Isnin, 18 Oktober 2010

Guane Gamok Orang Tranung Kite


Guane Gamok Orang Tranung Kite


Guane gamok orang Tranung kite

Arak-arak se’gor megor

Dok kemama lagi


Kalu gi’tu orang kite baru ade kelah

Baru jangok, buleh masuk bong

Lawang dengang orang negeri laing


Guane gamok orang kite

Guane gamok anok beranok kite di Besut nung

Dok soh nok nu’suk, dok payoh nok su’sut

Semangak roh Kuale Besut tu dok soh bia liuk

Mari kite same-same pisoh

Jangang lok sapa nge’suk


Guane gamok orang kite

Guane gamok adik kakok di Setiu tu

I love you bia se’but slalu

Kite kasih pade tanoh bongsu kite tu

Dok soh wi kliru

Mari kite same-same tapu

Jangang lok jadi berdebu


Guane gamok orang kite

Guane gamok pulok warih-waroh kite orang Kuale Trengganu

Orang bandor

Bia rajing skit

Su’sung molek bandor kite ning

Dok soh ikut dang

Paka plekong, paka skung

Mari kite same-same jage

Jangang lok bia skung


Guane gamok orang kite

Guane gamok saing-saing kite di Kuale Brang

Orang ulu

Lening rama doh bojeng rambut perang

Tu tandenye orang kite maju ikuk perkembangang

Mari kite same-same lembang

Jangang lok jadi ngambang


Guane gamok orang kite

Guane gamok pulok saing rodong kite di Marang

Napoknye, Marang pung kite kene wi kedepang

Baru seimbang

Biar tak dok orang maroh

Lakoh sikik-sikik patang larang

Mari kite same-same nganyang

Jangang lok ba’hang rambang


Guane gamok orang kite

Guane gamok barang kali sdare-sdare kite di Dungun

Buak lah apa bende pung

Jangang sakang duk nengung

Ita-italah orang kite di Kuala Jenga

Pasir Raja nung

Seluk bira jalang tu

Napok berdo’oh blopong

Mari kite same-same bangung

Jangang lok re’boh su’gung


Guane gamok orang kite

Guane gamok mok ohnye kaung krabak kite di Kemamang

Jangang lok nye makang sata

Cume telang lemang

Berilah vitaming

Bia ceroh mate

Baru dok chemang

Mari kite sam-same kucoh

Jangang lok die bengang


Guane gamok orang kite

Arak-arak se’gor megor

Dok kemama lagi.....


Muzium Negeri Terengganu menjadi kebanggaanku

Khamis, 14 Oktober 2010

Aku Dan Dunia Seni Mempertahankan Diri Melayu

Salah satu teknik untuk mematahkan serangan musuh



Gambar semasa memberi ceramah berkenaan keselamatan diri



Bergambar dengan anak didik sebelum persembahan


Bismillahirahmanirahiim

Assalamualaikum wbt...

Sejak dua minggu yang lalu, aku ditugaskan untuk melatih anak didikku serta beberapa pelajar dari Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu untuk persembahan Puisidra sempena Majlis Penutupan Program 1 Malaysia peringkat IPTA/S Sabah yang menggabungkan puisi, drama, tarian, muzik asli dan silat. Sejak dua minggu yang lalu juga, jadual pada waktu malamku cukup padat. Setiap hari aku mesti mengajar mereka di Sekolah Pengajian Seni. Kadang-kadang bila bas tiada, aku berjalan kaki bersama mereka balik ke kolej seperti hari ini, aku dan anak didikku kebasahan meredah hujan untuk pulang ke kolej.......


Ramai teman sekelas yang bertanya kepadaku kenapa aku sanggup buat kerja-kerja begini... malah kadang-kadang mereka komplen mengatakan aku sekarang terlalu sibuk sehingga tiada masa untuk bersama dengan mereka... Tapi apa yang aku mampu jawab hanyalah itu adalah tanggungjawab aku dan itu adalah tugas aku yang perlu ditunaikan........


Namun begitulah hakikatnya, aku dengan dunia persilatan. Sejarah aku dengan dunia persilatan cukup panjang. Banyak kenangan manis dan pahit telah aku tempuh untuk mengembangkan minat dan impianku dalam bidang ini. Jarang aku ceritakan kisah hidupku dalam bidang ini kecuali dengan orang yang rapat denganku serta anak didikku...

Terdetik pada waktu dan ketika ini untuk aku menulis tentang kisah dunia persilatanku... mungkin ia boleh dijadikan coretan kenangan yang boleh aku kongsikan kepada sesiapa yang sudi membacanya....


Aku bermula berminat dalam seni mempertahankan diri semenjak aku kecil lagi. Sewaktu kecil aku sangat meminati filem-filem dan drama-drama aksi yang memaparkan seni mempertahankan diri seperti kungfu dan kickboxer serta silat. Drama yang paling aku minat pada waktu itu adalah Keris Hitam Bersepuh Emas lakonan mantap Eman Manan. Ceritanya cukup menarik dan memaparkan 100% silat Melayu. Setiap kali selepas tengok cerita itu, aku akan menggayakan pergerakan silat di dalam bilik... Walaupun sumbang, tapi aku tetap menggayakannya...


Pada tahun 1998 iaitu semasa aku dalam darjah 3, aku tertarik untuk memasuki kelas Taek-kwan-do. Namun tak sampai setahun aku belajar, aku mulai bosan. Aku rasakan diri aku tidak sesuai dengan corak pertahanan diri seperti itu. Aku berhenti mempelajari semasa peringkat tali pinggang kuning-2.


Semasa tahun 2001 pula iaitu semasa aku di tingkatan 1, aku diajak oleh kawan untuk mempelajari Silat Gayong ****** (terlalu sensitif untuk menyatakan nama pertubuhan itu). Tanpa berfikir panjang, aku terus mendaftar untuk memasuki kelas silat itu. Memang sudah menjadi niat aku untuk belajar seni mempertahankan diri Melayu ini. Aku mula berlatih silat ini dengan bersungguh-sungguh. Aku tidak pernah ponteng kelas latihan dan aku selalu datang awal untuk berlatih. Dengan menaiki basikal, aku mengayuh hampir 20 minit untuk ke sekolah pada setiap hari Jumaat untuk berlatih. Setiap kali pergi latihan aku akan memakai pakaian lengkap silat berwarna hitam beserta tali pinggang. Setiap buah, serangan, tangkisan dan tendangan yang diajar, aku cuba mengingat dan melakukannya dengan lancar. Semasa tahun 2003, aku mula diperkenalkan dengan dunia pertandingan. Walaupun sekadar mewakili peringkat sekolah, namun aku tetap puas. Sehingga tahun 2004, setiap pertandingan yang aku sertai, pasti aku akan membawa hadiah dan pingat. Namun begitu, pada masa yang sama, perasaan aku terhadap silat gayong ini mula berubah. Minat untuk mempelajarinya semakin luntur. Ada beberapa faktor yang menyebabkan minat aku mulai luntur. Pertamanya kerana sikap jurulatih aku pada masa itu suka memaksa dan memaki pelajar-pelajarnya. Aku dipaksa untuk turun latihan walaupun pada masa itu aku sedang sakit. Malah aku turut dimaki dan dihamun kerana memberi alasan sakit sedangkan pada masa itu aku benar-benar sakit dan tidak larat untuk berlatih. Sebab keduanya kerana apa yang aku cari dalam seni mempertahankan diri Melayu Asli tidak aku perolehi. Aku ingin mempelajari silat hingga tamat, namun apa yang aku pelajari sepanjang 4 tahun dalam pertubuhan ini hanyalah beberapa buah dan hanya mementingkan pertandingan. Disebabkan oleh dua faktor ini, aku mula tawar hati untuk meneruskan pengajian dalam Silat Gayong ini....


Awal tahun 2005, aku mula menghantar surat kepada jurulatih untuk berhenti atas alasan aku ingin fokus dalam akademik. Hujan tidak selalunya cerah, aku dituduh mengajar silat itu kepada perguruan lain. Malah aku dikatakan anak murid derhaka kerana mencuri ilmu. Semenjak itu, hubungan aku dengan rakan-rakan dari pertubuhan itu mulai renggang. Mereka mula tidak bertegur sapa denganku. Akhirnya aku diharamkan dari menyertai pertubuhan itu lagi. Aku redha dan terima atas segala dugaan yang diberikan. Hampir setahun, aku tidak terlibat secara aktif dalam silat. Setiap kali ada pertandingan, aku hanya pergi sekadar menjadi penonton. Ramai juga teman-teman dari perguruan lain menanyakan kepadaku, namun aku hanya berdiam diri. Aku rasakan bahawa dunia silat tidak sesuai denganku. Aku betul-betul rasa tersiksa dan kerdil pada ketika itu.


Namun sinar baru kembali... Pada akhir 2005, aku diperkenalkan oleh teman karibku dengan Persatuan Kalimah Malaysia. Dia mengajak aku ke gelanggang untuk melihat corak latihan mereka. Pertama kali aku melihat, aku jadi tertarik. Pergerakannya cukup ringkas. Malah hanya menggunakan kaedah berdiri tegak tanpa kekuda untuk melawan musuh. Malah apa yang menarik perhatian aku adalah, silat ini menggunakan kaedah dalam solat seperti doa, takbir, qiam dan rukuk.


Setelah melihat corak permainan mereka, temanku menguji aku. Dia meminta aku menyerangnya dengan semua ilmu seni mempertahankan diri yang aku ada. Aku dengan yakin menyerangkan, namun tidak sampai 20 saat, aku tumbang ke tanah. Aku jadi terkesima dan bingung. Lalu kawanku menjelaskan kepadaku bahawa silat yang diamalkannya iaitu Kalimah adalah sangat ringkas dan mudah. Ia hanya bertindak sekiranya ada musuh yang menyerang dan serangannya dituju tepat di kawasan kelemahan manusia. Aku mula rasa menyesal. Apa yang aku pelajari selama 4 tahun sebelum ini aku rasakan tidak berguna. Tiada apa-apa yang aku dapat. Aku hanya menjadi jagoan di gelanggang, tetapi menjadi ayam katik di medan pertempuran sebenar...


Mulai detik itu, aku mendaftar untuk mengikuti kelas Kalimah. Aku belajar melalui kawanku. Aku belajar dengan sangat cepat. Malah pelbagai ilmu tambahan seperti senjata moden dan tradisional yang aku pelajari. Pada setiap malam, aku dilatih di atas kawasan bukit loji air dan kadang-kadang dirumahnya. Aku rasakan sangat mudah mempelajari silat ini dan ianya sangat menepati dengan jiwaku. Semasa mendalami ilmu persilatan ini, aku diberi banyak peluang. Aku mula terlibat dalam bahagian teknikal dan pembantu gelanggang sekiranya ada pertandingan silat diadakan di Negeri Terengganu. Aku dibayar dengan bayaran yang cukup tinggi semasa melakukan tugas-tugas itu. Wang yang diperolehi itulah yang aku gunakan untuk perbelanjaan dan persekolahanku....


Dari setahun ke setahun, aku mula diberi kepercayaan untuk mengajar ahli-ahli baru dalam Persatuan Kalimah Malaysia dan semasa mengajar aku mendapat pelbagai ilmu-ilmu baru seperti ilmu untuk menghormati pelajar. Aku tidak mahu menjadi seorang guru yang garang dan tidak pandai hormat orang. Biarlah kenangan aku dengan guru yang lalu begitu. Bagiku, pelajar akan menghormati seorang guru itu sekiranya guru itu pandai menghormati pelajarnya. Itu membuatkan pelajar akan menghormati guru bukannya takut kepada guru. Takut dan hormat adalah dua perkara yang berbeza. Takut akan menimbulkan perasaan rendah diri dan dendam pelajar itu kepada guru, tetapi hormat akan menjadikan ikatan antara guru dengan pelajarnya seperti satu keluarga. Segalanya boleh dikongsi seperti seorang teman....


Dari setahun ke setahun aku mula tamat setiap peringkat dalam silat Kalimah ini dan pengijazahan aku dibuat sendiri oleh Guru Utama Kalimah. Alhamdulillah, pada tahun 2009, aku dengan rasminya dilantik dan dianugerahkan sijil untuk mengajar silat Kalimah ini di Negeri Sabah dan aku cukup berbangga kerana aku adalah orang termuda yang dianugerahkan sijil ini. Setelah berusaha dan atas sokongan semua pihak, akhirnya pada tahun 2010, aku telah berjaya membuka sebuah gelanggang silat Kalimah di Negeri Sabah iaitu di Universiti Malaysia Sabah. Dengan ahli yang berdaftar seramai 86 orang, aku rasa cukup berbaloi dan bangga dengan pencapaian aku setakat ini.


Walaupun dalam masa yang singkat penubuhan Persatuan Kalimah di UMS, namun kejayaan mula mendapat perhatian. Banyak pelawaan mengadakan persembahan yang diterima. Malah Persatuan Kalimah ini juga dijemput untuk menjayakan persembahan Puisidra yang menggabungkan puisi, tarian, muzik tradisional, teater dan Silat sempena program 1 Malaysia peringkat IPTA/S Sabah. Tambahan pula, setiap kali mengadakan persembahan, tarikan penonton dan ucapan tahniah diterima dari pelbagai pihak termasuk pihak pentadbiran universiti....


Aku cukup berbangga dengan semua anak didikku. Walaupun dalam masa yang singkat, mereka mampu mempelajari silat ini dengan cepat. Malah mereka sering meminta untuk diadakan kelas tambahan untuk memperkemaskan buah...


Sering kali aku memberi pesan kepada anak didikku bahawa kita perlu mempelajari sesuatu ilmu dengan bersungguh-sungguh serta ikhlas. Setiap yang kita belajar mesti tamat dan apabila tamat kita perlu menyebarkannya kepada orang ramai kerana kita akan menjadi lebih pandai sekiranya kita tidak kedekut ilmu. Malah penerapan sikap bertolak-ansur, hormat-menghormati, semangat setiakawan dan semangat kekeluargaan dipupuk kepada mereka agar ikatan antara ahli menjadi lebih utuh dan berkekalan...


Sehingga kini, aku masih lagi mengajar silat Kalimah dan pada masa yang sama aku juga telah tamat peringkat tiga dari Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi serta mempelajari beberapa kaedah seni mempertahankan diri yang lain seperti Karate, Capoeira, Kickboxing, Muay Thai serta Wing Chun KungFu....


Bagiku dunia seni mempertahankan diri dengan diriku tidak dapat dipisahkan dan masih banyak yang belum aku terokai dan aku capai dalam bidang ini. Walaupun sudah 10 tahun berkecimpung dalam dunia silat, namun aku masih belum puas. Masih banyak yang perlu dikaji dan dipelajari. Apa yang aku harapkan semoga impian aku dalam mengembangkan Silat Kalimah akan tercapai dan boleh membina akademi Silat Kalimah sendiri kelak... Insyaallah....


“Silat Aku Silat Kalimah, Aku Silat Dalam Kalimah”


Kerenah anak didikku selepas persembahan




Isnin, 4 Oktober 2010

Anda mahukan pengalaman blogger yang hebat??Click Here!

Jumaat, 1 Oktober 2010

Naik Taraf Blog

Blog Khalifah Sufi kini dengan wajah baru selepas dinaiktaraf. Harap anda menyukainya, terima kasih. Wassalam.

Rabu, 14 Julai 2010

Diari Kg Rampaian Ulu, Kota Belud Sabah

Pada 13 hingga 19 Jun yang lepas, aku bersama pelajar sekelas yang lain telah mengikuti satu kajian lapangan yang diadakan di Miri, Sarawak. Aku dan yang lain sampai di UMS lebih kurang dalam pukul 10.30 malam. Dengan keadaan yang penat dan letih disebabkan perjalanan yang terlalu panjang, aku terus membaringkan badan yang kepenatan ini di katil. Keesokan harinya, seorang teman mengajak aku pulang ke rumahnya di Kampung Rampaian Ulu, Kota Belud. Sememangnya sebelum cuti semester lagi, temanku mengajak aku ke rumahnya setelah pulang dari Miri. Lagipun aku sudah berjanji dengannya untuk mengikutnya pulang. Maka bermulalah diariku di Kampung Rampaian Ulu, Kota Belud, Sabah...

(Ahad, 20 Jun 2010)

Hari ini perjalananku diteruskan lagi ke Kota Belud. Walhal penat semalam dari Miri masih belum reda lagi. Semasa hari terakhir di Miri, aku mengalami sedikit kecederaan di bahagian pinggang ke kaki. Walaupun keadaan aku yang belum pulih sepenuhnya, tetapi aku tetap gagahkan juga demi menunaikan janjiku pada seorang teman. Perjalanan ke Kota Belud yang mengambil masa hampir dua jam sedikit sebanyak mendatangkan kesakitan kepadaku...harapnya esok aku akan semakin baik...

(Isnin, 21 Jun 2010)

Sedang asyik bersembang dengan teman di beranda rumahnya, aku terima satu mesej dari kawan di Kota Kinabalu. Ada masalah katanya. Tentang cinta... seorang lelaki yang pernah menolaknya suatu ketika dahulu ingin bersamanya kembali. Tetapi kawanku tidak sudi. Katanya ia masih teringat dengan peristiwa yang terjadi kepadanya. Namun lelaki itu tetap memaksanya untuk bersama. Walaupun berbagai alasan yang diberi, dia tetap tidak peduli. Itulah cinta... kadang-kadang ia membuatkan seseorang itu jadi tertekan dan merana. Masalah akan timbul sekiranya ia tidak faham tentang erti sebenar cinta dan bagaimana untuk mengawal cinta itu mengikut landasan yang betul. Sering kali aku menasihati kepada teman-teman bahawa cinta itu suatu yang suci dan istimewa. Oleh itu cinta perlu dilayan secara suci dan istimewa agar cinta itu tidak membawa mudarat kepada diri... Aku berdoa semoga Cinta yang lahir pada diriku ini adalah cinta yang tulus dan suci yang dapat aku serahkan segalanya kepada yang Hakiki... Allah swt. Pada malam ini, aku mengikut teman bermain badminton bersama rakan sekampungnya. Apa yang menariknya dan kelakarnya, aku langsung tidak memahami apa yang dicakapkan oleh mereka. Mana tidaknya, mereka bercakap dalam bahasa Iranum. Memang unik. Macam bahasa Tagalog pun ada... tapi itulah salah satu kelebihan di Malaysia. Setiap bangsa mempunyai bahasa dan loghat yang tersendiri. Sekiranya aku tidak ke sini, mungkin aku tidak berpeluang menerokai keunikan ini. Semoga perpaduan yang dicapai ini terus mekar demi pengukuhkan perpaduan setiap bangsa...

(Selasa, 22 Jun 2010)

Pada sebelah pagi, tiada sebarang aktiviti yang dilakukan, cuma tidur sampai matahari tegak meninggi. Pada sebelah petangnya pula, aku dan teman memancing ikan di sungai yang berhampiran dengan rumahnya. Lama juga kami mengunggu ikan menggigit umpan, tapi satu pun tidak mengena. Kami pulang dengan tangan kosong. Begitulah adat dalam memancing. Kadang-kadang dapat, kadang-kadang hampa. Sama juga seperti manusia. Kadang kala manusia ini hanya mampu merancang dan membuat apa yang telah dirancang. Namun, tidak semuanya apa yang dirancang itu terhasil seperti yang diharapkan. Ada kalanya rezeki itu melimpah dan ada kalanya ia kosong. Sebagai manusia, rasa syukur atas nikmat yang diberikan oleh Allah perlu ada di dalam diri setiap insan walaupun ianya tidak seberapa. Mungkin Allah mahu menguji keimanan kita terhadap-Nya. Sesungguhnya, janji Allah itu pasti kepada makhluknya yang taat. Semoga Allah memberi aku kekuatan menghadapi sebarang dugaan dan ujian mendatang. Amiin...

(Rabu, 23 Jun 2010)

Pada waktu tengah hari, aku dan teman duduk di beranda rumah sambil bercerita teantang zaman persekolahan dahulu. Aku pun mula bercerita tantang pengalaman aku yang mengukir seribu kenangan sehingga ke saat ini. Terngiang di benakku tentang zaman remajaku. Masa di sekolah menengah, aku bukannya seorang pelajar yang baik dan cemerlang. Orang lain sibuk belajar, aku pula sibuk mencari duit dalam bidang sukan yang aku minati. Macam-macam perkara yang aku lakukan pada masa itu. Aku menyertai pertandingan, membuat persembahan dan mengikuti perbagai acara peringkat kebangsaan seperti Citrawarna Malaysia sehinggakan kelas tambahan pun aku ponteng. Guru kelas selalu marah dan sesetengah guru ada yang menggeleng kepala bial berjumpa dengan aku. Bila keluar keputusan PMR, aku mendapat keputusan yang teruk. Masa tu, cikgu hanya mengerling kepada aku. Malu aku dengan rakan-rakan yang lain. Bila pulang dari rumah, bertubi-tubi aku dimarahi oleh ibu dan abang. Itulah akibatnya apabila tidak menguruskan masa, minat dan pelajaran dengan betul. Masuk tingkatan empat, aku diletakkan dikelas paling hujung dalam aliran perdagangan iaitu 4P4. Bertambah malu aku dibuat... mana taknya semua rakan-rakan yang lain dapat memasuki aliran sains dan ekonomi. Bermula dari situlah aku mula belajar untuk berubah. Aku sudah tidak terlibat secara aktif lagi dalam bidang sukan, tetapi lebih banyak membuat kerja di belakang takbir. Aku bersyukur kerana semasa di tingkatan 4 dan 5, aku diberi banyak peluang oleh cikgu dengan menghantar aku menyertai kursus kepimpinan, kem jati diri dan kem akademik yang banyak memberikan impak positif padaku. Walaupun nakalku tidak berubah, tapi dalam pelajaran ada peningkatan. Semasa tingakatan 5, aku dinaikkan ke kelas 5P3. Ok lah tu... Walaupun keputusan SPM tidaklah sebaik mana, tetapi aku tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya tidak seteruk keputusan PMR dahulu. Selepas keputusan SPM diumumkan, ramai temanku mengisi borang UPU dan Politeknik serta Matrikulasi. Aku pula tidak. Aku merancang untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan 6. Alhamdulillah, semasa tingkatan 6 aku telah banyak berubah. Aku selalu bersaing dengan rakan sekelas untuk mendapat markah tertinggi terutama dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Pengajian Am serta Geografi. Aku turut aktif dalam kursus kepimpinan dan kecemerlangan STPM pada waktu itu. Semasa keputusan STPM keluar, sungguh aku tidak percaya bahawa aku tersenarai dalam sepuluh pelajar terbaik di sekolah. Rasa bangga dan gembira semasa aku menunjukkan keputusan kepada ibu dan abangku. Guru memanggil aku dan ibu untuk menghadiri majlis anugerah kecemerlangan pelajar. Masa itu, aku dan ibu naik ke pentas utnuk menerima sijil. Aku juga mendapat markah tertinggi dalam mata pelajaran BM semasa percubaan STPM berbanding dengan pelajar-pelajar lain dari dua kelas yang lain. Riak wajah ibu menggambarkan kegembiraan. Ditambah lagi apabila aku mendapat tawaran ke Universiti Malaysia Sabah dalam bidang Geografi. Ibu terus mengadakan kenduri kesyukuran dan majlis doa selamat menjamu orang kampung. Rasanya perubahan aku berbaloi... dari pelajar yang tiada harapan dalam pelajaran berubah menjadi seorang manusia yang dapat membanggakan keluarga walaupun masih banyak kesilapan yang masih belum ditebus. Semoga ibu dipanjangkan umur supaya dapat melihat kejayaan aku kelak...amiin. Sering kali apabila ada program motivasi yang dianjurkan oleh kelab, aku selalu menceritakan kisah aku ini kepada adik-adik agar menjadi iktibar kepada mereka. Sesungguhnya ibu dan bapa tidak mengharapkan balasan dari seorang anak, cuma cukuplah sekadar anak-anaknya menjadi manusia yang berguna kepada keluarga dan berjaya dalam hidup... Selesai bercerita, temanku mengatakan aku ini bertuah kerana sudah melalui pengalaman yang berguna semasa zaman remaja lagi. Semoga di masa lain aku turut begitu....

(Khamis, 24 Jun 2010)

Selepas makan tengah hari, teman mengajak aku ke rumah bapa saudaranya yang terletak di hadapan rumahnya sahaja. Rumah bapa saudaranya itu dibina di atas sungai dan terdapat jeti yang menyambung antara jalan dengan rumah. Kami merehatkan mata di jeti itu. Keadaan itu sama seperti di kampungku. Di kampung, terdapat dua buah jeti yang dibina oleh nelayan untuk melabuhkan kapal mereka dan untuk membuat kerja-kerja membuat bubu dan pukat. Semasa zaman kecil dan remajaku, aku sering ke sana untuk tidur kerana anginnya cukup menyegarkan. Kadang-kadang, selepas mandi sungai aku akan naik ke jeti untuk mengeringkan badan dan baju. Tetapi semenjak Taman Tamadun Islam dibina, keadaannya sudah berubah. Keadaan jeti sudah tidak menarik lagi. Sungai yang dulunya dalam dan apabila surut boleh menampakkan pasir kini telah menjadi cetek dan berlumpur akibat penambakan sungai dan pembinaan benteng di sepanjang taman. Jeti semakin terperosok ke dalam semak. Jeti yang dulunya meriah kini menjadi sepi, hanya tinggal para nelayan meneruskan kerja-kerja mereka. aku rindukan pada waktu dulu...Pada sebelah petang pula, teman membawa aku mengelilingi kampungnya. Kami pergi ke bukit yang terletak di hujung kampung. Sambil berjalan, kami bergurau, mengolok dan bergurau. Macam zaman kanak-kanak... kami menyanyi, berlari, melompat dan ketawa bersama-sama. Keadaan itu mengingatkan aku kepada teman-teman di kampung. Belum puas rasanya bersama mereka semasa cuti semester baru-baru ini. Malah ada juga rakan-rakan yang belum sempat aku temui kerana terlalu sibuk dengan urusan kerja dan tugasan pensyarah. Hanya panggilan dan mesej sahaja dapat diutus sebagai pengganti diri. Semasa makan malam, aku dihidangkan sejenis rumpai laut yang tidak pernah aku temui iaitu rumpai laut yang berwarna hijau dan berbentuk bulat-bulat kecil seperti anggur yang melekat di batuan di tepi pantai. Untuk memakannya, ianya perlu dicicah dengan cuka. Bagaimana rasanya, aku pun tidak tahu. Aku langsung tidak menjamahnya. Sedangkan sayur pun aku tidak makan, inikan pula makanan yang pelik yang tidak pernah aku jumpa. Tetapi melihat temanku ayng begitu berselera, sudah pasti itu salah satu makanan kegemarannya...

(Jumaat, 25 Jun 2010)

Hari ini tiada apa-apa yang dibuat. Selepas selesai solat jumaat, hujan turun dengan lebat tanpa henti. Aku dan teman hanya duduk di jeti sambil berborak kosong. Kemudian pak cik temanku membawa sepiring buah kuini yang siap dipotong. Sungguh manis rasanya. Di sini buah kuini dipanggil sebagai buah wani. Macam nama orang pula kan??? Temanku mempunyai seorang adik bongsu perempuan yang nakalnya bukan kepalang. Maklumlah anak bongsu dan masih kecil. Itu membuatkan aku teringat kepada Fatimah Nailah dan adiknya Aisyah, dua beradik yang diasuh oleh ibuku. Dulu abang mereka, Mawardi juga diasuh oleh ibu. Keluarga Ustaz Kamal sudah seperti keluarga kami juga. Anak-anaknya ibu jaga dan asuh dengan penuh teliti serta dicurahkan kasih sayang. Rindu betul aku dengan teletah mereka. Si kakak manja dan si adik pula kuat cemburu. Itulah resam kanak-kanak. Selagi tidak dapat apa yang mereka mahukan, selagi itu mereka merengek... Sememangnya mereka sangat comel... keluarga aku tidak pernah menganggap mereka sebagai orang lain. Malah ibu sangat bosan apabila mereka tidak dihantar ke rumah. Di sini aku belajar tentang erti kasih sayang seorang ibu yang mencurahkan kasih terhadap seorang anak. Ibu memandikan mereka, memakaikan mereka baju, mendodoikan mereka tidur, menampakkan curahkan kasih sayang sebenar seorang ibu terhadap anak walaupun itu hanyalah anak asuhannya. Aku sangat bersyukur kerana dikurniakan seorang ibu yang penyanyang, cekal, tabah dan kuat menjalani kehidupan demi anak-anak mereka....

(Sabtu, 26 Jun 2010)

Pagi ini aku bersiap untuk pulang ke UMS kerana aku dipanggil untuk menjadi fasilitator untuk kursus Pembimbing Suai Mesra. Aku diminta menggantikan seorang rakan yang tidak dapat hadir kerana terdapat kesulitan di kampungnya. Kalau ikutkan hati, aku mahu tinggal lebih lama di sini. Apakan daya, tugas perlu dilaksanakan. Sebelum berangkat, aku bersalaman dengan ibu dan bapa temanku. Rasa sedih turut hadir. Maklumlah aku sudah menganggap keluarga temanku seperti keluarga sendiri. Insyaallah jika ada kesempatan di lain waktu, aku akan ke sini lagi. Perkara yang paling menggembirakan bagiku adalah hubungan antara aku dengan temanku sudah semakin erat dari teman sekelas menjadi adik beradik serta sebahagian dari keluarga. Semoga ukhwah yang terbina ini menjadi semakin kukuh dan tersimpul rapi dalam sanubariku agar ianya menjadi kenangan abadi yang berpanjangan... amiin.

Salam takziah buat temanku dan keluarganya yang dikasihi di atas pemergian datuknya yang tercinta. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan insan-insan yang beriman dan bertaqwa kepada Allah swt...

Jumaat, 19 Mac 2010

Kerja Lapangan Di Sandakan & Keluarga Geografi

Assalamualaikum wbt...

Baru-baru ini (Jumaat-Selasa,), aku dan rakan-rakan dari kelas pengurusan ekosistem persekitaran telah pergi menjalankan kerja lapangan di Sandakan. Teruja aku ke sana kerana baru pertama kali menjejakkan kaki ke daerah itu. Sandakan adalah sebuah kawasan yang mempunyai banyak bandar dan bandar-bandar tersebut adalah berpisah antara satu sama lain. Tahun lalu, Sandakan mendapat anugerah sebagai bandar paling bersih...namun, berdasarkan kajian dan pemerhatian yang aku buat adalah sperti indah khabar dari rupa. Bukanlah niat aku untuk mengatakan perkara buruk, mungkin sesetengah kawasan di Sandakan dalam keadaan bersih dan sesetengah lagi tidak diurus dengan baik. Penulisan aku kali ini bukanlah untuk menceritakan tentang keburukan bandar Sandakan atau mengenai keindahan Sandakan tetapi adalah berkenaan pengalaman aku bersama-sama teman di sana. Ada kisah tersirat dan tersurat ingin aku sebarkan yang mungkin akan membuatkan teman-teman berfikir tentangnya.

(Hari pertama, Jumaat, 5/3/2010)
Sesampainya kami di Sandakan, satu masalah telah timbul iaitu berkenaan dengan tempat tinggal. Pada mulanya kami merancang untuk menginap di Kompleks Sukan Sandakan setelah melakukan rundingan harga sebelum kami berangkat ke sana. Namun, sampai di sana, lain pula yang jadinya. Harganya telah berubah...tekejut juga kami pada masa tu. Tetapi akhirnya masalah itu selesai juga dengan bantuan bapa Azmah dan kawan baiknya yang bertugas di penjara Sandakan. Kami mendapat tempat tinggal percuma untuk 5 hari 4 malam di rumah rehat pegawai penjara dengan bantuan mereka. Alhamdulillah...dapat juga kami berjimat.kami diberi tiga bilik, dua untuk pelajar perempuan dan satu untuk pelajar lelaki. Sebelum kami beristirahat, kami membersihkan rumah itu terlebih dahulu. Maklumlah, rumah itu sudah lama tak berpenghuni. Aku dan beberapa orang teman melaungkan azan di setiap penjuru rumah sebagai pendinding bagi mengelakkan perkara-perkara buruk berlaku. Selepas semuanya sudah dibersihkan, kami semua keluar untuk makan malam di kawasan ikan bakar. Memang cukup berselera kami makan malam tu. Maklumlah penat berkemas pada petang tadi. Kemudian kami pulang untuk merehatkan badan yang keletihan seharian di dalam bas yang perjalanannya cukup mencabar terutama di kawasan laluan Ranau dan Kundasang.

(Hari kedua, Sabtu, 6/3/2010)
Keesokkan harinya, mulalah cabaran kami menjalankan kajian lapangan di sekitar Bandar Sandakan. Beberapa kumpulan telah dibahagikan dan diberukan tugasan yang berbeza. Ada kumpulan yang membuat kajian ke atas kualiti air, pencemaran bunyi dan udara serta membuat soal selidik. Cuaca di Sndakan cukup panas. Terasa bahang matahari membakar kulit. Mata menjadi silau menyukarkan pandangan. Namun kerja tetap diteruskan. Kebetulan hari itu, kumpulan aku mendapat tugasan menguji kualiti air di Sungai Sepilok. Alhamdulillah, tugasan pada hari pertama dapat diselesaikan. Tengah hari itu, kami menikmati ikan bakar lagi. Cukup menyelerakan. Malahan harganya sangat murah. Pada malamnya, pelajar-pelajar perempuan telah memasak untuk santapan kami. Walaupun ringkas, tetapi rasa kenikmatannya apabila kami berkumpul beramai-ramai untuk makan bersama-sama. Sambil makan, senda gurau menjadi selingan membuatkan bilik menjadi riuh rendah dengan sorakan dan ketawa. Gembira sungguh pada malam itu. Hilang segala stress dan penat lelah sudah terbalas. Selesai makan...apa lagi katil menjadi tempat singgahan merehatkan fizikal yang penat.

(Hari ketiga, Ahad, 7/3/2010)
Pada keesokkannya pula, cabaran diteruskan. Hari itu kumpulan aku diberikan tugasan untuk menguji tahap pencemaran bunyi dan kualiti udara. Perhentian pertama untuk melakukan tugasan itu adalah di bulatan Taman Buaya. Dengan keadaan panas terik dan di tengah kesibukan lalu lintas mencabar kami menyelesaikan tugasan. Peluh keringat tidak terhenti mengalir. Baju yang kering lembap diresapi peluh dan bauan wangian badan hilang diganti bau masam peluh. Nasib...nasib... kami perlu menunggu selama satu jam untuk mendapatkan keputusannya. Setelah selesai di bulatn itu, kami beralih ke kawasan kedua yang jaraknya lebih kurang 400 meter dari kawasan pertama. Sampai di kawasan kedua, pensyarah kami datang bersama dengan 2 orang pelajar Master. Setelah dipujuk dan dibodek, pensyarah belikan kami buah tembikai yang cukup manis dan menyegarkan badan di kala dibahang kepanasan walaupun pada mulanya kami meminta dibelikan aiskrim. Tapi kami tetap bersyukur...dapat percuma, siapa yang tidak mahu kan? Kemudiannya kami beralih ke temapt ke tiga iaitu di hadapan pasaraya Survey Sandakan. Kepala aku mula pening...kawasan itu benar-benar terik. Maklumlah menjadi tempat kilang-kilang dan laluan utama kenderaan berat. Akhirnya selesai juga tugasan kami. Kami berkumpul dan dibawa makan tengah hari. Selepas itu, tugasan diteruskan iaitu untuk menghabiskan borang soal selidik. Kali ini, semua pelajar terlibat melakukannnya bersama-sama. Lokasinya di Taman Mawar. Kami menyiapkan tugasan lebih kurang jam 5 petang. Kami berangkat ke temnpat penginapan. Walaupun penat tapi kami tetap gembira dapat menyiapkan tugasan yang diberikan. Seperti biasa tugas pelajar perempuan untuk memasak makan malam. Pada malam itu, pelajar perempuan makan di bilik lelaki kerana kata mereka bilik mereka tidak kemas. Apa lagi, menjadi kelam kabut kami mengemas bilik. Kami dipuji oleh pelajar perempuan pada malam itu. Kata mereka bilik kami kemas, tidak seperti bilik mereka yang bersepah dengan barang-barang. Maklumlah, kami kan calon lelaki yang boleh dibuat suami. Hahahaha...

(Hari keempat, Isnin, 8/3/2010)
Tugasan kami diteruskan lagi keesokknya. Pada hari itu, kami melawat agensi Jabatan Alam Sekitar Sandakan dan Majlis Perbandaran Sandakan. Di sini kami diberikan maklumat berkenaan dengan peranan agensi-agensi tersebut dan sesi soal jawab turut diadakan bagi mendapat input yang lebih. Semasa sesi soal jawab dengan Majlis Bandaraya Sandakan, kami meloncarkan soalan-soalan yang panas berkenaan keluhan penduduk yang menyatakan pihak MPS tidak menjalankan tugas dengan sempurna. Hasilnya, pihak MPS menerima kritikan dan saranan kami dan berjanji akan melakukan pemantauan terhadap aduan-aduan yang dikemukakan. Pada sebelah malamnya, kami mengadakan berbeku iaitu membakar ayam dan sosej. Tugasan membakar diberikan kepada pelajar lelaki manakala pelajar perempuan memasak nasi dan lauk. Pensyarah, pelajar Master dan pemandu bas turut datang pada malam itu. Suasana malam di penjara itu menjadi bingit dengan hilaian ketawa kami. Walaupun ringkas, tapi suasananya sangat meriah. Kami makan bersila beramai-ramai di tempat parkir kereta sambil berbalas-balas pantun. Cukup menggembirakan semua yang ada pada malam itu. Seperti satu keluarga yang erat menyambut pesta keraian kejayaan. Aku terbayang di kampung halaman, berkumpul bersama keluarga dan saudara-mara. Ahh...aku rindukan mereka. Selesai makan, kami bersama-sama mengemas dan membasuh peralatan memasak. (pelajar lelaki yang buat. Pelajar perempuan santai di bilik...rehat awal. Hahahaha).

(Hari kelima, Selasa, 9/3/2010)
Hari ini merupakan hari terakhir kami di Sandakan. Kalau ikutkan hati ini, tidak mahu pulang hendaknya. Maklumlah, sampai sahaja di UMS, beban tugas kembali banyak dengan laporannya, kuliah, makmal dan tugasan berkumpulan. Sebelum berangkat pulang ke UMS, kami mengadakan lawatan di Taman Perlindungan Orang Utan Sepilok. Selama ini aku hanya dapat tengok Orang Utan di kaca televisyen sahaja. dikesempatan ini, dapatlah aku melihatnya dengan kaca mata sendiri. Walaupun masa kami pergi ke sana hanya dua ekor sahaja yang kelihatan, namun perasaan puas tetap terasa. Kami bergambar sakan di sana. Mana taknya, setiap kamera yang dibawa masuk perlu dibayar RM10. Tak nak rugi punya pasal, kami bergambar sepuasnya. Sampai habis bateri. Setelah itu, kami memulakan perjalankan pulang ke UMS. Kami singgah di batu 13 untuk membeli buah salak. Namun kebetulan masa itu bukan musimnya. Jadi harganya mahal sedikit dari biasa dan buahnya tidak banyak serta kecil. Kemudian perjalanan diteruskan lagi. hentian kami seterusnya di Stesen Minyak Petronas Ranau. Ada sebuah gerai burger di situ. Kami menyerang kedai burger itu membuatkan penjualnya pening kepala mengambil pesanan kami. Di tambah lagi dengan bising suara dan desakan rebutan kami untuk mendapatkan burger terlebih dahulu membuatkan penjual menjadi bertambah keliru dan ada riak bingung dimukanya. Untuk mempercepatkan masa, aku menolong penjual yang berumur 16 tahun itu menyiapkan pesanan. Maklumlah, sebelum ini aku sudah biasa menjaja makanan di pasar malam dan bazar Ramadhan. Jadi semuanya menjadi lebih mudah. Akhirnya pesanan dapat disiapkan. Rakan-rakan berselera memakan burger itu setelah lama menanti. Kami sampai di UMS lebih kurang jam 7.30 malam. Alhamdulillah, perjalanan pulang kami selamat sampa ke destinasi...

Begitulah kisah aku dan teman-teman sekelas di Sandakan. Apa yang tersirat melalui projek kajian lapangan ini amat bermakna kepada aku dan mungkin kepada teman-teman yang lain. Ia akan menjadi salah satu kenangan, coretan dan makalah yang tidak akan dilupakan. Keakraban kami adalah seperti adik-beradik yang saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Tiada istilah Geografi Manusia atau Fizikal, yang ada cuma satu Geografi yang menjadi pemangkin persahabatan kami. Segala masalah, percanggahan, kekangan dan cabaran, kami cuba menyelesaikan bersama. Tidak dinafikan, masalah dan konflik antara kami tetap wujud. Tetapi bagiku itu hanyalah ujian untuk merapatkan dan mengukuhkan lagi institusi keluarga ini. Setiap kali program dianjurkan, kami sama-sama terlibat bagi memastikan program itu berjalan dengan lancar. Jika ada dalam kalangan kami yang sakit atau ditimpa musibah, kami turut berasa risau dan bimbang serta bersimpati kepadanya dan cuba menolong untuk meringankan beban. Bak kata pepatah, cubit peha kiri, peha kanan juga terasa sakitnya. Sentiasa di bibir kami bertanyakan khabar teman yang sakit menandakan kami cukup ambil berat antara satu sama lain. Kami cuba menjadi pemecah tradisi. Jika dahulu, kumpulan Geografi Fizikal dengan Geografi Manusia hanya membuat kerja masing-masing dan kurang rapat. Kami tingggalkan tradisi itu. Bagiku, keluarga Geografi ini akan lemah dan banyak program tidak menjadi atau kurang sambutan jika sikap dan sifat itu diteruskan. Sesungguhnya kesatuan dalam keluarga akan membawa kepada keteguhan dan pencapaian yang terbilang. Disebabkan oleh perkara ini, aku merasakan kelab-kelab lain ada yang cemburu dengan kejayaan kami. Aku juga percaya, tiada kelab lain di sekolah kami (Sains Sosial) yang mempunyai ikatan dan persefahaman antara semua pelajarnya. Aku cukup kagum dan bangga menjadi salah seorang dari ahli keluarga Geografi. Kepelbagaian budaya, bangsa, agama dan bahasa tidak menghalang kami untuk bekerja bersama-sama dan saling kenal-mengenali hati budi masing-masing.

Mengakhiri penulisan aku kali ini, aku sangat berharap agar ukhwah yang terjalin ini berkekalan bukan hanya semasa kami menuntut di sini, tetapi ianya akan kekal sampai ke hujung nyawa. Aku juga berharap, adik-adik tahun 1 yang bakal menjejaki ke tahun 2 dan pelajar yang akan memasuki kursus ini pada semester depan dapat meneruskan kesinambungan tradisi yang kami amalkan. Tiada istilah GM atau GF, tetapi yang ada hanyalah 1 Geografi.

Sekian nukilan aku buat masa ini. Wassalam.




Kat Sepilok lah nie...





Comel kan Orang Utan nie...




Gambar kat Sepilok bersama dengan Driver Bas yang cool


Tekun betul aku buat keje....



Cukup bergaya kami membuat kajian...


sempat jugak tunjuk bakat menjual burger

Rabu, 2 Disember 2009

Antara Marah, Rotan, Gantung & Buang

Antara marah, rotan, gantung dan buang
(Khas kepada para pendidik dan bakal pendidik)

Bismilahirahmanirahiim..
Assalamualaikum wbt...

Alhamdulillah, selamat juga aku pulang ke kampung untuk bercuti. Selepas bertungkus-lumus belajar, akhirnya berpeluang juga untuk berehat sebelum meneruskan perjuangan itu semula pada semester depan. Seperti biasa, akhir-akhir tahun begini, negeri di pantai timur mengalami musim tengkujuh dan kebiasannya juga, kampung aku dinaiki air banjir. Namun ianya tidaklah seteruk seperti dareh-daerah lain dan dua hari kebelakangan ini, air banjir di kampungku mulai surut. Kepada adik-adik yang sedang menduduki peperiksaan SPM dan STPM, selamat menempuhi peperiksaan ini dengan sabar dan sentiasa fokus agar dapat menjawab dengan tenang. Kepada adik-adik yang sedang bercuti, selamat bercuti aku ucapkan dan diharap dapat mengisi waktu yang ada ini dengan perkara yang berfaedah.

Di kesempatan yang ada ini, aku terdetik untuk berkongsi pendapat aku kepada kalian tentang beberapa hukuman atau denda yang diamalkan di sekolah seluruh Malaysia yang bagiku kurang sesuai cara perlaksanaannya kini. Bukanlah aku hendak menentang hukuman yang ditetapkan itu, tetapi aku merasakan bahawa hukuman yang dibuat itu kurang berkesan dan boleh mendatangkan mudarat yang lebih teruk. Tetapi ianya boleh jadi positif sekirannya perlaksanaannya dilakukan dengan betul dan ini jarang sekali dibuat oleh para pendidik. Aku juga bukannya nak menyalahkan pendidik, tetapi sekadar berkongsi pendapat yang mungkin dapat ditanggapi dan dinilai oleh pendidik.

Sekolah menjadi satu institusi penting bagi mendidik anak bangsa yang dahagakan ilmu pengetahuan. Sekolah juga menjadi tempat berkumpulnya pelajar yang berbeza latar belakang, sifat dan perangai. Sebagai sebuah institusi pendidikan, sekolah mempunyai undang-undang dan peraturan tersendiri yang perlu dipatuhi oleh para pelajar. Namun begitu, sesetengah peraturan yang ditetapkan bagi menghukum pelajar yang membuat kesalahan adalah kurang sesuai kaedah perlaksanaannya. Antara hukuman yang sering dibuat ialah marah, rotan, gantung dan buang sekolah. Corak pemikiran pelajar pada masa ini jauh berbeza. Mereka lebih besikap memprotes dan tidak suka dikongkong. Hukuman yang dikenakan ke atas mereka membuatkan mereka bertindak lebih teruk jika tidak kena dengan cara perlaksanaannya.

Marah merupakan perkara biasa yang sering dilakukan oleh guru kepada pelajar yang membuat kesilapan tidak kira kesalah itu kecil atau besar. Namun begitu, ada guru yang marah dengan mengherdik, memaki dan menyumpah pelajar. Tambah menyakitkan, apabila guru itu memarahi pelajar di depan pelajar yang ramai seperti diperhimpunan atau di kawasan terbuka seperti dikantin sekolah. Bagi guru, mungkin itu perkara normal. Tetapi bagi seorang pelajar atau seorang manusia yang waras, perkara itu mengaibkan mereka. Dimarahi di depan pelajar atau guru yang lain membuatkan pelajar itu merasa malu dan mungkin akan berdendam. Bukanlah ianya tidak boleh dilaksanakan, tetapi mestilah marah itu dengan niat untuk mendidik. Jangan menggunakan kata-kata kesat dan menyumpah kerana perbuatan itu menambahkan benci pelajar tersebut kepada guru yang mendendanya. Langkah yang paling sesuai adalah tukarkan marah itu dengan tegur iaitu menegur kesalahan yang dilakukan oleh pelajar dengan berhemah dan berterusan. Seorang guru seharusnya membina ikatan yang rapat dengan pelajar sepaya mereka boleh berkongsi pendapat atau masalah. Malahan ikatan yang wujud ini membolehkan guru memberi nasihat dan membetulkan perangai pelajarnya.

Selain itu, hukuman rotan turut dikenakan kepada pelajar yang membuat kesalahan. Apa yang silap disini ialah kaedah merotan pelajar itu adalah tidak betul. Ada sesetengah guru apabila merotan pelajar, mereka merotan dengan sekuat hati dan ini mewujudkan perasaan benci antara kedua-dua belah pihak. Islam menganjurkan kaedah merotan yang cukup baik, namun ianya tidak dituruti oleh guru-guru. Kaedah merotan yang dianjurkan dalam Islam ialah orang yang merotan tidak boleh mengangkat tangannya dengan tinggi tetapi cukup hanya dengan mengepit sebuah buku di ketiaknya. Selain itu, tempat yang wajar untuk dirotan ialah bahagian betis. Selepas merotan, guru perlu menjelaskan kepada pelajar terbabit berkenaan permasalahannya dengan hemat agar pelajar memahaminya dan berubah. Kaedah ini juga dapat membuang sifat dendam pelajar tersebut terhadap guru yang merotannya. Tetapi sungguh mendukacitakan apabila guru sanggup merotan pelajar dengan kuat hinggakan meninggalkan kesan jalur merah dibahagian yang dirotan. Bagi aku tindakan itu bukan untuk mendidik tetapi untuk mendera.

Hukuman gantung pula dikenakan kepada pelajar yang sering melakukan kesalahan berat. Kebiasaannya hukuman gantung ini dikenakan selama semingggu atau dua minggu. Namun begitu, apabila pelajar itu digantung sekolah, mereka akan ketinggalan banyak dalam pelajaran. Bila mereka kembali ke sekolah, guru meneruskan pelajarannya tanpa menghiraukan pelajar yang dihukum tersebut. Sepatutnya hal ini tidak boleh begitu. Seharusnya, apabila pelajar itu kembali ke sekolah selepas digantung, guru perlu memberi kelas persendirian kepada pelajar itu agar mereka dapat mempelajari sukatan yang ketinggalan. Langkah ini membuatkan pelajar tersebut merasakan mereka dihargai dan tidak ketinggalan dalam pelajaran. Malah pelajar tersebut mudah untuk berinteraksi dengan gurunya dan ini memudahkan proses mengubah dan mendidik pelajar bermasalah itu.

Buang sekolah adalah hukuman terakhir yang dikenakan kepada pelajar yang tidak mahu berubah dan melakukan kesalahan berulang kali di sekolah. Namun begitu, apabila difikirkan semula, kemana hala tuju pelajar yang dibuang itu? Zaman ini amat mementingkan pendidikan. Tanpa pendidikan sesorang itu diibaratkan manusia yang terpinggir. Apa yang boleh dilakukan oleh pelajar yang dibuang ini? Bagaimana masa depan mereka tanpa pendidikan? Mampukah mereka menjalani kehidupan yang lebih baik kelak selepas dibuang dari persekolahan? Inilah perkara yang perlu direnungkan oleh para pendidik. Walaupun rayuan boleh dilakukan untuk meneruskan persekolahan, namun berapa ramai yang melakukan perkara itu. Tambahan pula, pelajar yang dibuang ini tersenarai dalam senarai hitam. Walaupun berpindah kesekolah lain, namun mereka tetap dikenali sebagai pelajar bermasalah dan bekas pelajar yang dibuang. Hal ini menyebabkan mereka tidak berminat untuk meneruskan persekolahan yang berpendapat lebih baik melakukan pekerjaan. Tetapi, apakah pekerjaan yang layak bagi mereka? Anda sendiri ada jawapannya....

Apa yang lebih penting, institusi pendidikan bukan hanya sebagai tempat penyebaran ilmu, malah menjadi tempat membentuk sahsiah dan siasah remaja yang bakal mentadbir negara kelak. Memang tidak dapat dinafikan, dalam ramai-ramai pelajar disesebuah sekolah, pasti ada pelajar yang bermasalah. Namun sebagai pendidik, langkah yang berkesan perlu diambil bagi membentuk pelajar yang bermasalah ini. Guru dan pelajar seharusnya membina ikatan yang erat seperti sebuah keluarga agar mereka boleh berinteraksi dengan selesa tanpa ada perasaan takut. Selain itu, guru perlu memahami sikap pelajar zaman kini kerana dari semasa ke semasa, corak pemikiran pelajar adalah berkembang dan berubah. Sebagai seorang pendidik, ilmu dan pendekatan spikologi perlu dipraktikan agar guru dapat memahami dan mendalami permasalahan pelajar dengan lebih baik dan dapat menarik perhatian pelajar untuk berubah. Hukuman yang dibuat adalah bertujuan untuk mendidik namun kaedah perlaksanaannya yang kurang sesuai menyebabkan permasalahan itu tidak dapat diselesaikan. Kepada para pendidik dan bakal pendidik, aku berharap anda dapat menjalankan tugas yang sewajarnya. Jangan hanya mementingkan tentang keputusan peperiksaan dan menghabiskan sukatan pelajaran sahaja, tetapi perlu juga membentuk keperibadian yang sempurna kepada para pelajar agar keseimbangan antara tahap pendidikan dengan keperibadian pelajar dapat dicapai.

Renung, tenung dan fikirkanlah..... Wassalam.
Perasaan sedih terasa saat perpisahan dengan adik-adik

Gambar selepas majlis penutup program



Gambar semasa aktiviti LDK


Gambar dengan adik-adik SMK Tongod











Khamis, 22 Oktober 2009

Bersama Adik-Adik SMK Ranau

Bismillahirahmanirahiim...
Assalamualaikum wbt..

Pada hari Sabtu dan Ahad baru-baru ini, aku telah pergi menjalankan satu program kajian lapangan dan khidmat komuniti bersama-sama rakan sekelas(klimatologi) bertempat di SMK Ranau. Kami bergerak dari UMS pada jam 7.00 pagi dan sampai di sana lebih kurang jam 10.30 pagi. Sesampainya di sana, kami disambut oleh pelajar-pelajar sekolah SMK Ranau dengang ceria sekali. Malah mereka bertanya kepada aku, mengapa kami lewat sampai? Pelajar-pelajar itu telah menunggu kami dari jam 8.00 pagi lagi. Sememangnya mereka sangat bersemangat untuk menyertai program dan kami para fasilitator juga berasa teruja dengan sikap mereka.

Selepas sahaja kami menegamas barang di bilik asrama, sesi LDK 1 iaitu sesi suai mesra dan pembahagian kumpulan mula berjalan di dewan sekolah tersebut. Apa yang mengejutkan, kami sangkakan pelajar yang menyertai program tersebut adalah dari pelajar tingkatan 4-6 sahaja, tetapi sebenarnya adalah pelajar dari tingkatan 1-6 bawah. Keadaan ini menyebabkan kami menjadi kelam kabut sedikit semasa pendaftaran pelajar dijalankan. Namun berkat kerjasama dari semua ajk, masalah itu dapat ditangani. Malah kami cukup bangga apabila kesemua pelajar yang menyertai program kami adalah lebih 200 orang. Satu jumlah yang cukup besar....

Selesai sahaja pembahagian kumpulan, kami telah memberi 3 tugasan serentak kepada peserta-peserta iaitu membuat poster bertemakan alam sekitar, membuat yel kumpulan dan merancang persembahan untuk malam itu. Kami memberi tugasan itu kerana pada sebelah petang, kami terpaksa meninggalkan mereka sekejap untuk aktiviti kajian lapangan kami di kampung-kampung yang berdekatan. Malah tujuan kami memberi 3 tugasan secara serentak adalah untuk melatih para peserta supaya bekerjasama sesama ahli dan melatih mereka memikul dan menyelesaikan segala tanggungjawab yang diberikan kepada mereka. Malah melalui LDK ini juga melatih para peserta menguruskan masa dengan baik kerana tanpa pengurusan yang baik, nescaya mereka tidak mampu menyelesaikan tugasan yang diberi.

Pada sebelah malamnya, tibalah saat untuk menilai hasil tugasan yang diberikan. Apabila ditanya mengenai tugasan yang diberi, serentak mereka menjawab dengan kuat yang mereka telah menyiapkan segala tugasan. Aku cukup bangga sekali dengan semangat yang ditunjukkan oleh mereka. Tambahan, mereka cukup kreatif semasa menyampaikan perebentangan berkenaan poster yang dibuat. Tambah mengujakan apabila saat persembahan peserta. Aku cukup tertarik dengan persembahan ‘Tarian Kerdil’. Suatu persembahan yang cukup unik dan pertama kali aku melihatnya. Tarian itu mengandungi unsur-unsur jenaka yang menyebabkan aku tidak henti-henti ketawa.

Keesokan harinya, satu ceramah berkenaan kitar semula diadakan untuk memberi sedikit input dan kesedaran kepada peserta berkenaan kepentingan kitar semula. Ceramah itu disampaikan oleh penceramah jemputan dari Jabatan Alam Sekitar. Walaupun pada pagi itu peserta ramai yang tiada kerana pergi ke gereja, namun program itu tetap berjaya dengan jayanya. Selesai sahaja ceramah, aktiviti berkenaan kitar semula dijalankan. Peserta diminta mencari bahan-bahan terbuang yang boleh dikitar semula dan daripada bahan-bahan tersebut, mereka diminta untuk membuat arca, perhiasan dan sebagainya. Pelbagai benda-benda yang menarik yang dihasilkan oleh mereka seperti rumah dan robot dari kotak, bangunan tin, origami kertas dan lain-lain. Sebagai menghargai mereka, kami telah menyediakan satu temapat pameran utnuk mereka mempersembahkan hasil mereka itu tadi bersama-sama dengan pameran-pameran yang kami adakan.

Tepat jam 2.00 petang, majlis perasmian penutup telah dijalankan dan ini bermakna, program kami bersama-sama pelajar SMK Ranau telah melabuhkan tirai. Seperti biasa, sebelum pulang kami telah berkumpul dan bersalam-salaman dengan adik-adik di sana. Suasana sedih mula menyelubungi aku dan teman-teman. Walaupun masa kami bersama mereka sangat singkat, namun ikatan yang terbina sangat kukuh dan aku menganggap peserta seperti adik-adik kami sendiri. Sebagai kenangan, kami mengambil gambar bersama-sama dan peserta mengambil nombor telepon kami.
Sesungguhnya, kami tidak sesekali akan melupakan kenangan manis bersama-sama adik-adik. Malah kami mendoakan supaya adik-adik berjaya dalam pelajaran dan dapat membanggakan ibu bapa, guru dan kami... Tiada balasan yang kami minta, tapi cukuplah sekadar adik-adik ingat akan kami selalu dan ingat segala nasihat dan panduan yang kami berikan supaya adik-adik berjaya dalam kehidupan ini dan menjadi manusia berguna...

Sekian.... Wassalam.




lega...baru je abis perbentangan poster




dengan tutor kesayangan (Abg Afiq)


seronok bergambar???


peaceee...



cepat semua senyum...

Rabu, 16 September 2009

Kenangan Perantau


Bismillahirahmanirahiim...
Assalamualaikum wbt...

Alhamdulillah, tanpa disedari hari ini sudah masuk hari yang ke-26 kita berpuasa dan hanya tinggal 3 hari sahaja lagi, bulan Ramadhan akan melabuhkan tirai dan akan diganti dengan bulan Syawal yang merupakan hari kemenangan bagi ummat Islam setelah bertungkus-lumus mengerjakan ibadah puasa. Bagi pelajar yang menuntut di seberang Laut China Selatan seperti aku ini, agak sukar untuk pulang beraya di kampung. Maklumlah harga tiket kapal terbang yang mahal terutama apabila musim perayaan. Aku bersyukur dan merasa amat gembira kerana tahun ini aku dapat pulang menyambut raya bersama keluarga di kampung. Namun, kenangan beraya diperantauan pada tahun lepas telah menjadi pengalaman yang tidak sesekali aku lupakan dan terlintas untuk aku berkongsi pengalaman ini bersama anda...

Sebagai pelajar, aku sememangnya mengharapkan wang dari pinjaman PTPTN untuk membiayai perbelanjaan pengajian aku di sini. Tambahan pula, masa itu merupakan semester pertama aku belajar di universiti. Apabila duit pinjaman itu sudah masuk, aku terus membeli sebuah komputer riba(laptop) dan tiket untuk pulang pada cuti semester. Setelah tolak semua kos perbelanjaan itu, aku dapati dalam akaun aku hanya cukup-cukup untuk perbelanjaan hingga hujung semester sahaja dan tidak cukup untuk membeli tiket raya. Walaupun berat, tapi aku terpaksa juga beraya di sini(Sabah). Sebelum tu, Abang Puyi(abang ketiga) ada tanya sama ada aku mahu pulang atau tidak. Jika nak, dia sanggup belikan tiket untuk aku. Tetapi aku menolak... aku sebenarnya tidak sanggup menyusahkan dia kerana sebelum aku berangkat ke sini, dia telah banyak mengeluarkan duit untuk menguruskan keperluan pendaftaran aku.

Mujur pada waktu itu, ada juga rakan-rakanku yang tidak pulang beraya. Jadi kami berpakat untuk beraya bersama-sama di kolej kediaman. Namun kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan. Pada malam raya, kawanku(Azmah) menelefon dan keluarganya mengajak aku beraya bersama mereka. Rasa serba salah juga aku pada waktu itu. Terpaksa memilih antara dua sama ada beraya dengan rakan atau menerima pelawaan dari keluarga Azmah. Tetapi setelah berbincang dengan rakan-rakan, diaorang menyuruh aku ikut beraya bersama Azmah. Mereka cakap tak bagus menolak pelawaan orang. Keputusannya, pada malam raya, aku ikut Azmah pulang kerumah dan beraya bersama keluarganya.

Kebetulan, Haspisah(rakan sekelas dari Kelantan) turut beraya di rumah Azmah. Jadi tidaklah kekok sangat aku di sana. Pada malam raya itu, aku dan Haspisah menolong pakcik(ayah Azmah) membakar lemang. Tengah-tengah seronok membakar lemang, tiba-tiba ibuku menelefon. Ibu bertanyakan khabar dan aku mula terasa rindu padanya... semasa bercakap dengan ibu, air mata aku mulai mengalir. Aku cuba bertahan, tetapi apabila aku terdengar suara ibuku yang serak-serak basah, aku tidak dapat tahan dan aku tahu, ibu juga dalam keadaan sedih.

Selepas itu, Abang Puyi turut menelefon aku. Dia menyuruh aku banyakkan bersabar. Rakan-rakan dari kampung juga banyak yang menghantar mesej ucapan raya kepada aku. Ingat juga mereka dekat aku yang jauh ini... Pada keesokan harinya, aku bersiap awal untuk ke masjid bersama-sama dengan pakcik. Kemudian aku duduk di bahagian tengah masjid di barisan kelima. Masa itu takbir raya sedang bergema. Sedang aku bertakbir, satu mesej masuk... ia dari abang sepupuku yang juga guru agama di kampung. Dia menasihati aku supaya bertenang dan cuba mencari pengalaman beraya di tempat orang. Tambahan pula, ia merupakan satu pengaturan Allah swt kepada aku. Tanpa diduga, air mata aku mengalir lagi. terasa sangat syahdu... dengan takbir yang bergema ditambah dengan kerinduan kepada keluarga menyebabkan hatiku semakin sedih...

Selesai solat, aku berkumpul dengan keluarga Azmah dan sesi bersalaman memohon maaf pun bermula. Bila melihat Azmah dan adik-adiknya bersalam dengan ibu bapa mereka dan berpelukan sambil memohon maaaf, aku terbayang akan ibu di kampung. Tak dapat aku cium tangan ibu pada hari raya. Tidak dapat aku memohon maaf dan memeluk ibu... aku cuba tenangkan diri...

Kemudian aku bersiap untuk berangkat ke Beufort pulang ke rumah nenek Azmah. Sampai di sana, aku dan keluarga Azmah beraya di rumah sanak-saudara mereka sehari suntuk. Walaupun penat, sekurang-kurangnya ia dapat menghilangkan sedikit kesedihan aku pada waktu itu. Aku bermalam di sana sehari... keesokkannya, kami bersiap untuk pulang semula ke KK dan aku mengambil keputusan untuk terus pulang ke kampus untuk bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain.

Aku dan rakan-rakan(Azie,Wawa,Intan,dll) sempat ke rumah keluarga angkat Azie iaitu di rumah Pak Su dan Mak Su dan ke rumah Hana. Seronoklah juga, dari pagi sampai malam kami beraya. Tapi yang tidak dapat tahan ialah apabila aku berada di bilik. Hanya aku seorang sahaja yang tinggal. Aku tersangat bosan dan terasa sangat sunyi. Keadaan itu telah mengembalikan kerinduan aku terhadap orang-orang di kampung. Mana tidaknya, kalau di kampung selagi belum habis rumah rakan dan saudara aku lawati, selagi itu aku terus beraya...

Jadi rentetan dari kenangan itu, tahun ini, aku telah merancang perbelanjaan aku dengan cermat agar aku dapat pulang beraya. Alhamdulillah, esok aku akan pulang ke kampung. Aku nak menebus raya yang tertangguh pada tahun lepas dan sesungguhnya aku tidak sanggup lagi untuk beraya di perantauan. Hari raya merupakan hari di mana semua sanak-saudara akan berkumpul dan memohon maaf serta saling menziarahi. Jika ada salah seorang dari ahli keluarga yang tiada, itu telah menyebabkan semangat beraya itu berkurang. Malah aku akan cuba untuk pulang juga ke kampung untuk beraya pada tahun hadapan....

Walaupun beraya diperantau itu sesuatu yang menyedihkan, namun pengalaman yang ditimba itu tidak sesekali akan dilupakan. Malah akan selalu dikenang apabila tiba hari perayaan. Malah pengalaman itu juga boleh dikongsi bersama anak cucu kelak.... Sesungguhnya setiap aturan Allah swt itu adalah yang terbaik dan Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya.

Itulah sedikit sebanyak cerita berkenaan raya diperantauan yang dapat aku kongsikan...

Kepada ibu, abang-abang, saudara-mara, rakan-rakan dan sesiapa yang mengenali diri ini, seribu kemaafan dan keampunan dipohon jika ada tersilap kata dan terlanjur perbuatan. Halalkan segala makan dan minum dan semoga Aidilfitri yang bakal tiba ini membawa seribu kerahmatan dan kenikmatan kepada anda semua...

Kepada junior-junior dan rakan-rakan yang tidak pulang beraya, semoga pengalaman beraya diperantauan dapat mendidik anda untuk menjadi seorang yang lebih tabah dan cekal hati dan anggaplah pengalaman itu sesuatu yang sangat berharga kepada anda...

Selamat Hari Raya Aidilfitri...Maaf Zahir dan Batin.

Sekian, wassalam...

Sabtu, 29 Ogos 2009

Merdeka Yang Belum Merdeka

Bismillahirahmanirrahiim
Assalamualaikum wbt...

Ogos adalah bulan kemerdekaan bagi Malaysia kerena pada bulan ini, laungan kemerdekaan telah bergema menandakan bahawa rakyat Malaysia telah bebas daripada penindasan penjajah yang beratus tahun telah mencengkam kita. Insyaallah, esok (31 Ogos 2009) rakyat Malaysia akan menyambut hari kemerdekaan yang ke-52 di seluruh negara.

Merdeka bermaksud bebas daripada penjajah. Pejuang-pejuang kemerdekaan dahulu telah bermatian-matian untuk mempertahankan kedaulatan negara demi mencapai kemerdekaan dan mereka ini perlu dibangga dan dikenang oleh rakyat Malaysia hari ini. Tanpa perjuang mereka, mungkin negara ini masih lagi dijajah oleh negara asing.

Namun begitu, setelah 52 tahun negara merdeka, adakah kita dapat memastikan bahawa kita telah merdeka sepenuhnya? Secara jujur dan ikhlasnya, aku berpendapat rakyat Malaysia belum lagi merdeka sepenuhnya. Memang benar kita telah merdeka dari penjajahan negara asing, tapi itu secara lahiriah sahaja. Bagaimana pula dengan mental dan budaya atau spititual rakyat Malaysia? Ianya belum merdeka. Kita masih lagi dijajah, dibelenggu dan dipengaruh dengan corak fikiran dan budaya dari pihak luar.

Hal ini jelas dapat dilihat pada hari ini, semakin hari corak fikiran rakyat Malaysia telah berubah berbanding zaman dahulu. Ia adalah disebabkan oleh peredaran masa dan kemajuan dalam sistem teknologi. Rakyat Malaysia hari ini lebih berfikiran terbuka dan menerima sahaja apa yang dibawa masuk dari negara luar, kononnya untuk kemajuan diri dan negara. Tanpa disedari, perubahan corak pemikiran ini telah menghakis budaya ketimuran yang diamalkan di negara ini. Perubahan ini sangat ketara dilihat oleh remaja-remaja. Budaya hiburan yang melampau telah mengaburi dan menjajah hati anak-anak remaja tanpa dikawal sehingga menimbulkan pelbagai masalah sosial.

Lihat sahaja apabila tiba malam kemerdekaan. Pelbagai pesta diadakan oleh mereka.Seks bebas, lumba haram, parti arak dan konsert menjadi pilihan mereka. Adakah begitu caranya merdeka disambut??? Tambah membimbangkan lagi apabila wujud golongan ATHIES iaitu golongan yang tidak percaya kepada Tuhan. Mereka percaya apa yang dilihat di depan mata dan dibuktikan dengan sains. Inilah akibat apabila fikiran terlampau terbuka sehinggakan hal-hal agama boleh dipermainkan. Bukan itu sahaja, budaya punk, black metal dan gothic telah menjadi sebati dengan jiwa remaja hari ini. Budaya menyeleweng ini telah mendorong remaja untuk melakukan perkara yang tidak betul dan salah di sisi agama. Malangnya kita tidak perasan. Mungkin ada yang perasan, tapi pelaksanaan pencegahan tidak diambil. Tambah memilukan, remaja Melayu yang mendominasi kegiatan ini. Kemana hilangnya remaja Melayu yang bakal mentadbir negara suatu hari nanti? Semuanya telah tenggelam dengan keseronokan.


Salah satu punca tersebarnya penyakit ini ialah kemasukan hiburan dari luar yang tidak dikawal oleh pemerintah hari ini. Hal ini jelas dilihat, pada setiap tahun pelbagai pesta dan konsert dianjurkan oleh kerajaan malah membenarkan artis luar masuk untuk mengadakan persembahan mereka di sini. Ia telah memberikan remaja keseronokan yang melampau dengan terkinja-kinja bebas antara lelaki dan perempuan yang mendorong kemaksiatan berlaku. Bukan itu sahaja, kemudahan teknologi yang tidak dikawal juga telah membolehkan remaja mengakses laman sesawang yang tidak berfaedah seperti pornografi telah mempengaruhi corak pergaulan mereka. Akibatnya banyak kes pembuangan bayi dan pengguguran janin melibatkan remaja dilaporkan di akhbar.

Kerosakan pemikiran remaja ini juga berlaku disebabkan oleh ibu bapa yang tidak menjalankan tugas mereka dengan sempurna. Ibu bapa hari ini tidak memberatkan soal pendidikan keagamaan dan moral kepada anak-anak mereka. Tanpa ilmu agama, remaja mudah menjadi goyah dengan persekitaran yang melampau. Mereka menjadi terikut-ikut dan terpengaruh dengan benda-benda mengasyikkan yang akan menimbuskan mereka ke kancah penghinaan. Bukankah ibu bapa yang bertangungjawab untuk mencorakan anak-anak-anak mereka? Jika hitam maka hitamlah jadinya dan jika putih maka putihlah akan hasilnya.

Oleh itu, semua mayarakat dan pemerintah perlu mengambil tindakan yang drastik dalam membendung budaya kuning ini. Walaupun tugas untuk mengubah corak pemikiran rakyat itu sukar, tetapi ia tetap perlu dipikul dan perlu dibendung sejak peringkat awal lagi. Malah kita seharusnya balik kepada acuan asal kita sendiri dengan kembali semula kapada budaya ketimuran yang diwarisi dari nenek moyang sejak dari dahulu lagi. Malah, kita seharusnya balik semula kepada ajaran Islam yang sebenar dengan menjadikan Al-Quran dan hadist sebagai panduan dalam mentadbir, mendidik dan membangunkan negara ini sesuai dengan konteks Negara Islam.

Selamatkan anak bangsa kita yang bakal menjadi pemimpin untruk mentadbir negara yang berdaulat dan tercinta ini.... Renungkanlah dan carilah jalan penyelesaian agar kita bukan sahaja merdeka secara lahiriah tetapi juga merdeka dari segi pemikiran dan budaya... Wassalam...

“ Bismillahirahmanirrahiim... ya Allah ya Tuhan kami, kami menadah tangan memohon kepada-Mu agar melindungi negara kami yang tercinta ini dari sebarang bentuk penjajahan sama ada fizikal atau mental. Ya Allah yang Maha Pemurah, Engkau sucikanlah hati-hati kami, teguhkanlah iman kami, berilah hidayah dan petunjuk kepada kami agar kami tidak terpengaruh dengan bisikan syaitan, terpengaruh dengan hiburan yang melalaikan dan terpengaruh kepada kenikmatan duniawi. Ya Allah, Engkau jadikanlah kami dalam golongan hamba-hamba-Mu yang taat kepada perintah-Mu dan Engkau peliharalah kami dan negara kami dari sebarang anasir jahat dan jadikan negara kami makmur dan sejahtera aman sentosa. Engkau peliharalah hubungan perpaduan yang terbentuk di negara ini agar perpaduan itu terus kukuh sepanjang masa... Amiin Ya Rabbal ‘Alamiin..





Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates