabbal ‘Alamiin..





0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates