Khamis, 26 Februari 2009

Saat Cinta Bertasbih


Bismillahirahmanirahiim…
Assalamualaikum wbt…

Sebagai manusia, kita tidak pernah lari dari perasaan untuk menyanyangi dan disayangi kerana itu adalah fitrah semulajadi yang dikurniakan oleh Allah swt kepada setiap makhluk ciptaan-Nya dan perasaan itu dinamakan sebagai ‘Cinta’. Apakah yang dimaksudkan dengan cinta? Umum mengetahui bahawa cinta itu adalah satu perasaan sayang, kasih dan suka pada seseorang atau sesuatu benda. Namun apa yang menjadi persoalan, adakah cinta itu membawa kita ke jalan kebenaran? Adakah cinta itu sesuatu yang kekal? Adakah cinta itu akan membahagiakan kita selamanya? Ini persoalan yang perlu diambil kira dalam menguruskan perihal cinta.

Pada masa ini, ramai remaja telah rosak disebabkan cinta. Kerana cinta juga manusia telah menjadi lupa daratan. Kerana cinta juga telah menyebabkan manusia lupa akan tanggungjawab terhadap Tuhan yang telah menciptakan.

Allah swt telah berfirman :
Ada juga antara manusia yang mengambil selain Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah, sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. (Qs Al-Baqarah : ayat 165)

Dalam ayat ini jelas, Allah swt menyatakan bahawa manusia pada masa ini lebih mencintai apa yang berada di dunia ini dan sanggup melakukan apa sahaja untuk memperolehinya walau dengan cara yang salah sekalipun. Kebanyakkan manusia kini lebih mencintai sesama manusia dan cinta pada harta sehingga melupakan cinta pada yang satu sedangkan mereka sendiri sedar bahawa cinta sesama manusia dan harta itu tidak kekal. Namun disebabkan diri dikuasai oleh nafsu yang telah menggelapkan mata, memekakkan telinga, menenggelamkan akal sehingga alpa pada yang Esa.

Sedarlah saudaraku sekalian, cinta di dunia ini adalah sementara, perjalanan kita masih jauh lagi di akhirat sana. Kejarlah cinta yang hakiki. Cinta yang membawa kita ke arah kebaikan, cinta yang mendorong kita untuk taat kepada-Nya, dan gapailah cinta yang teragung iaitu dengan mencintai Tuhan yang satu… Insyaallah dengan menetapkan hati kita kepada Allah swt, nescaya cinta yang teragung itu akan membahagiakan kita di dunia dan akhirat…

Antara kelebihan orang yang mengejar cinta Ilahi :
a) Tiada kecewaSeseorang itu tidak akan kecewa dalam percintaannya merebut cinta agung. Seandainya semua makhluk di bumi dan langit berlumba-lumba merebut cinta Tuhan, tidak ada siapa yang akan kecewa, bahkan Maha Kuasanya Tuhan dapat membalas cinta semua makhluk-makhluk-Nya serentak dari yang sekecil-kecilnya hinggalah yang sebesar-besarnya. Tiada siapa yang akan kecundang dan kecewa dalam perebutan mencari cinta agung.


b) Mendapat ketenangan dan kebahagiaanMendapat cinta Tuhan akan membuahkan ketenangan, kedamaian, keamanan dan kebahagiaan yang hakiki. Jiwa lapang, hati senang dan tenang. Bahkan kesengsaraan, kesakitan atau penderitaaan dalam usaha meraih cinta agung itu merupakan sebahagian daripada kebahagiaan. Kadangkala hati resah, cemas dan bimbang apakah cintanya terhadap Tuhan itu berbalas. Dalam keresahan cemas dan bimbang itu terubat dengan keyakinan bahawa Tuhan itu Maha Luas Rahmat-Nya. Sesekali terasa diri lemah, dhaif dan lalai, tertebus pula dengan pengaduan serta bermanja-manja dengan Allah SWT yang Maha Pengasih. Bertambah pula mendalamnya rasa kehambaan. Sebaliknya merebut cinta dunia akan menimbulkan keresahan dan tiada ketenangan di jiwa. Walaupun dunia yang dicintai itu sudah ada di tangan, namun fikiran manusia masih lagi kusut.

c) Menghilangkan sifat mazmumahMencari cinta Tuhan dapat membantu menghilangkan sifat mazmumah. Mazmumah adalah sifat-sifat keji yang terdapat dalam diri manusia seperti hasad, dengki, sombong, ego, tamak, gila dunia dan lain-lain. Mazmumah dapat merosakkan segala kebahagiaan dan ketenangan di dalam jiwa seseorang insan. Perlumbaan mencari cinta Tuhan adalah salah satu proses paling berkesan dalam usaha seseorang manusia meruntuhkan sifat mazmumah di dalam jiwanya. Sebaliknya, merebut cinta dunia akan menebalkan mazmumah. Hasad dengki pasti akan berlaku dan ia bagaikan siraman baja yang menyuburkan lagi pohon mazmumah dalam diri manusia.

d) Tidak akan kesepian atau keseoranganMemburu cinta Tuhan tidak akan keseorangan dan kesepian. Biarpun tiada kawan bersama, kita tidak akan rasa kesunyian dan ketakutan kerana Tuhan yang menjadi cinta agung sentiasa ada bersama. Malah Tuhan bukan sekadar boleh memerhati, bahkan boleh menjaga dan melindungi kita. Meletakkan cinta dan harap pada Tuhan akan membuatkan hati sentiasa rasa tenang dan selamat kerana kita tahu bahawa kita berada di dalam kawalan dan penjagaan satu Dzat yang Maha Agung lagi Berkuasa. Sebaliknya, manusia yang menyandarkan diri kepada cinta selain Tuhan, belum tentu makhluk yang dicintainya itu dapat mendampinginya sepanjang masa lebih-lebih lagi menjadi pelindungnya setiap masa.


e) Jalannya luas dan selamat.Mengejar cinta Tuhan jalannya luas, lapang, selamat dan menyelamatkan, manakala mengejar cinta dunia jalannya sempit, himpit-menghimpit serta memudharatkan. Begitulah beruntungnya sesiapa yang menjadikan Tuhan cinta agungnya dan malang sekali bagi sesiapa yang memburu cinta selain Tuhan.

Sebagai penutup bicara, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah swt dengan menyandarkan cinta sepenuhnya kepada Dia. Sesungguhnya tiada yang kekal selain Allah. Mencintai Allah merupakan satu ibadat yang suci, suatu ketenangan abadi dan suatu hadiah yang murni… Renungkanlah… Wassalam.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates